SHAH ALAM - Pilihan untuk membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan pilihan raya umum (PRU) adalah langkah terbaik dalam menyelesaikan kebuntuan politik negara sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Pelantikan Perdana Menteri baharu atau Perdana Menteri interim (sementara) adalah pilihan yang tidak sesuai kerana kedudukannya akan tetap goyah tanpa sokongan majoriti yang kuat, seterusnya membawa kepada situasi yang tidak menentu.
Pakar Undang-Undang dan Perlembagaan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, seandainya Perdana Menteri tidak lagi mendapat sokongan majoriti, pilihan yang boleh dibuat adalah sama ada meletakkan jawatan atau menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah membubarkan Parlimen.
"Melihatkan kepada situasi politik ketika ini, saya berpandangan solusi terbaik adalah mengadakan pilihan raya umum kerana ia akan merungkaikan isu tentang siapa yang ada majoriti dan siapa yang tiada. Itu adalah pilihan yang terbaik.
"Tetapi dalam kita mengimbangi untuk membuat keputusan antara dua keadaan yang meruncing, ia perlu dibuat selepas Yang di-Pertuan Agong mendapat nasihat daripada Majlis Raja-Raja, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk membuat cadangan.
"Namun, kalau kita masih lagi ragu-ragu dan bimbang dengan kesan pandemik terhadap pilihan raya, maka pilihan lain ialah melantik kerajaan dan Perdana Menteri interim untuk menerajui negara sehingga kita bersedia untuk mengadakan pilihan raya, mungkin lima atau enam bulan akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, mengadakan pilihan raya dalam tempoh pandemik bukanlah satu perkara asing memandangkan lebih 80 negara sudah mengadakan pilihan raya.
Katanya, di Amerika Syarikat misalnya, pilihan raya diadakan ketika puncak pandemik, malah kempen pilihan raya juga dibuat secara terbuka namun apabila tiba masa mengundi, banyak undian secara pos dibenarkan.
"Itu adalah cara-cara yang boleh difikirkan. Dalam tempoh sebulan ini, kalau kes harian Covid-19 masih tinggi dan mungkin Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan nasihat daripada SPR dan MKN, adakah sesuai untuk diadakan pilihan raya umum.
"Sekiranya pilihan raya umum diadakan, apakah caranya dan mungkin sistem baharu diperkenalkan dan sebagainya. Yang jelasnya, kalau nak buat pilihan raya, mungkin diadakan secara hibrid.
"Hibrid ini maksudnya bukan semua pengundi boleh keluar mengundi. Mungkin mengundi secara pos,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca