SINGAPURA yang merupakan sebuah negara pulau kecil tetapi telah mengubah air kumbahan menjadi air sangat bersih untuk kegunaan penduduknya sejak tahun 2003 apabila ia memperkenalkan air NeWater. Air NewWater itu juga dibekalkan kepada... Klik di sini untuk terus membaca

SINGAPURA yang merupakan sebuah negara pulau kecil tetapi telah mengubah air kumbahan menjadi air sangat bersih untuk kegunaan penduduknya sejak tahun 2003 apabila ia memperkenalkan air NeWater.

Air NewWater itu juga dibekalkan kepada industri-industri seperti loji elektronik, janakuasa dan petrokimia, komersial serta pendingin hawa di bangunan-bangunan awam.

Pengenalan penggunaan air kumbahan dan diproses menjadi air sangat bersih kerana ia mempunyai simpanan yang sedikit air semula jadi dan sebelum ini bergantung kepada bekalan air dari negara jirannya, Malaysia.

Tanpa memerlukan bantuan dari negara luar, pemerintah Singapura telah membangunkan satu sistem yang canggih untuk merawat air kumbahan melalui satu rangkaian terowong dan loji-loji berteknologi tinggi.

Air kitar semula di negara itu kini boleh memenuhi permintaan sebanyak 40 peratus dan angka itu dijangka meningkat sehingga 55 peratus pada tahun 2060, menurut sebuah agensi air Singapura.

Ketika kebanyakan air digunakan untuk tujuan sektor industri, sebahagiannya dijadikan bekalan air minuman di kawasan tadahan di negara yang dihuni oleh 5.7 juta penduduk itu.

Menurut Ketua Jurutera Jabatan Tebus Guna Air Lembaga Utiliti Awam Singapura, Low Pei Chin, Singapura kekurangan alam semula jadi dan ia juga mempunyai keluasan yang terhad.

Keadaan itu, kata Pei Chin kepada AFP menyebabkan pihaknya mencari kaedah untuk meneroka sumber-sumber air dan menjimatkan bekalan air kami.

Salah satu kaedah yang digunakan di negara itu ialah 'mengutip' setiap titisan air dan menggunakannya semula, tambah Pei Chin.

Ia juga merupakan pendekatan utama Singapura untuk melindungi bekalan air dan yang penting ialah menggunakan air tadahan dan melakukan proses penyahgaraman air laut.

Loji Tebus Air di Changi memiliki teknologi tinggi yang terletak di pantai timur negara tersebut.

Sebahagian kemudahan air di Singapura terletak di bawah tanah iaitu ada yang pada kedalaman setinggi 25 tingkat dan ia mengggunakan air terbuang yang melalui terowong sejauh 48 kilometer yang dihubungkan dengan pembentung.

Sistem penapisan, tangki, saluran tiub dan lain-lain jentera boleh merawat sehingga 900 juta liter air terbuang sehari dan ia mencukupi untuk memenuhi kolam air bersaiz Sukan Olimpik setiap 24 jam sehari selama setahun.

Walaupun kebersihan air NeWater menjadi pertikaian beberapa tahun lalu, namun kini Singapura menggunakan air kumbahan yang diproses itu untuk kegunaan sektor industri dan penduduk negara tersebut. - Foto AFP

Dalam pada itu, di sebuah bangunan, satu rangkaian ventilator telah dipasang bagi memastikan udara berbau segar walaupun masih terdapat bau busuk.

Air kumbahan yang tiba di loji kemudiannya menjalani proses penapisan awal sebelum pam yang berkuasa menghantarnya mengalir ke kemudahan di bawah tanah untuk dirawat dengan lebih lanjut.

Di kemudahan itu, air tersebut dirawat dengan lebih lanjut dengan melakukan penapisan yang menyebabkan bakteria dan virus dialihkan melalui proses penapisan dan nyahjangkitan.

Pada akhirnya, air dikenali sebagai NeWater digunakan untuk loji-loji pengeluaran mikrochip yang memerlukan air berkualiti tinggi selain digunakan untuk sistem penyejukkan di bangunan-bangunan.

Ia juga meningkatkan bekalan air minuman kerana ketika musim kering, air tersebut dihantar ke beberapa kawasan tadahan air di negara berkenaan.

Justeru, Singapura akan memperbesarkan lagi sistem penggunaan airnya.

Ia akan menambahkan lagi terowong tambahan dan sebuah loji tebus air yang utama akan menyalurkan air ke separuh bahagian barat Singapura yang dijangka disiapkan pada tahun 2025.

Negara itu membelanjakan sebanyak AS$7.4 bilion (RM31.29 bilion) untuk meningkatkan infranstruktur rawatan air ketika pembesaran sistem kitaran air siap sepenuhnya.

Salah satu sebab kenapa Singapura mahu berusaha tidak bergantung kepada negara lain dari segi mendapatkan bekalan air adalah kerana hubungannya dengan Malaysia yang pernah tegang tentang isu penyaluran air ke negara pulau tersebut. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca