SHAH ALAM - Pengerusi MIC, Tan Sri S A Vigneswaran mengesahkan terdapat pertemuan antara Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan ketua-ketua parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bangunan Putra Perdana pada petang Rabu.
Bagaimanapun, bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu tidak mendedahkan intipati pertemuan yang difahamkan bakal berlangsung pada jam 5 petang.
Menurutnya, beliau hanya menerima sepucuk surat jemputan daripada pihak Perdana Menteri yang isi kandungannya tidak menyatakan tujuan pertemuan itu diadakan.
"Ya, memang ada pertemuan antara Perdana Menteri dan ketua-ketua parti dalam kerajaan PN hari ini (Rabu).
"Saya tidak tahu (intipati pertemuan). Saya cuma terima surat jemputan. Jumpa pun tidak lagi. Kena tengoklah apa tujuan pertemuan selepas petang ini (5 petang)," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Sejak Selasa, tular dakwaan satu pertemuan bakal diadakan antara Muhyiddin dan ketua-ketua parti di bawah pentadbiran kerajaan PN dijangka berlangsung pada petang Rabu melalui aplikasi WhatsApp.
Maklumat tular itu antara lain menyebut pertemuan tersebut diadakan di bangunan Perdana Putra, Putrajaya jam 5 petang.
Suhu politik kembali panas selepas beberapa hari Muhyiddin menegaskan keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri akan ditentukan di Parlimen, September depan.
Menurut laporan sebuah portal, Muhyiddin juga dijadualkan akan bertemu dengan pemimpin politik Sabah dan Sarawak di Kuala Lumpur pada Rabu
Terdahulu, Muhyiddin mempengerusikan mesyuarat kabinet di pejabatnya.
Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada PN.
Susulan itu, dua menteri UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad masing-masing sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Menteri Pengajian Tinggi, mengumumkan peletakan jawatan.
Klik di sini untuk terus membaca