SHAH ALAM - Kedai makan dan restoran di beberapa negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibenarkan beroperasi secara penuh dengan membuka kemudahan dine-in atau makan di premis bermula Selasa. Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Kedai makan dan restoran di beberapa negeri fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) sudah dibenarkan beroperasi secara penuh dengan membuka kemudahan dine-in atau makan di premis bermula Selasa.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sewaktu mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dine-in Jumaat lalu, menjelaskan kebenaran itu hanya untuk mereka yang menetap di negeri yang sudah berada di bawah fasa dua PPN dan seterusnya.

Bagaimanapun, timbul pula isu di pihak peniaga restoran yang bimbang sekiranya pandemik Covid-19 boleh menular disebabkan faktor makan di kedai.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa negeri terlibat mendapati ada peniaga restoran masih menggunakan sistem jualan makanan secara bungkus kerana mengakui belum bersedia untuk menerima pelanggan makan di premis mereka.

Di KELANTAN, beberapa pengusaha kedai makan di Kota Bharu menyediakan makanan untuk dibungkus manakala beberapa premis di bandar ini masih ditutup.

Peniaga nasi kandar di Pengkalan Chepa, Azhar Taib, 44, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak membenarkan kedai makannya beroperasi secara dine-in kerana belum menerima suntikan dos kedua.

Menurutnya, keputusan tersebut diambil bagi memastikan keselamatan orang ramai serta enam pekerjanya.

Azhar (tengah) melihat dua pekerjanya membungkus makanan yang ditempah pelanggan di restorannya di Kota Bharu, Kelantan pada Selasa.

"Buat masa ini, kami harap sangat proses vaksinasi dapat dilakukan secepat mungkin.

"Kalau ikutkan, kami sudah lama mendaftar tapi nak buat macam mana, kena sabar menunggu.

"Insya-ALLAH apabila semua sudah divaksin, kami akan buka kedai makan seperti biasa. Buat masa ini, kita sediakan makanan dibungkus sahaja.

"Pelanggan pun sudah biasa dengan situasi ini. Ada yang telefon untuk tempah sebelum mereka sampai,” katanya yang berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Seorang lagi peniaga makanan di Wakaf Che Yeh, Farah Azmi, 32, berkongsi kerisauan memandangkan pekerjanya belum cukup dua dos vaksin.

FARAH

Sebab itu, katanya, mereka menjual makanan secara bungkus sahaja.

"Kami risau jika terjadi sesuatu yang tidak diingini, ia akan menyusahkan banyak pihak.

"Harapnya urusan vaksinasi dapat diselesaikan dengan segera bagi memastikan kita sudah ada ‘perisai’ kalau jadi apa-apa,” katanya.

Di PERAK, pemilik restoran, Nurul Atiqah Adu Rahaman, 29, berkata, biarpun kelonggaran untuk penerima vaksin lengkap dibenarkan makan di premis, kedainya kekal dengan pelanggan hanya membungkus makanan.

Menurutnya, tindakan itu dibuat kerana hampir kesemua pekerjanya masih belum menerima vaksin dan situasi itu dibimbangi memberikan risiko kepada perniagaannya.

NURUL ATIQAH

"Saya sebenarnya lebih risaukan pekerja kerana mereka belum divaksin. Saya sendiri pun masih satu dos suntikan.

"Kalau mereka dijangkiti Covid-19, risiko lebih tinggi, tambahan pula mereka masih muda dalam lingkungan 20-an.

"Memanglah kalau orang makan di kedai untung tapi bagi saya soal kesihatan dan keselamatan pekerja serta pelanggan lebih penting,” katanya.

Menurutnya, SOP untuk makan di restoran juga belum jelas sepenuhnya dari segi umur pelanggan, penjarakan meja dan sebagainya.

Nurul Atiqah berkata, dengan SOP yang tidak jelas itu dibimbangi mendatangkan masalah kepada pemilik restoran apabila berurusan dengan pihak berkuasa.

"Kami juga tak mahu bergaduh dengan pelanggan sebab SOP tak jelas ini.

"Biarlah kami jual secara bungkus dahulu. Apabila sudah ada garis panduan jelas kita akan pertimbangkan untuk dine-in,” ujarnya.

Status Vaksin

Di TERENGGANU, pengusaha Fauzi Nasi Kerabu, Nor Suria Fazreen Mohd Fauzi, 23, mengakui berasa bimbang kerana masih ada pekerjanya yang tidak lengkap dos kedua vaksin serta purata jumlah pelanggan yang ramai diterima setiap hari.

Katanya, dengan jumlah pelanggan yang agak ramai dia bimbang tidak dapat mengawal dan memastikan setiap pelanggan mengikuti SOP ditetapkan.

"Walaupun kerajaan telah benarkan dine-in, tetapi saya masih belum yakin untuk benarkan pelanggan makan di dalam kedai kerana buat masa ini kami menerima jumlah pelanggan yang agak ramai dengan purata sekitar 500 orang setiap hari.

"Setakat ini pelanggan hanya dibenarkan untuk bungkus.

"Apabila situasi Covid-19 semakin pulih dan semua pekerja lengkap dengan dos kedua vaksin barulah pelanggan dibenarkan makan dalam kedai,” katanya.

Fauzi Nasi Kerabu yang mempunyai enam pekerja telah memulakan perniagaan sejak 23 tahun lalu dan memiliki purata 1,000 pelanggan setiap hari sebelum pandemik Covid-19.

Kedai makan yang beroperasi di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu itu dibuka dari jam 6.30 pagi hingga 1 petang.

Kedai makan Fauzi Nasi Kerabu yang beroperasi di Jalan Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu masih belum membenarkan pelanggan makan di kedai berikutan kebimbangan terhadap kes Covid-19 yang masih tinggi.
Klik di sini untuk terus membaca