SEJAK Februari 2020, ke mana sahaja kita pergi dan apa juga yang kita baca, kita tidak akan lari daripada kenyataan bahawa Malaysia sedang menghadapi masalah. Paling penting untuk kita mendapat kepastian adalah apakah Malaysia ini sudah... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK Februari 2020, ke mana sahaja kita pergi dan apa juga yang kita baca, kita tidak akan lari daripada kenyataan bahawa Malaysia sedang menghadapi masalah.

Paling penting untuk kita mendapat kepastian adalah apakah Malaysia ini sudah sampai ke tahap di mana kita boleh dianggap sebagai sebuah negara yang gagal, a failed state atau adakah kita masih mempunyai harapan untuk diselamatkan?

Seperti yang saya tulis dalam kolum yang lalu, bermula September tahun 2020, sempena sambutan Hari Malaysia yang ke-57, saya memulakan satu kajian untuk menjawab pelbagai persoalan yang bermain di minda pada ketika itu.

Paling utama, saya ingin memahami apakah masalah utama yang mendepani kita di Malaysia dan bagaimana cara terbaik untuk kita keluar daripada kemelut ini.

Tajuk yang menjadi tonggak kepada kerangka kajian saya adalah sebuah kajian untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik dengan memberi fokus penelitian secara mendalam kepada asas-asas demokrasi dalam negara.

Kajian ini saya buat dengan kerjasama dan sokongan Datuk Seri Nazir Razak yang pernah juga meneliti perkara yang hampir sama ketika beliau menjadi Felo Pelawat di Sekolah Kerajaan Blavatnik, Universiti Oxford.

Kajian ini kami mulakan dengan meneliti sebuah buku terbaru yang disunting oleh Prof. Ulung Datuk Dr Rajah Rasiah bersama Tan Sri Dr Kamal Salih dengan tajuk Driving Development: Revisiting Razak’s Role in Malaysia’s Economic Progress.

Secara tidak langsung, kandungan buku ini memberi kita pengajaran tentang sejarah Malaysia yang lampau terutama insiden di sekitar waktu darurat tahun 1969 dan bagaimana Malaysia berjaya keluar daripada kemelut pada masa tersebut.

Berbekalkan sejarah lalu dan cabaran yang menanti kita, kami mulakan kajian ini dengan mengadakan pelbagai forum meja bulat secara bersemuka dan dalam talian dengan pelbagai kumpulan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Kami juga menemu duga secara individu informan-informan kajian yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin utama yang mewakili pelbagai parti politik daripada kedua-dua belah pihak.

Kami turut mengadakan kaji selidik dan membuka sebuah portal di internet sebagai tempat untuk mendapatkan maklum balas daripada pelbagai pihak.

Tentangan

Setelah semua ini dilaksanakan, berdasarkan analisis awal antara perkara yang kami kenal pasti yang menjadi masalah kita sebenarnya adalah apa juga usaha untuk membuat pembaikan kepada negara ini sering kali berhadapan dengan tentangan dan pelbagai rintangan.

Penentangan paling utama selalunya akan menggunakan peluru perkauman atau agama. Penentangan kedua akan dibuat sama ada menggunakan kuasa atau kuasa yang ada pada apparatus milik negara oleh siapa juga sang penguasa dan penentangan yang ketiga adalah dengan cara membeli sokongan melalui politik wang.

Atas apa yang disebut di atas, apa juga usaha untuk menjadikan Malaysia yang lebih baik akan berhadapan dengan seolah-olah satu raksasa yang berkepala tiga.

Kepala pertama raksasa ini adalah kuasa yang ada yang boleh digunakan untuk menggagalkan apa juga kebaikan yang ingin kita lakukan sekiranya apa yang dicadangkan tidak berpihak kepada mereka walaupun perkara itulah yang diperlukan untuk kita pulihkan Malaysia ini.

Kepala kedua pula adalah yang dipenuhi dengan orang-orang yang korup dan sanggup membeli sokongan agar memihak kepada kehendak mereka, dan kepala yang ketiga pula akan digunakan oleh mereka yang tebal dengan politik perkauman atau memainkan sentimen agama semata-mata untuk menjaga kepentingan peribadi mereka.

Raksasa

Selagi raksasa ini wujud dalam negara kita, agak sukar untuk kita membuat pembaikan atau mencadangkan transformasi dalam negara ini agar kita dapat melihat Malaysia yang lebih baik.

Sebab itu jugalah setelah lebih 50 tahun sejak Rukun Negara diperkenalkan, kita masih tidak mampu mencapai hasrat yang terkandung dalam mukadimahnya.

Mana mungkin kita capai kalau setiap kali usaha dibuat untuk menyatupadukan rakyat, akan ada pihak yang memainkan sentimen perkauman?

Begitu juga dengan rasuah. Sukar untuk kita banterasnya selagi ia menjadi alat kepada sesetengah pihak untuk meraih kuasa atau terus berkuasa.

Sambil penemuan ini tidak bermaksud untuk kita membuat generalisasi tetapi hampir kesemua informan dan responden yang kami temui ada menyebut tentang perkara-perkara ini.

Kajian ini sudah pastinya mempunyai banyak lagi penemuan dan cadangan. Bagi tujuan kolum kali ini, diketengahkan isu-isu ini terlebih dahulu.

Persoalan kita yang lebih penting sekarang, bagaimana mungkin kita mengembalikan nirmala di Malaysia kalau yang kita nampak adalah keladak yang penuh dengan noda dan dosa.

Masalah yang sedia ada ini, ditambah dengan masalah pandemik Covid-19 menjadikan kita lebih parah daripada jangkaan.

Kajian ini juga menunjukkan bahawa tahap literasi politik dan kefahaman terhadap perlembagaan kita juga berada di tahap yang rendah.

Kesemua ini menambahkan kemelut yang mendepani kita. Ada cadangan untuk kita membuat reset atau reboot, sama seperti kita reboot komputer untuk memulakan semula.

Tetapi saya ingin cadangkan sebelum kita reboot, kita perlu cucukkan satu vaksin antivirus bagi membunuh raksasa tiga kepala ini terlebih dahulu.

Hanya dengan cara ini, kita harapkan kita akan dapat mengembalikan nirmala di Malaysia. Semoga usaha kita semua akan diberkati.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca