SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghormati Perkara 43 (4)Perlembagaan Persekutuan dengan beliau hendaklah segera meletakkan jawatan susulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai sudah hilang majoriti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin perlu menghormati Perkara 43 (4)Perlembagaan Persekutuan dengan beliau hendaklah segera meletakkan jawatan susulan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipercayai sudah hilang majoriti ketika ini.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, perkara itu termaktub dalam aspek perundangan negara di mana Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan apabila seorang Perdana Menteri telah didapati hilang sokongan majoriti, maka beliau perlu meletakkan jawatan dan mengesyorkan cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

Jelas beliau, Muhyiddin perlu menyerahkan kembali kepada bidang kuasa dan kebijaksanaan Seri Paduka Baginda bagi menentukan sama ada baginda mahu membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya umum dengan segera atau tidak.

"Saya lebih melihat soal perundangan negara berasaskan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang jelas menyatakan kalau Perdana Menteri telah hilang sokongan majoriti, maka beliau hendaklah meletakkan jawatan dan mencadangkan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Dalam konteks ini, Perdana Menteri perlu serah kembali kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan seterusnya.

"Perkara itu perlu dijaga Perdana Menteri dan semua pihak supaya kerajaan yang berfungsi ketika ini tidak dilihat bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bakal meletak jawatan dan memohon cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi sesi mesyuarat pra-Kabinet di Istana Negara hari ini. - Foto Bernama

Desas-desus itu semakin bertiup kencang susulan Muhyiddin dan kerajaan PN dikatakan sudah hilang majoriti sokongan ahli-ahli Parlimen apabila UMNO memutuskan pendirian menarik sokongan terhadap Perdana Menteri itu berkuatkuasa 3 Ogos lalu.

Sehingga kini, Sinar Premium difahamkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen UMNO yang sudah menyatakan keputusan menarik sokongan terhadap Muhyiddn dengan sejumlah empat warkah memaklumkan perkara itu sudah diutus kepada Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan bersedia menyelesaikan isu pertikaian keabsahan kerajaan PN melalui usul undi percaya pada sidang Parlimen, bulan September hadapan.

Sementara itu, Mujahid menegaskan berdasarkan perkiraan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen UMNO yang telah disahkan menarik sokongan terhadap Muhyiddin, blok pembangkang yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Pejuang Tanahairku (Pejuang), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan sebahagian UMNO sendiri sudah memiliki bilangan 120 ahli Parlimen berpendirian menolak Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

Ujarnya, hal ini disebabkan blok pembangkang termasuk PH, Pejuang dan Warisan sebelum ini mempunyai 105 ahli Parlimen yang secara terbuka menuntut Muhyiddin meletak jawatan.

"Isu sama ada penentuan keabsahan Muhyiddin berlaku di luar Dewan Rakyat atau perlu melalui usul undi percaya, terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong bagi menentukannya.

"Paling utama, semua pihak perlu prihatin dalam menghormati Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan kerana jumlah ahli Parlimen menolak Muhyiddin sudah dibuktikan mencecah 120 orang," katanya.

Ditanya sama ada Muhyiddin boleh meminta untuk membubarkan Parlimen pada saat krisis Covid-19 semakin memuncak, Mujahid menjelaskan kuasa menentukan Parlimen terbubar terletak di bawah bidang kuasa Yang di-Pertuan Agong meskipun mendapat nasihat Perdana Menteri.

"Namun, kita sudah boleh baca sekiranya Parlimen terbubar dengan pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak boleh diadakan segera, Yang di-Pertuan Agong perlu mencari jalan lain bagi memastikan isu pertikaian kerajaan baharu dapat diselesaikan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca