SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi tujuh tawaran kepada ahli Parlimen pembangkang bagi meraih sokongan supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) kekal berfungsi.
Muhyiddin membuat tawaran berkenaan pada sidang medianya jam 6 petang Jumaat.
Tawaran berkenaan adalah:
1. Mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja
2. Rang Undang-undang Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen
3. Jumlah ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang dalam Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen seimbang
4. Bersetuju melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik
5. Satu rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirunding terlebih dahulu dengan semua ahli Parlimen
6. Satu rang undang-undang hanya akan dibentangkan sekiranya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen
7. Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan setara dengan Menteri Kanan
Tawaran yang dikemukakan itu dilihat sebagai langkah terakhir Muhyiddin bagi meraih sokongan menjelang undi percaya terhadap dirinya pada 7 September nanti.
Muhyiddin menjelaskan kerajaan PN telah mencapai kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar kerajaan untuk meluluskan usul undi percaya terhadapnya di Dewan Rakyat.
Ketetapan ini dibuat memandangkan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik perdana menteri baharu.
Menurutnya, ia bagi membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihan raya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.
"Sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu
"Jika saya meletak jawatan pada masa ini, bukan saya seorang sahaja yang berhenti menjadi perdana menteri. Ini bermakna Kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.
"Sedangkan tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting. Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya semasa ucapan khas Perdana Menteri bersama memulihkan negara..
Mengulas lanjut, beliau berkata, usul undi percaya hanya boleh diluluskan dengan sokongan bipartisan di Dewan Rakyat.
Tambahnya, kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik. Covid-19 dan memulihkan negara. Kita harus akur dan sedar, proses pemulihan negara ini bukan satu usaha perkara yang mudah.
"Oleh itu, kita memerlukan sokongan, usaha dan tumpuan semua pihak yang untuk memulih dan mengembalikan negara yang kita cintai ini kepada landasan pembangunan dan pertumbuhan yang sihat.
"Apabila kita tidak dapat menstabilkan politik negara untuk membantu proses pemulihan, yang menanggung sengsara dan beban ini adalah rakyat. Yang rugi adalah rakyat dan tanah air kita ini,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca