SHAH ALAM - Timbalan Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan tindak-tanduk pemimpin pembangkang yang tidak henti-henti mendesak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan pada saat negara berdepan dengan kemuncak krisis pandemik Covid-19.
Jelas beliau, desakan pemimpin pembangkang termasuk segelintir pemimpin UMNO itu seolah-olah menunjukkan mereka bimbang dengan kemungkinan usul undi percaya kepada Muhyiddin yang akan diadakan pada sidang Parlimen bulan September hadapan, bakal memihak kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu.
Menurut Ahli Parlimen Pasir Mas itu, kelompok yang mahu melihat kerajaan PN jatuh harus bersabar dan memberi ruang terlebih dahulu kepada kerajaan menfokuskan usaha membantu rakyat pada saat krisis Covid-19, termasuk mempercepatkan proses vaksinasi.
"Pandangan saya, adakah mereka bimbang usul undi percaya Perdana Menteri bakal 'lulus' pada sidang Parlimen bulan hadapan (September)?
"Takkan lari gunung dikejar, mereka kena bersabar sehingga persidangan Dewan Rakyat berlangsung untuk jatuhkan kerajaan PN...Mengapa mereka tidak mengambil peluang ini untuk bersiap sedia dari semua sudut termasuk menentukan siapa calon Perdana Menteri baharu kelak?
"Saya difahamkan ada pemimpin yang calonkan diri sendiri sebagai Perdana Menteri...Tak usah bimbang sangat, tunggu sahajalah usul undi percaya pada bulan September kalau betul kerajaan PN sudah tiada majoriti," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dikatakan bakal meletak jawatan dan memohon cadangan pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong dalam masa terdekat.
Desas-desus itu semakin bertiup kencang susulan Muhyiddin dan kerajaan PN dikatakan sudah hilang majoriti sokongan ahli-ahli Parlimen apabila UMNO memutuskan pendirian menarik sokongan terhadap Perdana Menteri itu berkuatkuasa 3 Ogos lalu.
Sehingga kini, Sinar Premium difahamkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen UMNO yang sudah menyatakan keputusan menarik sokongan terhadap Muhyiddn dengan sejumlah empat warkah memaklumkan perkara itu sudah diutus kepada Yang di-Pertuan Agong.
Bagaimanapun, Muhyiddin dalam satu kenyataan sebelum ini menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan bersedia menyelesaikan isu pertikaian keabsahan kerajaan PN melalui usul undi percaya pada sidang Parlimen, bulan September hadapan.
Sementara itu, Ahmad Fadhli turut menggesa kerajaan PN agar tidak melayan sebarang 'dongeng' politik yang dicanangkan pihak pembangkang, sebaliknya terus memperhebatkan gerak kerja membantu rakyat yang terkesan teruk akibat pandemik Covid-19.
Jelas beliau, dengan kehadiran musim tengkujuh yang baru bermula, kerajaan PN perlu menfokuskan usaha pemberian vaksin segera kepada penduduk di kawasan-kawasan berisiko banjir.
"Dengan segala macam varian yang wujud ketika ini, saya bimbang kehadiran musim tengkujuh membantu memudahkan penularan jangkitan Covid-19 terutama kepada penduduk kawasan terdedah ancaman banjir.
"Saya minta kerajaan PN ketepikan desakan politik bersifat 'dongeng' oleh pihak pembangkang, sebaliknya tumpukan sepenuhnya usaha mempercepatkan proses vaksinasi kepada penduduk kawasan-kawasan berisiko banjir," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca