SHAH ALAM - Pihak berwajib perlu menjalankan siasatan dalaman sama ada wujud kebenaran senario 'kebocoran' warkah sulit Istana Negara oleh pihak tertentu yang bertujuan untuk mengeruhkan lagi krisis politik di Malaysia ketika ini.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Dr Muhammad Faiz Na'aman berkata, siasatan dalaman ini penting memandangkan rakyat sudah acapkali mendengar isu dakwaan 'kebocoran' warkah sulit Yang di-Pertuan Agong yang dihantar atau diterima daripada pihak kerajaan, menjadi tular di media sosial sejak kebelakangan ini.
Jelas beliau, sekiranya dakwaan 'kebocoran' warkah sulit Istana Negara sahih, maka pihaknya melihat perkara itu dari dua sudut iaitu siapakah dalang yang membocorkannya dan persoalan paling penting, adakah 'kebocoran' itu dalam pengetahuan Yang di-Pertuan Agong sendiri.
"Dari sudut siapa yang membocorkan kandungan warkah sulit Istana Negara pula, kita perlu melihat sama ada aktiviti pembocoran berkenaan sudah berlaku di peringkat Istana Negara atau setelah tiba di tangan penerima warkah.
"Setelah dikenal pasti aktiviti pembocoran kandungan warkah berkenaan, rakyat juga mahu mengetahui adakah perbuatan itu berada dalam pengetahuan Yang di-Pertuan Agong? Kandungan warkah sulit Istana Negara boleh menimbulkan kekeliruan kepada rakyat di luar sana sekiranya tidak diperjelaskan dengan betul dan saya memohon pihak berwajib menjalankan siasatan dalaman segera bagi mengelakkan perkara sebegini terus berulang," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita tempatan bertajuk 'Perdana Menteri terima surat Speaker maklum tiada majoriti, mahu bubar Parlimen' yang memetik Speaker Parlimen, Datuk Azhar Azizan Harun sebagai berkata beliau telah memaklumkan perkara itu kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Azhar kemudiannya menafikan laporan sebuah lagi portal berita tempatan yang memetik beliau memaklumkan bahawa kerajaan pimpinan Muhyiddin sudah hilang sokongan majoriti.
Terdahulu, warkah Azhar yang didakwa diutuskan kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan Perdana Menteri telah hilang majoriti tular dalam media sosial sejak dua hari lalu.
Isu dakwaan kebocoran warkah sulit Istana Negara atau warkah pihak kerajaan kepada Istana Negara sudah kerap diperkatakan sejak beberapa minggu ini.
Ia bermula dengan warkah peribadi yang didakwa diutuskan Yang di-Pertuan Agong kepada Perdana Menteri bagi menjelaskan isu pembatalan Ordinan Darurat.
Dr Muhammad Faiz berkata, isu kemungkinan warkah sulit Istana Negara 'dibocorkan' pihak tertentu tidak sepatutnya berlaku kerana ia harus terjaga di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan tidak perlu dimaklumkan kepada umum.
Jelas beliau lagi, sekiranya sahih, dalang yang terlibat membocorkan isi kandungan warkah berkenaan sepatutnya menyedari tindakan itu bukan sekadar memberi kesan kepada survival kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika ini, tetapi perkara lebih penting mampu menjejaskan imej negara pada pandangan pelabur asing.
"Apabila kandungan surat tular itu mendedahkan seolah-olah wujud ketidakharmonian hubungan antara dua institusi penting di negara ini iaitu institusi diraja dan cabang eksekutif, para pelabur asing akan teragak-agak untuk melabur.
"Senario kebocoran warkah Istana Negara, sekiranya benar berlaku, tidak akan membantu pertumbuhan ekonomi negara pada saat negara sedang berdepan krisis Covid-19 yang membawa implikasi terburuk dalam sejarah," katanya.
Sementara itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek turut mempersoalkan kebenaran surat tular ditulis Speaker Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong yang menyatakan Muhyiddin sudah hilang majoriti.
Ahmad Shabeery turut menganggap Azhar berada di posisi terbaik untuk mengetahui dan mengesahkan jumlah sokongan ahli Parlimen dimiliki Muhyiddin ketika ini atas kapasiti beliau sebagai Speaker Parlimen.
"Isu terbesar kini, apakah benar beliau menulis surat kepada Istana tentang kerajaan sekarang sudah hilang majoriti? Masih adakah integriti tanpa majoriti? Pastinya ‘man of principle’ boleh mengesahnya, kerana banyak keputusan kerajaan harus dibuat dalam tempoh ini,” katanya melalui kenyataan dalam laman Facebook beliau.
Ahmad Shabery turut mempersoalkan integriti Azhar Azizan sama ada beliau mahu membiarkan sahaja gerakan 'membeli' wakil rakyat berlaku bagi menyelamatkan kerajaan PN untuk kekal berkuasa sebelum bersetuju mengesahkan jumlah sokongan dimiliki Muhyiddin.
"Lompat kerusi adalah mukadimah kepada rasuah yang lebih besar. Lebih lama masa diberikan lebih rancak jual beli boleh berlaku.
"Saham naik turun setiap hari. Apakah ‘man of principle’ boleh tersenyum menyaksikannya?,” kata bekas Ahli Parlimen Kemaman itu.
Klik di sini untuk terus membaca