ADA beberapa rumusan yang boleh didedahkan untuk membantu perjuangan Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024. Buat permulaan, Malaysia boleh meneliti tindakan Pengarah Eksekutif Sun Hung Kai Properties, Adam... Klik di sini untuk terus membaca

ADA beberapa rumusan yang boleh didedahkan untuk membantu perjuangan Datuk Mohd Azizulhasni Awang meraih pingat emas Sukan Olimpik Paris 2024.

Buat permulaan, Malaysia boleh meneliti tindakan Pengarah Eksekutif Sun Hung Kai Properties, Adam Kwok Kai-fai yang meningkatkan sumbangan peribadinya kepada Universiti Sains dan Teknologi Hong Kong (HKUST), dan Institut Sukan Hong Kong (HKSI) kepada HK$10 juta (RM5.44 juta).

Adam Kwok mengharapkan kajian inisiatif windtunnel (terowong angin) yang dilakukan kepada basikal, diperluaskan kepada sukan perahu layar dan renang.

Rasanya Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Naina Merican juga telah memperkatakan aspek itu. Adam Kwok mahu kajian dilaksanakan bagi mempelajari cara mengurangkan daya tarik air.

Beliau mahu HKUST dan HKSI melihat kepada aspek skinsuit dipakai pemenang pingat gangsa trek Olimpik Tokyo, Sarah Lee Wai-sze di Tokyo.

Penulis turut terlibat dalam kajian tentang rahsia kekuatan kayuhan cadien Azizulhasni bertajuk Cycling Performance Biomechanics on Track Racing Beyonds Cyclist Physiological Profile. Penyelidikan itu telah dibentangkan pada Kongres Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) di Innsbruck, Austria pada 27 September 2019.

Kajian penulis membuktikan Azizulhasni memiliki kayuhan ‘aci sesondol’ tersembunyi yang sangat berbeza berbanding saiz fizikal badan dengan pelumba dunia lain.

Kajian melibatkan prestasi kayuhan Azizulhasni dari perspektif biometrik, struktur badan pelumba, biomekanik dan arah daya kaki setiap sudut pedal ketika melakukan kayuhan menghasilkan force cycling loop (FCL) serta torque cycling loop (TCL).

Sebagai permulaan, penulis akan mencadangkan kepada kerajaan Selangor menerusi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) agar dimulakan kajian bersama tentang windtunnel, skinsuit dan kajian modul basikal. Sebenarnya, Malaysia juga mempunyai kepakaran menghasilkan kajian penyelidikan sebagaimana dilakukan pasukan jurutera Formula One Vorteq, sebuah syarikat penyelidikan dan pengembangan di Silverstone, Britain.

Berdasarkan maklumat diterima, Azizulhasni mengakui basikal jenis Vorteq WX-R banyak memberikan kelebihan ketara kepada kayuhan, corak dan persembahannya pada Olimpik Tokyo.

Azizulhasni juga mendedahkan betapa beliau dan basikal Vorteq WX-R seolah-olah 'bersatu’. Beliau berasakan seolah-olah dirinya 'terbang’ ketika beraksi pada perlumbaan keirin di Izu Velodrome.Mengikut kajian penulis, semua komponen model WX-R mempunyai kelulusan sepenuhnya daripada UCI.

WX-R direka dan dikembangkan mengguna teknik 3-Dimensi Reka Bentuk Berbantu Komputer atau Computer Aided Design (3D CAD), penggunaan aplikasi Analisis Elemen Terhingga atau Finite Element Analysis (FEA) dan Pengiraan Dinamik Bendalir atau Computational Fluid Dynamics (CFD), pelaksanaan Pengujian Rig Struktur Statik dan Dinamik dan Kayuhan Terowong Angin Tertentu.Proses mereka bentuk dan pembangunan basikal itu berorientasikan setiap komponen menghasilkan keseimbangan dan kestabilan paling maksimum, nilai seret aerodinamik (aerodynamic drag) menghampiri sifar, jumlah berat keseluruhan paling minimum, tahap kekakuan yang tepat, lebar palang 30 sentimeter dan panjang cengkaman pendek meletakkan Azizulhasni berada pada kedudukan aerodinamik yang paling tinggi dan mantap untuk memberikan kayuhan paling pantas sepanjang berlumba di Sukan Olimpik.

Sebenarnya, kajian tersebut telah disentuh surah al-Qasas (Ayat 26): "Sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja ialah orang yang kuat lagi dapat dipercayai.”

Rasanya jurutera tempatan boleh menyumbang dengan memberi input kajian dua aspek berkenaan sekali gus membantu misi Azizulhasni menghadiahkan pingat emas pertama kepada Malaysia.

STDC juga boleh meraih faedah dengan pengenalan modul pembelajaran kemahiran bertaraf profesional tentang basikal, peralatan basikal dan mekanik serta pembangunan atlet.

Kesimpulannya, penulis berharap STDC, KBS, ISN, PKBM dan rakan industri yang akan dipilih boleh duduk berbincang bagi memberi sumbangan kepada pelaksanaan agenda perdana Azizulhasni.

* Profesor Madya Dr Ir Muhidin Arifin ialah Pengarah Institut Kejuruteraan Sukan Pusat Kecemerlangan Universiti Selangor

Klik di sini untuk terus membaca