SHAH ALAM - Solusi krisis pentadbiran negara pada ketika ini hanya boleh tercapai sekiranya semua parti politik bergabung membentuk sebuah kerajaan perpaduan, sekali gus memenuhi hasrat Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan stabil... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Solusi krisis pentadbiran negara pada ketika ini hanya boleh tercapai sekiranya semua parti politik bergabung membentuk sebuah kerajaan perpaduan, sekali gus memenuhi hasrat Yang di-Pertuan Agong agar sebuah kerajaan stabil benar-benar diwujudkan.

Bekas Peguam Persekutuan di Jabatan Peguam Negara, Profesor Datuk Dr Salleh Buang berkata, solusi itu perlu direalisasikan segera setelah kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini dianggap hilang majoriti susulan sebilangan ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pada masa sama, beliau turut memohon sembah perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan cadangan pelantikan tokoh-tokoh negarawan seperti bekas Perdana Menteri dua kali, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah untuk mengetuai kerajaan perpaduan itu.

Hal ini kerana Salleh berpendapat dua pemimpin veteran itu sangat berpengalaman dalam memacu bahtera pentadbiran negara mengharungi gelora pandemik Covid-19 selain mampu mencurahkan jasa terakhir secara 'last hurrah' kepada negara kerana mereka tiada kepentingan politik.

"Buat sementara waktu sebelum krisis Covid-19 kembali reda, kalau sekiranya tiada pilihan Perdana Menteri baharu dengan tiada parti yang mempunyai cukup sokongan majoriti untuk membentuk kerajaan stabil.

"Semua parti politik perlu kembali kepada titah Yang di-Pertuan Agong yang menuntut isu krisis Covid-19 diselesaikan segera, sidang Parlimen diadakan secara penuh serta hasrat Seri Paduka Baginda yang paling penting, wujudkan sebuah kerajaan stabil dan kukuh.

"Pada masa ini, biarlah semua parti politik melaksanakan gencatan politik, bergabung membentuk kerajaan perpaduan serta memberi laluan kepada Tun M (Dr Mahathir) atau Ku Li mengepalainya sebagai simbolik perkhidmatan 'last hurrah'," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas krisis pentadbiran kerajaan Persekutuan dihadapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini susulan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa sudah kehilangan sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

Hal ini susulan UMNO yang sebelum ini merupakan sebahagian kerajaan PN, membuat ketetapan untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin pada 3 Ogos lalu, lalu menyebabkan sekurang-kurangnya 15 ahli Parlimen parti itu sudah mengesahkan penarikan sokongan terhadap kerajaan PN.

Atas kertas, jumlah sokongan didakwa dimiliki Muhyiddin ketika ini adalah berjumlah 100 ahli Parlimen dengan jumlah ahli-ahli Parlimen yang dikatakan menolak beliau mencapai 120 orang termasuk sebilangannya daripada UMNO.

Bagaimanapun, sehingga kini, tiada satu parti yang mendakwa mempunyai sokongan majoriti ahli Parlimen untuk membolehkan calon Perdana Menteri baharu diangkat Istana Negara bagi menggantikan Muhyiddin.

Muhyiddin sebelum ini ini menegaskan beliau masih mempunyai sokongan majoriti dan sudah menerima perkenan Seri Paduka Baginda untuk mengadakan usul undi percaya di sidang Parlimen bulan September hadapan, bagi menentukan keabsahan kerajaan PN.

Majoriti pemimpin dan pemerhati politik berkongsi pandangan untuk tidak bersetuju sekiranya Yang di-Pertuan Agong memperkenan cadangan pembubaran Parlimen sekiranya dikemukakan Perdana Menteri ketika ini.

Hal ini susulan kes jangkitan Covid-19 mencapai tahap kemuncak melewati 20,000 kes dengan keputusan mengadakan pilihan raya umum akan mengulangi implikasi negatif penularan gelombang baharu pandemik itu selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan tahun lalu.

Bagi merealisasikan pembentukan kerajaan perpaduan, Salleh yang juga seorang pakar perundangan menegaskan Yang di-Pertuan Agong boleh menggunakan kuasa simpan (reserve power) bagi menasihati Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan.

Hal ini selari dengan realiti dihadapi Muhyiddin yang dianggap hilang majoriti dengan beliau sepatutnya perlu meletak jawatan bagi memenuhi aspirasi Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan ketika ini.

"Secara realitinya, Muhyiddin sendiri pun dipilih bukan atas faktor menang pilihan raya, namun berdasarkan sokongan ahli-ahli Parlimen untuk bentuk kerajaan baharu selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.

"Untuk membentuk kerajaan perpaduan, pelantikan Perdana Menteri bersifat interim atau kontrak tidak semestinya atas kapasiti sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen.

"Tetapi semua ahli Parlimen dan parti politik perlu berkorban menerima calon pilihan Yang di-Pertuan Agong atas dasar keperluan mengutamakan kepentingan negara berbanding politik parti pada saat genting ketika ini," katanya.

Tambah Salleh lagi, cadangan pemilihan Dr Mahathir dan Ku Li sebagai calon Perdana Menteri 'kontrak' bagi kerajaan perpaduan ini atas faktor kebanyakan idea Ahli Parlimen Langkawi untuk memulihkan negara daripada ancaman pandemik termasuk penubuhan Majlis Pemulihan Negara, kini diguna pakai kerajaan PN sendiri.

"Nama Ku Li pula dicadangkan kerana beliau merupakan seorang pemimpin veteran yang berprinsip serta sanggup berkorban demi kepentingan negara.

"Melalui pembentukan kerajaan perpaduan ini, semua parti kena simpan angan-angan politik buat sementara dan bersama-sama berganding bahu menyelamatkan negara daripada tri-krisis dihadapi ketika ini iaitu krisis kesihatan, politik dan ekonomi," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca