DALAM tiga tragedi yang membabitkan pesawat penerbangan negara, seramai 637 orang penumpang dan anak kapal telah terkorban. Peristiwa di Tanjung Kupang (MH633, 4 Disember 1977), kehilangan pesawat MH370 (8 Mac 2014) dan tertembaknya MH17... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM tiga tragedi yang membabitkan pesawat penerbangan negara, seramai 637 orang penumpang dan anak kapal telah terkorban.

Peristiwa di Tanjung Kupang (MH633, 4 Disember 1977), kehilangan pesawat MH370 (8 Mac 2014) dan tertembaknya MH17 (17 Julai 2014) merupakan peristiwa yang sukar dilupakan.

Bagi negara seperti Malaysia terkorbannya sejumlah 298 penumpang dan anak kapal (walaupun bukan semuanya rakyat Malaysia) adalah sesuatu yang menggemparkan dalam kes MH17.

Pada hari Ahad 8 Ogos yang lalu, 360 rakyat kita dan orang asing terkorban oleh Covid-19. Ini merupakan rekod kematian tertinggi dalam sehari disebabkan penyakit dalam sejarah negara. Secara purata 15 orang meninggal dunia setiap jam pada hari itu.

Pesawat MH633 yang terhempas di Tanjung Kupang membawa 100 orang termasuk 7 anak kapal.

Sejak beberapa bulan yang lalu, lebih ramai dari angka itu meninggal akibat virus ini. Setakat ini, 1.2 juta orang di Malaysia telah dijangkiti Covid-19.

Ertinya bagi setiap 32 orang rakyat Malaysia, seorang pernah atau sedang dijangkiti pendemik itu. Sejumlah 10,961 orang setakat hari Isnin telah meninggal dunia.

Jumlah ini adalah 17.2 kali lebih banyak dari kematian yang berpunca dari semua kemalangan melibatkan pesawat kebangsaan kita (637 orang).

Hari ini merupakan hari ke 507 sejak pertama kali kita mengadakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac 2020.

Kita telah melalui pelbagai peringkat PKP termasuk lockdown dan sebagainya. Hari ini setelah 16 bulan, keadaannya tidak bertambah baik, malah semakin buruk.

Kita sudah mencecah jangkitan harian melebihi 20,000 orang dan kematian melebihi 300 orang sehari.

Pakar-pakar perubatan meramalkan keadaan jangkitan boleh mencecah 26,000 sehari dalam bulan September atau Oktober. Jumlah kematian juga semakin merunsingkan.

Apakah masalah sebenar "kegagalan”kita menangani pandemik ini? Banyak pihak telah memberikan banyak sebab.

Antaranya tidak ada seorang "jeneral” yang benar-benar memimpin bala tentera menghadapi pandemik ini.

Ada isu kelemahan pada sistem kesihatan kita.

Ada yang mengatakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terdapat krisis dalaman membabitkan soal wilayah (territoriality), kuasa dan ego.

Ada yang menyalahkan sistem komunikasi yang lemah. Ada yang mengatakan terlalu banyak "tukang masak” hingga merosakkan "makanan”.

Pada pihak kerajaan mereka mengharapkan dengan tercapainya "imuniti berkelompok” hal ini akan menjadi lebih baik.

Namun demikian rakyat juga bertanya, "sementara itu bagaimana?” Bagaimana tentang kehidupan dan mata pencarian kami? Bagaimana tentang ekonomi?

Pada dasarnya kerajaan harus menerima hakikat, ada kelemahan menonjol di mana-mana.

Banyak pihak yang punya kemahiran dan kepakaran tidak dilibatkan lebih awal.

Hal menangani isu Covid-19 di tangan kerajaan yang "serba tahu.” Akibatnya sistem kesihatan yang sudah over-stretched menjadi lebih teruk.

Petugas barisan hadapan perubatan dibebankan dengan pelbagai dugaan, termasuk isu birokrasi.

Saya suka menggunakan analogi sebuah pasukan bola sepak dalam soal ini.

Dalam setiap permainan, sekiranya pada separuh masa pertama pasukan tewas, pengurus dan jurulatih harus membuat keputusan yang tegas sekalipun pahit.

Pemain yang tidak menunjukkan prestasi terbaik (walaupun pemain termahal) perlu dikeluarkan.

Mana-mana pemain yang kelihatan tiada upaya perlu ditarik keluar. Masukkan pemain baharu. Tukar strategi dan taktik. Untuk menang dalam separuh masa kedua sesuatu mesti dilakukan.

Dalam konteks hari ini, dalam soal pengurusan pandemik, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mungkin boleh menukar pemain.

Kerajaannya sendiri dalam kedudukan telur di hujung tanduk. Pada hari ini kita tidak tahu sebanyak mana sokongan ahli Parlimen pada kerajaannya.

Sekiranya diadakan undi tidak percaya dalam persidangan Parlimen akan datang, tidak mudah untuk beliau menjamin kelangsungan kerajaannya.

Itu satu lagi punca kita tidak dapat menangani isu pandemik ini sepenuh hati. Kerajaan berdepan dengan masalah survivalnya sendiri.

Parti utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN), UMNO ada krisis dalaman yang runcing. Perdana Menteri tidak boleh menjangka sokongan ahli Parlimen daripada parti itu.

Situasi ketidakstabilan politik ini mempersulit lagi urusan menangani pandemik.

Perisytiharan Darurat diharapkan akan menyelesaikan banyak isu, tetapi hakikatnya tanpa perisytiharan itupun sebenarnya soal pandemik ini boleh ditangani dengan berkesan.

Darurat dijadikan alasan untuk memberi nyawa politik pemerintah.

Dan terbukti seperti apa yang berlaku dalam persidangan Parlimen yang baru lalu, isu Darurat menikam kerajaan sendiri akibat beberapa kenyataan yang mengelirukan.

Dan tidak selalu pula pihak Istana Negara membuat teguran yang keras pada kerajaan.

Rakyat mahukan penyelesaian. Rakyat sedang resah dan marah.

Soal terkurung selama lebih 500 hari satu hal tetapi yang lebih penting banyak daripada mereka yang hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.

Dasar bantuan kerajaan setakat ini nampaknya tidak memuaskan hati rakyat.

Banyak langkah yang dikatakan dilakukan tanpa mengambil kira pihak yang berkepentingan (stakeholders). Pihak peniaga tidak dilibatkan dalam banyak dasar menangani isu ekonomi.

Pujian harus diberikan pada usaha untuk mewujudkan Majlis Pemulihan Negara (National Recovery Council atau NRW).

Kita harus ingat apa yang dilakukan oleh Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad (sekarang Tun) sewaktu berdepan dengan krisis ekonomi Asia yang bermula pada tahun 1997. Dr Mahathir menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Kebangsaan (National Economic Action Council atau NEAC) pada 7 Januari 1998.

Majlis Ini dianggotai oleh individu yang mewakili pelbagai disiplin dan sektor. NEAC bermesyuarat setiap hari selama enam bulan.

Mereka mengemukakan banyak cadangan.

Antara kejayaannya ialah mengelakkan negara daripada mengikut skrip Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund atau IMF).

Tidak seperti Indonesia, Thailand dan Korea Selatan "cara Malaysia” menyelamatkan kita dari tunduk pada "ubat pahit” yang ditawarkan oleh IMF. NEAC sepatutnya diteladani.

Kita berada dalam krisis. Krisis memerlukan tindakan pantas dan berani. Krisis menuntut kita membuat pertimbangan berdasarkan fakta dan sains, bukan politik.

Kita harus menyelamatkan nyawa rakyat (lives) dan kehidupan atau mata pencarian mereka (livelihoods).

Sekiranya kita tidak berhati-hati, kita tidak punya ekonomi untuk diurus selepas Covid-19 ini berakhir.

* Tan Sri Johan Jaaffar adalah mantan Pengerusi Media Prima Berhad dan mantan Ketua Pengarang Utusan Melayu. Beliau mengendalikan program Bersama... dan Bicara Minda untuk akhbar ini.

Klik di sini untuk terus membaca