JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar memberi mesej tegas kepada Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu dalam pembukaan persidangan keempat Dewan Negeri Johor pada hari Khamis.
Sultan Johor bertitah, jika ADUN-ADUN Johor hanya memikirkan kedudukan diri sendiri berbanding berkhidmat kepada rakyat adalah lebih baik tidak perlu ada wakil rakyat di negeri itu.
Baginda menasihatkan semua ADUN supaya menggunakan sesi persidangan kali ini untuk berbincang dan menyusun pelan tindakan bagi menolong rakyat dan membangunkan semula ekonomi Johor bukannya bermain politik.
"Ahli-Ahli Dewan tidak perlu berbahas atau membawa usul yang tidak berkenaan. Awak semua jangan pentingkan diri sendiri.
"Rakyat di luar sana tengah susah, ada yang kelaparan, ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang sedang bertarung nyawa akibat wabak Covid-19.
"Ini bukannya masa untuk berbalah, tetapi ini adalah masa untuk bersatu dan bekerjasama. Jangan tanya kepada orang lain apa yang telah dibuat untuk bantu rakyat, tetapi lihatlah cermin muka sendiri,” titah Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun dalam titah selama 11 minit itu, Sultan Johor juga memberi amaran agar ADUN-ADUN Johor tidak mencemarkan Dewan Baginda yang mulia.
"Jangan cemarkan Dewan saya ini dengan perangai yang buruk. Ini adalah dewan yang mulia bukannya dewan sangkar beruk.
"Ingat pesanan saya Tuan Speaker. Jalankan kerja baik-baik dan suka juga saya ingatkan, yang saya tidak akan melayan permainan politik mana-mana wakil rakyat yang terus bertelagah sampai menganggu-gugat negeri dan kerajaan saya,” titah Baginda.
Mesej keras dan tegas daripada Sultan Johor dilihat ada kaitan dengan perkembangan politik semasa di peringkat Pusat yang kembali tidak stabil sejak beberapa minggu lalu.
Pada ketika ini, dengan penarikan sokongan 15 orang ahli Parlimen UMNO terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia mungkin menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tumbang.
Ini kerana PN hanya akan tinggal 100 kerusi manakala blok pembangkang yang mengundi tidak percaya kepada Muhyiddin akan memiliki 120 undi.
Bagaimanapun, masih belum jelas jajaran baharu yang akan dibina parti-parti politik di Pusat dan ketidaktentuan itu dijangka memberi kesan kepada beberapa kerajaan negeri.
Empat negeri yang mungkin menerima impak akibat perubahan landskap politik Persekutuan ialah Perak, Melaka, Johor dan Sabah.
Info:
DUN JOHOR
(Total 56: PH 27, BN 16, PN 13)
Perpecahan di pusat akan menyaksikan BN mungkin akan kehilangan tampuk kuasa negeri Johor.
Dengan BN cuma ada 16 kerusi, sekiranya BN bergabung dengan PH, sudah pasti gabungan DAP, Amanah dan PKR yang mempunyai 27 kerusi mahu menguasai kerajaan negeri.
DUN MELAKA
(Total 28 kerusi: BN 14, PH 11, PN 3)
Sama seperti di Perak, penarikan diri UMNO daripada kerajaan PN menyaksikan BN masih menjadi parti terbesar di DUN Melaka. Bagaimanapun UMNO dan BN perlu mencari rakan gabungan baharu untuk mendapatkan majoriti bagi membentuk kerajaan negeri.
Jika BN bergabung dengan PH, Melaka akan menyaksikan tertubuhnya kerajaan yang kukuh apabila blok kerajaan hanya terdiri daripada tiga ADUN Bersatu.
DUN PERAK
(Total 59 kerusi: BN 25, PN 10, PH 23 dan Bebas 1)
Di Perak, walaupun BN selesa dengan 25 kerusi, bagaimanapun parti itu perlu mencari rakan gabungan baru untuk membentuk kerajaan.
Jika UMNO di Pusat membentuk jajaran baharu dengan Pakatan Harapan, BN dan PH akan menjadi kerajaan negeri yang kuat di Perak dengan total 48 kerusi.
Ia akan menjadikan Bersatu dan Pas dengan 10 kerusi sebagai blok pembangkang Perak bersama seorang Ahli Dewan Undangan Bebas, Leong Cheok Keng (Malim Nawar).
DUN SABAH
(Total 78 kerusi: PN 21, BN 16, PBS 7, Bebas 3, Warisan 22, PH, 8, UPKO 1)
Setakat Ahad, UMNO Sabah yang mempunyai kuasa autonomi cuba mengekalkan kerjasama dengan PN.
Bagaimanapun, jika UMNO menarik diri daripada Gabungan Rakyat Sabah dan PN, baik UMNO dan PN kedua-duanya akan menggigit jari daripada terus mengetuai kerajaan negeri.
Perpecahan GRS akan memberi kelebihan kepada Warisan yang mempunyai 22 kerusi untuk menduduki kerusi Ketua Menteri walaupun BN bergabung dengan Warisan Plus.
Klik di sini untuk terus membaca