KEGIATAN lumba haram seolah-olah sama naik dengan kes Covid-19. Walaupun disuruh duduk rumah kerana sekatan pergerakan sejak tahun lalu, ada saja aktiviti rempit dilaporkan di jalan raya yang kosong pada waktu malam.
Insiden dua anggota polis maut dalam kemalangan ketika mengejar pelumba haram di lebuh raya di Kajang, Selangor membuktikan gejala itu tidak pernah berakhir.
Kejadian itu berlaku jam 1.30 pagi Ahad lalu. Kedua-dua anggota polis yang menunggang motosikal itu membantu Ops Samseng Jalanan di laluan yang sering digunakan mat rempit untuk berlumba.
Banyak negara menghadapi masalah lumba haram ini. Negara moden seperti Singapura juga tidak terkecuali.
April lalu, beberapa pindaan kepada Akta Lalu Lintas Jalan Raya dibentangkan di Parlimen Singapura berikutan lonjakan kes lumba haram.
Menurut pindaan itu, pesalah kali pertama akan dikenakan denda maksimum S$5,000 (RM15,500) berbanding S$2,000 (RM6,200) dan penjara hingga setahun berbanding enam bulan sebelum ini. Pesalah berulang akan didenda hingga S$10,000 (RM31,000) dan dipenjara hingga dua tahun.
Di Malaysia, kesalahan lumba haram sama ada melibatkan motosikal, kereta atau kenderaan berat boleh didakwa di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun dan didenda minimum RM5,000 hingga RM15,000.
Seksyen 81(3) pula memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-dua sekali.
Kes dua kereta Mercedes-Benz berwarna kuning berlumba pada jam 2 pagi di jalan raya di Kota Bharu, Kelantan pada Januari 2020 adalah antara yang didakwa di bawah akta tersebut.
Pemilik kereta mewah berkenaan dikatakan mahu menguji kelajuan kenderaan mereka sebelum dikecam netizen apabila video rakaman berkaitan tersebar di media sosial.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM500 dan menggantung lesen memandu dua pemandu Mercedes-Benz kuning itu selama enam bulan.
Amatlah malang apabila ramai remaja terlibat khususnya lumba haram motosikal. Pelbagai alasan diberikan, ada yang berlumba kerana suka-suka, ada yang berlumba demi wang dan kemegahan.
Malam 1 Ogos lalu, lima remaja termasuk seorang penganjur disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram ditahan di Lebuh Raya Senai-Desaru, Johor dengan wang pertaruhan RM400.
Mereka berlumba kerana wang tetapi hadiah kemenangan itu nampaknya tidak berbaloi jika dibandingkan dengan kos ubah suai motosikal yang menelan belanja ribuan ringgit.
Ada pula yang merempit disebabkan ketagihan kepada desakan adrenalin. Ini paling teruk. Ketagihan ini jauh lebih kompleks daripada ketagihan dadah kerana individu terbabit cenderung untuk melakukan aksi yang lebih berisiko termasuk menunggang motosikal ala Superman.
Apa pun alasannya, merempit dan lumba haram tidak boleh dibenarkan sama sekali.
Tindakan tegas perlu dilaksanakan termasuk mengenakan Perintah Tahanan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959 terhadap penganjur lumba haram seperti yang dicadangkan pihak polis sebelum ini. Di bawah akta berkenaan, penganjur boleh dihukum buang daerah.
Pada masa sama, pantau juga bengkel dan individu yang �pakar’ mengubah suai motosikal tanpa mengikut spesifikasi yang dibenarkan.
Difahamkan, selain ekzos bising ‘berapi’, ada juga yang mengubah motosikal sehingga tiada brek untuk membuat aksi berbahaya.
Ibu bapa pula janganlah terlalu manjakan anak-anak khususnya di bawah umur dengan membelikan mereka motosikal yang kemudiannya digunakan untuk berlumba.
Ingat, ibu bapa juga boleh disaman. Kalau pening sangat dengan perangai anak yang suka berlumba, hantar saja dia ke balai polis sebagai pengajaran. Ia pernah dilakukan oleh seorang bapa di Arau, Perlis tahun lalu.
Klik di sini untuk terus membaca