SAHABAT baik saya seorang perokok tegar sejak dari zaman sekolah lagi. Kerana rokok dia pernah kena ‘tendang’ dari sekolah. Dia kantoi dengan cikgu ketika sedang menghisap dalam tandas sekolah. Dahulu dia cukup setia dengan satu jenama... Klik di sini untuk terus membaca

SAHABAT baik saya seorang perokok tegar sejak dari zaman sekolah lagi. Kerana rokok dia pernah kena ‘tendang’ dari sekolah. Dia kantoi dengan cikgu ketika sedang menghisap dalam tandas sekolah.

Dahulu dia cukup setia dengan satu jenama rokok yang popular dengan kotak berwarna merah. Jenama rokok itu dahulu pernah menaja liga bola sepak kebangsaan. Generasi 1980-an cukup kenal dengan jenama ini terutama kotak tujuh batang.

Baru-baru ini, saya lihat dia sudah tukar jenama. Kotak masih berwarna merah tetapi jenamanya agak asing, JDB. Katanya, rokok murah beli bawah meja saja.

"Nak buat macam mana, harga rokok halal semakin mahal sekarang ni. Memang gila, dekat RM20 sekotak. Terpaksalah hisap rokok seludup. Lebih murah. Janji berasap,” katanya.

Itu dia cakaplah. Apa yang dia tak tahu - mungkin tahu tetapi buat-buat tak tahu - menghisap rokok seludup berbanding rokok biasa sebenarnya lebih berbahaya.

Saya pernah terbaca kisah seorang wanita yang tular di media sosial mengenai suaminya yang mengalami jangkitan pada paru-paru ekoran tabiat menghisap rokok seludup.

Difahamkan suaminya baru sahaja beralih kepada rokok berkenaan sewaktu bermulanya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Ada fakta yang lebih menakutkan sebenarnya. Seorang pakar bagitau, hisap rokok seludup boleh menyebabkan penurunan nafsu syahwat!

Kajian membuktikan, rokok-rokok seludup itu diproses tanpa pengawasan dan mengandungi pelbagai bahan berbahaya. Antaranya kencing tikus dan huraian bahan-bahan kimia yang memudaratkan kesihatan.

Malah, rokok seludup juga didapati mengandungi arsenik, kadmium, benzena, formal dehid, bahkan serbuk papan yang kandungannya lebih tinggi berbanding rokok biasa. Bahan-bahan tersebut menjadi punca utama mengundang penyakit kanser.

Permintaan

"Bahan bakar tembakau yang terdapat di dalam rokok seludup biasanya lebih tinggi. Contohnya tar melebihi 20 peratus,” kata seorang pensyarah perubatan di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Sebenarnya perokok membayar harga yang mahal melibatkan kesihatan diri, malah boleh mengancam nyawa akibat rokok murah ini. Hakikat itu memang semua tahu tapi bagi perokok tetapi, peduli apa aku!

Walaupun diakui bahaya mana pun rokok ini, ia tetap akan dijual di pasaran memandangkan terdapat permintaan yang tinggi oleh rakyat tempatan terutama ketika ramai yang hilang pendapatan akibat Covid-19 sekarang.

Satu kajian yang pernah dijalankan pada tahun 2012 mendapati, Malaysia menduduki tangga ketiga antara 11 negara Asia di mana rakyat negara ini antara pembeli tegar rokok seludup.

Oxford Economics turut melaporkan sebanyak 59 peratus pasaran rokok di negara ni adalah rokok seludup yang murah harganya.

Tidak hairanlah Malaysia menjadi juara pasaran rokok seludup murah tertinggi di dunia mengalahkan – Brazil, Ecuador, Panama dan UAE.

Rokok seludup juga mengakibatkan kerajaan hilang kutipan cukai lebih RM5 bilion iaitu melebihi kutipan cukai kerajaan terhadap rokok sah.

Apa yang membimbangkan, disebabkan berlambaknya rokok seludup murah, ramai remaja bawah umur terjebak menghisap rokok.

Saya tidak mampu menasihati sahabat saya itu untuk berhenti merokok kerana dia sendiri lebih rela tak makan asalkan dapat menghisap rokok. Jadi saya harap dia baca artikel ini dan berhenti daripada tabiat yang tidak berfaedah itu.

Seperkara lagi, kerajaan dan pihak berkuasa perlu memikirkan jalan penyelesaian, sebabnya sampai bila kita nak biarkan perokok beli rokok seludup murah?

Mungkin ada yang berkata, "Suka hati akulah nak beli rokok murah sebab duit sendiri. Kerajaan bising sebab tak dapat nak kutip cukai!”

Betul, memang duit kita. Betul, kerajaan tak dapat cukai. Tapi satu benda lagi yang kita perlu fikirkan, membeli dan menghisap rokok seludup sebenarnya menyumbang kepada kegiatan jenayah.

Menyeludup rokok saja sudah satu jenayah. Kita mungkin tidak sedar bahawa dengan membeli rokok seludup kita telah menyokong kegiatan penyeludupan rokok.

Kita secara tidak langsung menyumbang dana kepada kegiatan jenayah. Takkan kita mahu duit kita membantu operasi jenayah?

* Azmi Tarmizi ialah Pengarang Eksekutif Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca