SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus memberi ruang pakatan itu mewujudkan kerajaan perpaduan bagi menjamin kestabilan politik.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin disarankan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan baharu, sekali gus memberi ruang pakatan itu mewujudkan kerajaan perpaduan bagi menjamin kestabilan politik.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad berkata, cadangan itu dikemukakan memandangkan Muhyiddin secara jelas sudah tidak lagi mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen susulan keputusan UMNO menarik sokongan terhadap beliau.

Beliau turut berpendapat Perdana Menteri itu tidak perlu menunggu sehingga pelaksanaan sidang Parlimen pada bulan September ini untuk menentukan keabsahan sokongan majoriti, sebaliknya Muhyiddin perlu segera menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi memohon perkenan meletak jawatan Perdana Menteri.

"Seruan kepada Muhyiddin setelah beliau menyebabkan seluruh negara porak-peranda selepas 'Langkah Sheraton', beliau perlu meletakkan PH menjadi kerajaan semula dengan kembali menyokong kami.

"Muhyiddin kena meletakkan jawatan sebagaimana dilakukan (bekas Perdana Menteri dua kali) Tun Dr Mahathir Mohamad tahun lalu, serah kembali kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menentukan siapa yang mempunyai sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri.

"Dengan Muhyiddin kembali ke pangkal jalan, PH sudah cukup majoriti untuk bentuk kerajaan dan kami akan usahakan pula pembentukan kerajaan perpaduan dengan memujuk UMNO menyertainya," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Muhyiddin dikatakan bakal menghadap Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat bagi memohon perkenan pembubaran Parlimen.

Dakwaan itu tercetus susulan tekanan berterusan daripada UMNO yang sudah mengutuskan empat warkah kepada Yang di-Pertuan Agong bagi membuktikan pendirian sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen parti itu menarik sokongan terhadap Muhyiddin ketika ini.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil pada Selasa dilapor mengesahkan parti itu telah mengutuskan warkah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menolak kepimpinan Muhyiddin.

Pada 3 Ogos lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara menarik sokongan kepada PN.

Susulan itu, dua menteri UMNO, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah dan Datuk Seri Noraini Ahmad masing-masing sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli serta Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan peletakan jawatan.

Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan beliau masih memiliki sokongan majoriti dan bersedia mendepani undi usul percaya pada sidang Parlimen bulan hadapan, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Tambah Khalid lagi, pada ketika ini, Muhyiddin hanya mempunyai dua opsyen bagi memastikan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih kekal di dalam blok kerajaan.

Amanah cadangkan Muhyiddin perlu kembali sokong PH membentuk kerajaan baharu bagi bolehkan usaha wujudkan kerajaan perpaduan tercapai.

Jelas Ahli Parlimen Shah Alam, UMNO perlu memilih sama ada hendak kembali menyokong UMNO yang telah mengkhianati beliau atau kembali kepada PH dengan kedua-dua opsyen itu pastinya tidak akan membolehkan beliau kekal Perdana Menteri.

"Memandangkan UMNO sudah menegaskan tidak akan bersekutu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta DAP bagi membentuk kerajaan baharu, cara terbaik Muhyiddin menebus dosa khianat beliau adalah dengan memastikan 32 ahli Bersatu termasuk geng Azmin (Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) datang kembali menyokong PH.

"Dengan PH mendapat sokongan majoriti, Anwar berkemungkinan besar akan jadi Perdana Menteri dan PH akan berusaha untuk menarik UMNO menyertai kerajaan perpaduan bagi menjamin kestabilan politik.

"Paling penting, aspek kepimpinan kerajaan perpaduan itu mesti diserahkan kepada PH kerana kepimpinan Bersatu dan UMNO sewaktu kerajaan Perikatan Nasional (PN), terbukti gagal," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca