MAJLIS Dakwah Negara (MDN) di bawah pimpinan Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dengan kerjasama Yadim dan penyertaan melebihi 300 individu daripada 40 organisasi dakwah di Malaysia berjaya menganjurkan sesi kedua Konvensyen... Klik di sini untuk terus membaca

MAJLIS Dakwah Negara (MDN) di bawah pimpinan Profesor Emeritus Datuk Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid dengan kerjasama Yadim dan penyertaan melebihi 300 individu daripada 40 organisasi dakwah di Malaysia berjaya menganjurkan sesi kedua Konvensyen Dakwah Negara pada 9 Ogos 2021 secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan Facebook Live.

Satu lagi lakaran sejarah dalam agenda dakwah negara tercatat atas cadangan untuk menubuhkan Majlis Syura Kebangsaan yang merupakan sebahagian penghasilan dan kesepakatan daripada perbincangan Konvensyen Dakwah Negara demi penyelarasan, kesinambungan gerak kerja, kerjasama, persefahaman dan penyatuan hati dan minda dalam pelaksanaan usaha-usaha dakwah di tanah air ini.

Secara implisitnya, penubuhan majlis ini merupakan indikator keprihatinan para pendakwah berpengalaman yang sudah lama berkecimpung dalam arena ini demi mewujudkan kesatuan pemikiran (wihadatul fikrah) dan yang lebih utama lagi adalah keharmonian masyarakat majmuk beragama Islam di Malaysia ini (wihdatul ummah).

Cadangan penubuhan Majlis Syura ini dipercayai bakal memantapkan lagi gerakan dakwah seluruh organisasi yang terlibat dalam menggembleng tenaga menyebarkan keindahan dan kebahagiaan rohani secara lebih sistematik dan berstruktur, yang bakal dikecapi oleh penganut agama Islam dan bukan Islam jika dilaksanakan mengikut acuan al-Quran dan al-Sunnah secara komprehensif.

Sifat inklusif dan keterbukaan MDN dalam menyantuni segenap lapis masyarakat dengan pelbagai latar belakang merupakan salah satu manifestasi rahmatan lil ‘alamin dalam dunia dakwah.

MDN telah terbukti membuka seluruh ruang dan peluang kepada setiap organisasi dakwah untuk berjalan beriringan dengan memberikan pandangan, buah fikiran, cetusan gagasan bahkan luahan perasaan dan keluhan yang dihadapi oleh para pendakwah di tanah air sama ada mewakili persatuan mereka ataupun individu-individu yang bekerja untuk kelestarian agama dan kesatuan ummat melalui landasan dakwah.

Justeru sesi kedua KDN telah menyaksikan kecintaan umat Islam di Malaysia dan keseriusan mereka dalam mengembalikan kegemilangan Islam yang bakal dinikmati kemanisan hati dan kenikmatan beribadah jika dapat direalisasikan meskipun ketika diuji dengan era pandemik, ekonomi dan kesihatan mental dalam kalangan rakyat.

Penubuhan

Penubuhan Majlis Syura Kebangsaan ini bakal mengambil kira aspek-aspek yang merangkumi strategi dari pelbagai sudut pengurusan dan perancangan.

Dari segi dasar penubuhan, dicadangkan pertimbangan sewajarnya diberi kepada perancangan dan pelaksanaan aspek perkara mudah capai yang memberi kesan yang paling meluas kepada sasaran dakwah.

Antara persoalan umum yang perlu dititikberatkan berkenaan Majlis Syura adalah komposisi, kewibawaan dan penyelarasan.

Selain penglibatan pelbagai organisasi dakwah dan agama seluruh negara, adalah dicadangkan agar komposisi Majlis Syura untuk turut sama meliputi pihak berkepentingan dalam perihal keperluan asas hidupan yang merangkumi unsur-unsur keutamaan dalam maqasid syariah seperti kerohanian, kebajikan, pendidikan, kesihatan, teknologi dan digital, serta kebudayaan.

Komposisi ini perlu diisi selari dengan fitrah penciptaan manusia yang merangkumi akal, hati, fizikal dan mental agar dapat membantu proses pembinaan insan sejahtera yang seimbang dari sudut jasad dan rohnya sebahagiannya bertepatan dengan Falsafah Pendidikan Negara dan secara asasnya adalah selari dengan kehendak wahyu yang bersifat syumul.

Komposisi yang dapat mengharmonikan antara keperluan material dan spiritual ini dipercayai dan diharapkan dapat menatijahkan penghasilan positif yang lebih inklusif dan menyeluruh.

Pengajaran berharga daripada sirah nabawiyyah dan zaman kegemilangan Islam di bawah pemerintahan para khalifah yang adil dan beriman memberikan kita pengajaran bahawa antara elemen kerohanian yang paling utama dalam jatuh bangunnya seseorang pemimpin dan pasukan negara adalah dinilai dari sejauh mana kewibawaan barisan syura yang memainkan peranan penting dalam menentukan keputusan-keputusan besar untuk maslahat umum.

Demikian juga dikiaskan bagi kelestarian agenda dakwah negara dan keberkesanan gerak kerja di seluruh Malaysia perlulah diwujudkan satu Majlis Syura yang terdiri daripada barisan individu dan organisasi yang dipercayai dan diyakini kewibawaan dari sudut rohani dan fizikalnya oleh masyarakat majmuk di negara ini.

Kewibawaan

Kewibawaan merupakan salah satu kayu ukur yang bakal menentukan keberkesanan Majlis Syura yang bakal ditubuhkan. Selain pengiktirafan pimpinan tertinggi negara, keterlibatan dan pengenalpastian setiap peringkat yang terlibat perlu dibuat.

Antara peringkat-peringkatnya ialah peringkat penghasilan perundangan penguatkuasaan (sekurang-kurangnya usul/cadangan/sumbangan dalam penghasilan polisi); pengiktirafan dan bidang kuasa jelas sebagai institusi agama/dakwah di peringkat negeri; dan mampu mewakili suara dan pendirian rakyat (melalui pengendalian inisiatif meraih maklum balas dan sebagainya.)

Memaklumi akan kewujudan sedia ada entiti-entiti dakwah di pelbagai peringkat dalam struktur pemerintahan kerajaan baik secara rasmi, mahupun organisasi pertubuhan bukan kerajaan dan individu-individu da’ie yang bertebaran menyumbang ke arah kerja dan pelaksanaan dakwah di seluruh negara, usaha penyelarasan harus dirancang dan diperjelas terlebih dahulu.

Dr Mahmood Zuhdi telah memberikan ulasan pada penghujung konvensyen secara ringkasnya akan mengusahakan koordinasi penyampaian penghasilan di peringkat Majlis Raja-Raja, Jabatan Agama Islam Negeri, Majlis Mufti Negara dan sebagainya.

Usaha susulan di peringkat perlaksanaan seperti kerjasama dengan infrastruktur kerajaan persekutuan, kerajaan negeri, agensi kerajaan, pertubuhan berdaftar dan sektor swasta perlu digemblengkan dalam usaha mencapai agenda tersebut.

Di samping itu, penyelarasan usaha pembangunan yang lebih menyeluruh, mampan dan berdaya saing perlu diusahakan melalui strategi kempen penerimaan dan merakyatkan agenda dakwah negara agar lebih diterima masyarakat awam dan menjanjikan natijah yang kelak menghadirkan ketenangan hati yang abadi dalam meraih cinta Ilahi.

Dalam segala kesusahan, pasti akan disusuli dengan kemudahan. Malaysia telah sekian lama meraih manfaat daripada keluhuran perlembagaan peringkat tertinggi berpaksikan Islam, dan antaranya telah berjaya menghasilkan suasana dakwah yang aktif dan bertenaga.

Semoga penubuhan Majlis Syura Kebangsaan ini akan dapat mengambil peluang daripada kesan Covid19 dengan "menjemput” ke arah tajdid identiti masyarakat majmuk yang mampu berijtihad dengan harmoni melalui kerohanian dan akhlak Islam yang sejagat.

*Dr Raudlotul Firdaus Fatah Yasin ialah Pensyarah Kanan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Timbalan Pengarah Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, CENTRIS, UIAM. Emel: rawda@iium.edu.my.

*Syed Nabil Fauwaz Aljeffri ialah Pengamal Undang-Undang di Tetuan Aljeffri Dean di Kuala Lumpur. Emel: syednabil@aljeffridean.com.

Klik di sini untuk terus membaca