DALAM sejarah Melayu lama, kita sering disajikan dengan kronologi dan kisah pahlawan yang terpaksa menderhaka demi memperjuangkan kebenaran dan keadilan seperti hikayat Hang Jebat yang diperkatakan sehingga zaman ini. Melihat senario... Klik di sini untuk terus membaca

DALAM sejarah Melayu lama, kita sering disajikan dengan kronologi dan kisah pahlawan yang terpaksa menderhaka demi memperjuangkan kebenaran dan keadilan seperti hikayat Hang Jebat yang diperkatakan sehingga zaman ini.

Melihat senario politik hari ini, ada dakwaan yang mengatakan bahawa Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob seolah-olah bayangan ‘Hang Jebat’ dalam UMNO lantaran tindakan beliau merupakan satu bentuk ketidakpatuhan kepada parti tersebut.

Ini rentetan tindakan beliau dan 27 ahli parlimen Barisan Nasional (BN) membuat pendirian untuk menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong memperkenankan kerajaan meneruskan pentadbiran dan menentukan keabsahan dengan membentangkan satu usul undi percaya di Parlimen pada September nanti.

Kenyataan itu bagaimanapun bercanggah dengan pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa pucuk pimpinan UMNO yang mahu semua ahli Parlimen parti tersebut menarik diri daripada menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Menyedari sebagai 'kepala' kem tidak sealiran dengan keputusan Presiden, Ismail Sabri pada sidang media empat hari lepas berpandangan bahawa tidak timbul isu derhaka di pihak mereka kerana derhaka yang sebenar adalah pihak yang melanggar titah Seri Paduka Baginda. Akui Ismail Sabri, beliau hanya bertanggungjawab mempertahankan negara.

Posisi Ismail Sabri dan kumpulannya kini dihimpit oleh kedua belah pihak antara setia kepada pendirian presiden dan parti atau tanggungjawab dan jawatan dalam kerajaan.

Bagi veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad, tindakan Ismail Sabri itu patut dipersoalkan kerana bercanggah dengan keputusan parti yang dipersetujui oleh majoriti pucuk pimpinan UMNO dan bukan sahaja Presiden.

Shahrir Abdul Samad

"Penderhakaan adalah terlalu besar untuk dilabel pada beliau tetapi apa yang pasti beliau menolak dan mengetepikan keputusan parti yang pada awalnya membentuk kerajaan PN ini.

"Sepatutnya beliau harus mendengar dan menghormati keputusan parti kerana ini bukan keputusan Zahid seorang, namun ia keputusan parti yang berasaskan kepada rentetan usul Perhimpunan Agung UMNO (PAU).

"Ismail Sabri orang lama dalam parti. Saya rasa dia faham bagaimana keadaan parti, sedar ini keputusan parti dan tahu implikasi melanggar keputusan parti. Oleh itu, persoalan sama ada beliau mengkhianat atau tidak, hanya diri beliau sahaja yang tahu,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambahnya, semua keputusan UMNO ketika ini berasaskan pendirian konsisten parti keramat berkenaan semasa PAU di mana parti itu menolak bersama dengan Bersatu, lantas UMNO ketika ini bukan sahaja menarik balik sokongan kepada Muhyiddin malah kerajaan PN.

"Asas pendirian UMNO ketika PAU adalah kita tidak akan bersama dengan Bersatu. Ketika itu, tiada siapa termasuk Ismail Sabri menolak pendirian ini kecuali Datuk Seri Shahidan Kassim (Ahli Parlimen Arau). Adakah kumpulan Ismail Sabri hendak pergi menarik balik keputusan sedangkan presiden sendiri tidak boleh batalkan?

"Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi hanya melaksanakan mengikut keputusan yang telah dibuat. UMNO tidak kejar jawatan dan apa yang kita hendakkan adalah satu urus tadbir yang baik dari segi Covid-19, ekonomi dan demokrasi negara yang membawa kepada perbincangan 7 Julai lepas,” katanya.

Tambah beliau, yang menjadi keresahan rakyat ketika ini bukannya soal siapa pengganti Perdana Menteri atau kerajaan mana yang patut memerintah namun kemampuan kerajaan PN yang tidak meyakinkan.

"Silap terbesar Muhyiddin dan kerajaan PN adalah menutup parlimen. Walaupun bergiat dalam sistem demokrasi negara, ramai yang tidak layak digelar seorang ‘demokrat’ kerana sibuk mengejar jawatan. Oleh itu, perlunya penukaran pemimpin kerana kerajaan ini tidak cekap dan gagal meyakinkan orang ramai.

"Jadi dengan pengesahan Ismail Sabri sendiri dan majoriti yang tidak mencukupi, negara berada dalam keadaan di mana berdasarkan perlembagaan Perkara 43(4), jika Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

"Jadi tak payah tunggu September kerana Perdana Menteri secara jelas sudah hilang kepercayaan rakyat dan sepatutnya dalam tempoh 24 jam beliau kena bertindak. Saya faham negara berada dalam keadaan luar biasa akibat pandemik, namun kepimpinan juga harus luar biasa selari dengan keadaan semasa,” katanya.

Kestabilan negara

Dalam pada itu, penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berpandangan bahawa tindakan Ismail Sabri yang kekal untuk bersama dengan kerajaan satu insiatif yang baik walaupun di atas pendirian politik ramai pihak mendakwa ia satu bentuk ‘pengkhianatan’.

Noor Nirwandy Mat Noordin

"Walaupun mereka terikat dengan parti, tetapi dari segi untuk memastikan keadaan stabil negara, maka tindakan yang diambil oleh ahli parti itu perlu menjangkaui perkara-perkara yang berkaitan terutamanya membabitkan kestabilan kerajaan dan keselamatan rakyat keseluruhannya. Itu yang perlu diberi keutamaan.

"Dengan kedudukan sebagai ahli parlimen, mereka tertakluk untuk berkhidmat kepada rakyat terutamanya bagi mereka yang berjawatan. Maka, dari segi pentadbiran, mereka tidak boleh membelakangi tanggungjawab mereka kerana itulah asas kepada akur janji atas sumpah yang mereka lafazkan ketika menyandang jawatan tersebut," katanya.

Dari segi parti pula, beliau berpendapat tidak timbul isu pengkhianatan kerana mereka hanya menggalas tanggungjawab diberikan oleh kerajaan dan ini bukan masa yang sesuai untuk mana-mana parti keluar dari kerajaan ketika negara dilanda pandemik Covid-19.

"Tidak timbul isu pengkhianatan dari kedudukan mereka kerana apa yang berlaku pada parti seperti parti UMNO adalah berkaitan dengan perkara-perkara yang membabitkan pucuk pimpinan tertentu dan bukan keseluruhan parti tersebut. Jika perkara ini berlarutan, dikhuatiri akan berlaku lagi perkara yang berhubung dengan politik tidak berkesudahan.

"Apa yang penting untuk mereka yang dalam kerajaan atau di dalam parlimen lakukan adalah untuk mengetepikan isu perbezaan politik bagi memastikan keselamatan kesihatan dan kestabilan ekonomi dapat disatukan dah menambah baik apa yang sedia ada sekiranya masih ada kelemahan," katanya.

Tambahnya, perkara terakhir adalah memastikan dominasi politik Melayu Islam terus mengetuai jentera pentadbiran negara dan ini adalah satu formula perpaduan yang perlu dikekalkan.

"Apabila UMNO sudah kalah selama 20 bulan, terbukti timbulnya permasalahan atau isu-isu dalam parti sehingga mengakibatkan perpecahan. Akhirnya apabila Bersatu berjaya mengimbangi atau membuka peluang baru untuk UMNO khususnya bersama kerajaan, maka satu bentuk dominiasi orang Islam baharu telah terbina dan perlu dikekalkan.

"Sekiranya ia runtuh disebabkan beberapa perkara seperti elemen-elemen kepimpinan yang bergolak, ia akan memberi satu kerugian pentadbiran kerana inilah salah satu waktu utama untuk menyaksikan politik orang Islam boleh bergabung untuk mengetengahkan isu-isu kepentingan ummah di samping isu-isu lain,” katanya.

Selain Ismail Sbarim berikut 17 Ahli Parlimen yang hadir pada sidang media Jumaat lepas:

1. Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap)

2. Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (Arau)

3. Datuk Seri Idris Jusoh (Besut);

4. Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak)

5. Datuk Seri Hasan Arifin (Rompin)

6 Tan Sri Annuar Musa (Ketereh)

7. Datuk Halimah Mohamed Sadique (Kota Tinggi)

8. Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Kuala Krau)

9. Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (Lipis)

10. Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (Maran)

11. Mohd Shahar Abdullah (Payar Besar)

12. Datuk Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar);

13. Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Padang Rengas);

14. Datuk Seri Jalaluddin Alias (Jelebu)

15. Datuk Salim Sharif (Jempol)

16. Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam)

17. Datuk Seri M Saravanan (Tapah)

Ahli Parlimen yang menandatangani pendirian berkenaan namun tidak hadir :

1. Datuk Seri Ahmad Hamzah (Jasin)

8 lagi Ahli Parlimen yang tidak hadir tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan:

1. Khairy Jamaluddin (Rembau)

2. Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara);

3. Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas);

4. Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong)

5. Datuk Arthur Joseph Kurup (Pensiangan)

6. Datuk Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar)

7. Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (Putrajaya)

8. Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (Tanjung Piai)

Klik di sini untuk terus membaca