SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa di kawasan merekodkan kes penularan Covid-19 yang tinggi masih belum bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah bermula September ini. Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Rata-rata ibu bapa di kawasan merekodkan kes penularan Covid-19 yang tinggi masih belum bersedia untuk menghantar anak mereka ke sekolah bermula September ini.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 7 di sini, Datuk Mohamad Isa Ishak berkata, kebanyakan ibu bapa terutama yang berada di kawasan fasa satu Pelan Pemulihan Negara (PPN) risau berkenaan risiko bakal dihadapi anak-anak mereka apabila sekolah dibuka semula.

"Soalnya bukan sedia atau tidak bersedia, tetapi kegusaran ibu bapa khususnya di Selangor adalah kerana bilangan kes Covid-19 masih lagi tinggi.

"Isunya bukan soal keselamatan di dalam sekolah sahaja, tetapi di luar sekolah pun kena ambil kira.

"Untuk sekolah yang berada di fasa dua dan tiga PPN, mungkin tidak ada masalah, tetapi bagaimana untuk negeri yang masih berada di fasa satu.

"Antaranya ialah soal kaedah dan prosedur operasi standard (SOP) bagi pengangkutan ke sekolah, misalnya untuk pelajar yang menaiki bas.

"Ia masih tidak dijawab dan dijelaskan lagi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohd Isa berkata, berdasarkan sesi persekolahan yang kembali dibuka April lalu, beliau mendapati kebanyakan kes Covid-19 melibatkan pelajar berpunca daripada aktiviti luar sekolah.

Mohamad Isa

Selain itu, katanya, perkara lain yang turut merisaukan ibu bapa adalah mengenai kadar vaksinasi guru serta pihak terlibat dengan aktiviti persekolahan seperti pemandu bas dan pekerja sokongan.

Sementara itu, Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Masai di Pasir Gudang, Johor, Zulkiflee Abd Jalil berkata, adalah sukar untuk ibu bapa memastikan keselamatan dan kesihatan anak-anak ketika di sekolah kerana kes Covid-19 di negara ini masih membimbangkan.

"Kita tengok bas sekolah kadangkala memasukkan penumpang sepadat-padatnya dan tiada penjarakan fizikal.

"Kalau ada murid yang positif Covid-19 di dalam bas itu, sudah tentu ada jangkitan.

Zulkiflee

"Jadi, ini perlu diambil kira kerana ketika ini penularan di peringkat komuniti pun belum dapat dikawal dengan baik,” jelasnya.

Menurut beliau, ibu bapa juga bergantung penuh terhadap SOP yang bakal dilaksanakan KPM sebelum membuat persediaan bagi anak-anak mereka ke sekolah.

"Jadi, sebelum buka sekolah, KPM perlu memastikan ada SOP meyakinkan untuk murid dan pelajar bermula dari rumah hingga sekolah,” jelas Zulkiflee.

Tambah beliau, KPM juga disarankan supaya mempertimbang untuk menangguhkan pembukaan sekolah di kawasan yang mempunyai kes Covid-19 tinggi.

Bagi Yang Dipertua PIBG Sekolah Kebangsaan Sungai Burong di Tanjung Karang, Selangor, Adib Amat Mustakim pula, beliau mendapati ramai ibu bapa di sekolahnya sudah membuat persediaan untuk pembukaan sekolah, antaranya melengkapkan dua doa suntikan vaksin.

Bagaimanapun, beliau berpendapat, KPM perlu segera mengumumkan kaedah yang akan dilaksanakan untuk sesi pembukaan kali ini bagi membolehkan ibu bapa membuat persediaan sekiranya terdapat sebarang perubahan SOP.

Pada 17 Julai lalu, KPM memaklumkan bahawa perincian lanjut mengenai pembukaan persekolahan secara berperingkat pada September ini akan diumumkan selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka.

Adib Amat

Sementara itu, satu petisyen dalam talian dilancarkan bagi mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menangguhkan pembukaan sekolah yang dijadualkan pada 1 September depan.

Petisyen bermula pada Ahad itu menyasarkan 100,000 rakyat Malaysia.

Setakat jam 3 petang Selasa, petisyen berkenaan meraih sebanyak 4,736 tandatangan.

Klik di sini untuk terus membaca