SEBAGAI manusia biasa yang tidak maksum, tipulah jika kita kata yang kita tidak pernah berbohong dan bohonglah jika kita kata tidak pernah menipu. Bohong dan tipu; dua perkataan yang serupa tetapi tidak sama. Garis pemisah antara... Klik di sini untuk terus membaca

SEBAGAI manusia biasa yang tidak maksum, tipulah jika kita kata yang kita tidak pernah berbohong dan bohonglah jika kita kata tidak pernah menipu.

Bohong dan tipu; dua perkataan yang serupa tetapi tidak sama. Garis pemisah antara kedua-duanya sangat nipis sehingga kerap kita tidak pasti apakah kita sedang berbohong atau sedang menipu?

Jika emak bertanya, "Budi, dah mandikah?” dan saya menjawab, "Sudah, mak!” walaupun sebenarnya saya belum mandi. Itu bermakna saya berbohong.

Tetapi jika saya cepat-cepat membasahkan rambut, membasuh muka, memakai deodorant dan menyembur pewangi ke badan, bagi menunjukkan saya memang telah mandi, itu ertinya saya telah menipu.

Seorang anak muda berbohong jika dia memberitahu kekasihnya yang dia berjawatan tinggi dan bergaji besar padahal kerjanya cuma biasa-biasa.

Tetapi anak muda sama sebenarnya telah menipu jika dia sanggup memadamkan slip gajinya yang biasa-biasa itu dengan mengubah angka-angka yang ada bagi menunjukkan dia bergaji besar.

Sama ada berbohong atau menipu, kedua-duanya adalah perbuatan yang tidak baik, ditegah oleh agama dan adat resam.

Nenek moyang kita telah memberikan peringatan kepada anak cucunya tentang bahaya bohong melalui pantun, ‘Siakap senohong, gelama ikan duri; bercakap bohong, lama-lama mencuri’.

Di Barat, keburukan berbohong sering dikaitkan dengan kisah Pinocchio, protagonis daripada novel kanak-kanak The Adventures of Pinocchio (1883) karya Carlo Collodi, watak yang hidungnya akan bertambah panjang setiap kali dia bercakap bohong.

Tetapi, walaupun bohong itu tidak baik, pada bulan November setiap tahun akan diadakan Pertandingan Pembohong Paling Hebat Di Dunia bertempat di Bridge Inn, sebuah pub di Santon Bridge, Cumbria, yang terletak di barat laut England. Ia sebagai mengenang Will Ritson (1808–1890), seorang pemilik pub yang sangat terkenal dengan cerita-cerita bohongnya.

Sekadar untuk rekod, penyandang trofi Pembohong Paling Hebat Di Dunia sekarang ialah Philip Gate dari Workington, yang memenangi pertandingan itu sejak tahun 2019.

Sekadar untuk rekod juga, peguam dan ahli politik tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam pertandingan itu kerana kemahiran berbohong mereka dianggap terlalu luar biasa!

Jenaka

Pertandingan berbohong itu menunjukkan bahawa bohong masih boleh diterima oleh masyarakat dan dalam keadaan tertentu dianggap sebagai gurauan serta bahan jenaka yang menghiburkan.

Dalam kalangan orang Melayu, wujud istilah ‘bohong sunat’ yang membawa maksud pembohongan yang terpaksa dilakukan bagi sesuatu tujuan baik; misalnya untuk mengelak daripada dimarahi isteri sebab pulang lewat, maka diberitahulah kepada isteri, yang dia ada mesyuarat tergempar dan sebagainya walaupun sebenarnya dia terlajak lepak dengan kawan-kawan.

Berbohong juga, dalam keadaan tertentu, diharuskan oleh agama. Kata Ibnu Syihab: "Aku tidak pernah mendengar Rasulullah SAW membolehkan orang berdusta melainkan dalam tiga keadaan: Ketika dalam peperangan, dalam mendamaikan dua orang yang berselisih dan percakapan suami kepada isterinya dan percakapan isteri kepada suaminya.” - (Riwayat Muslim).

Jadi sebagai kesimpulan bohong secara umumnya masih merupakan perbuatan terlarang yang boleh diterima selagi ia tidak membawa kemudaratan. Sebab itulah agaknya kita tidak pernah mendengar polis menangkap orang yang berbohong.

Tetapi tidak begitu dengan menipu. Konotasinya sahaja sudah cukup negatif, apatah lagi perbuatannya.

Walaupun dalam tipu ada juga istilah ‘tipu sunat’ yang maksudnya lebih kurang sama dengan ‘bohong sunat’, namun menipu bukanlah perbuatan yang dialu-alukan kerana mudarat yang dibawa olehnya seringkali cukup besar.

Sebab itu jugalah pihak berkuasa jarang bagi muka kepada penipu. Asal ada laporan ke atas mereka, cepat sahaja mereka diburu dan diberkas.

Tidak susah difahami kenapa manusia begitu marah apabila ditipu.

Ia mempunyai kaitan dengan sejarah kehidupan mereka. Jika bukan kerana ditipu, Siti Hawa – ibu kepada semua manusia kecuali Nabi Adam AS – tentu tidak akan memakan buah khuldi.

Jika bukan kerana ditipu tentu dia dan anak cucunya, termasuk saya dan anda sekarang ini menjadi penghuni syurga bukannya berkelana di muka bumi ini.

Diakui atau tidak sejak saat iblis berjaya menipu Hawa, penipuan sentiasa mengekori kehidupan manusia.

Ironinya, walaupun majoriti manusia membenci penipu dan penipuan, namun realiti menunjukkan mereka juga sebenarnya secara tidak langsung bersubahat dalam proses membiakkan penipuan.

Sedar atau tidak, mereka telah menerima penipuan sebagai gaya hidup, sebagai perkara yang perlu dan mustahak.

Disebabkan itulah penipuan ada di mana-mana dan ia berlaku atas kerelaan, malah kadangkala atas kemahuan kita sendiri. Lihat sahaja iklan-iklan yang tersiar dalam segala bentuk media.

Adakah semua dakwaan mengenai kehebatan dan kebaikan produk yang diiklankan itu betul seratus peratus? Tentu sahaja tidak. Kadangkala hanya dua tiga peratus sahaja yang betul. Selebihnya tipu belaka.

Tetapi adakah kita ambil kisah? Tidak. Malah ada ketikanya kita sendiri tolong berkempen untuk membantu melariskan produk itu walaupun kita tidak pasti setakat mana baik dan bagusnya.

Penipuan

Tiga empat ratus tahun dahulu, jika anda muncul di depan pintu rumah orang dan mendakwa ubat kurus yang anda jual adalah yang terbaik dan terhebat di dunia sebab itu harganya mahal, besar kemungkinan anda diusir dengan penyapu sebab dituduh cuba menipu. Sekarang tidak.

Penipuan bagi tujuan melariskan produk perniagaan tidak dianggap sebagai satu kesalahan.

Ia termasuk kategori tipu yang dibolehkan.Pengendali telco menjanjikan kita perkhidmatan lima bintang tetapi kemudian kita mendapati ia sekadar cap ayam yang tidak layak diberi waima setengah bintang, apa yang kita buat?

Selalunya buat-buat tak kisah. Kita menerimanya sebagai ‘kesulitan yang tidak disengajakan’ bukannya sebagai ‘janji yang dicabuli’.

Di tempat kerja, orang sering menipu majikan dengan mencuri tulang, culas, ponteng dan sebagainya. Bekerja seinci berehat sejengkal.

Jarang kita marah pada mereka. Jarang kita mengingatkan mereka bahawa rezeki yang halal tidak akan datang daripada kerja yang tidak ikhlas.

Kita anggap itu semua perkara biasa walaupun ia terang-terang mempunyai unsur penipuan. Malah ramai yang akan melakukan perkara sama jika berpeluang.

Penipuan juga berlaku dalam dunia sukan. Daripada ‘tangan ajaib’ yang menjaringkan gol sehinggalah perlawanan yang telah diatur.

Di arena gusti profesional lagilah hebat, tiada apa yang betul melainkan semuanya tidak betul semata-mata.

Tetapi bagi kita it’s okay. Tidak ada masalah. Janji seronok.

Atas sebab sama janganlah marah jika ada ahli politik menjadikan bohong dan tipu sebagai senjata utama bagi survival politik mereka.

Ada ahli politik yang sudah sampai ke peringkat tidak boleh hidup jika tidak berbohong.

Malah ada yang selayaknya dijadikan ikon pembohong dan penipu. Jika setiap kali berbohong hidungnya bertambah panjang sejengkal, mungkin sekarang ini hujung hidungnya sudah sampai ke Manchuria.

Siapa dia? Pastinya bukan saya. #dush!

* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia

Klik di sini untuk terus membaca