TENTU ramai yang sudah cukup biasa dengan perkataan`kepimpinan’. Mutakhir ini, begitu banyak yang diperkatakan tentang pemimpin, kepimpinan dan kepemimpinan. Bagaimana pula dengan kepengikutan?
Aspek kepengikutan terlalu jarang diperbincangkan, sehinggakan perkataan `kepengikutan’ itu sendiri kedengaran sangat janggal dan asing. Malahan mungkin ada yang merasa sedikit sangsi, sama ada kepengikutan ini wajar atau tidak untuk diketengahkan.
Namun hakikatnya, setiap pemimpin dipilih, dilantik dan dilatih dari kalangan pengikut yang berkebolehan, setia dan berkelayakan.
Begitu juga, setiap pemimpin hari ini sebenarnya adalah pengikut kepada barisan kepimpinan yang lain, yang lebih tinggi kedudukan hierarkinya. Tidak keterlaluan jika dikatakan, tiadalah sosok pemimpin itu jika tiada pengikut yang bersamanya.
Sebenarnya, kepengikutan adalah ibarat sisi sebelah kepada kepimpinan dalam satu syiling yang sama. Kepimpinan ditakrifkan oleh Kevin Krause (2013) sebagai satu proses pengaruh sosial yang memanksimumkan usaha orang lain untuk mencapai satu matlamat.
Sementara Barbara Kellerman (2008) memberikan definisi kepengikutan sebagai tindakan ahli kumpulan yang tidak mempunyai kuasa yang khusus, tiada kedudukan autoriti dan tanpa pengaruh istimewa.
Lumrahnya, kepimpinan jauh dipandang lebih tinggi dan mulia jika dibandingkan dengan kepengikutan. Kedudukan sebagai pemimpin menjadi cita-cita dan impian ramai manusia.
Posisi tersebut dianggap sebagai jalan pintas untuk mendapatkan kuasa, pengaruh, kekayaan dan apa jua yang dihajati. Tiada siapa yang mahu terus menerus menjadi pengikut yang terpaksa akur dengan arahan ketua dan pemimpinnya.
Pemimpin sering dianggap mempunyai kebijaksanaan, ketegasan, kehebatan dan karisma, sementara pengikut pula dianggap pasif, lemah, tidak berpengetahuan tinggi, bergantung harap dan sentiasa perlu dibantu.
Dalam sistem feudalistik, persepsi dan pemikiran sebegini sudah berakar umbi zaman berzaman sehinggakan tiada lagi siapa yang mahu mempersoalkan dan mencabar pandangan tersebut.
Kalangan pemimpin dan atasan terus bermaharajalela melakukan apa jua kehendak mereka, sehingga menindas dan mengambil hak pengikut tanpa segan silu.
Sementara pengikut yang sudah terbelenggu kerangka fikirnya, menerima bulat-bulat dan pasrah menyerahkan masa depan mereka di tangan pemimpin yang khianat dan korup.
Dalam abad ke-21 ini, hubungan eksklusif antara dua darjat pengikut dan pemimpin ini mesti diubah kepada hubungan dinamik yang lebih inklusif dan kolaboratif. Tiada lagi cerun kuasa pemimpin lawan pengikut, kelas atasan kayangan dengan rakyat marhaen yang melarat.
Perbuatan memimpin dan mengikut perlu dilihat dari sudut pandang yang neutral. Ibarat bercakap dan mendengar, saling bergandingan dan bersilih ganti.
Dalam komunikasi lisan antara dua insan, bila seorang bercakap, pasti yang seorang lagi mendengar. Namun tidaklah yang bercakap dianggap lebih mulia dan berkuasa dari yang mendengar, kerana selepas itu, keduanya bertukar peranan.
Begitulah juga dalam aspek kepengikutan dan kepimpinan. Kepengikutan sama pentingnya dengan kepimpinan dalam usaha menjayakan misi dan visi yang hendak digapai.
Untuk itu, kepengikutan mesti diperkasakan untuk memainkan peranan yang lebih aktif dan efektif.
Barbara Kellerman dalam bukunya `Followership – How followers are creating change and changing leaders’ menegaskan pengikut mestilah diberikan latihan dan pendidikan kepengikutan yang khusus untuk menjadi pengikut yang berkesan, sebagaimana juga pemimpin yang perlu dilatih dengan ilmu kepemimpinan.
Sekalipun pengikut tidak mempunyai autoriti atau punca kuasa, namun mereka sebenarnya mempunyai pengaruh yang kuat untuk menjadi ejen perubahan dalam menentukan arah tuju organisasi.
Pengikut yang komited dan efektif menjadi elemen terpenting dalam aspek semak dan imbang, memastikan organisasi dan negara sentiasa berada di atas landasan yang betul.
Kini kepengikutan perlu ditakrifkan sebagai pembabitan aktif pengikut dalam menggapai matlamat organisasi dengan kemampuan berdikari dalam melaksanakan tanggungjawab secara berkesan dan penuh dedikasi.
*Prof Datuk Dr Harlina Halizah Siraj ialah Pengarah dan Pengasas AKADEMI DR HAR
Klik di sini untuk terus membaca