SHAH ALAM - Tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sudah dianggap terlambat untuk dipertimbangkan Pakatan Harapan (PH). Ahli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tawaran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mewujudkan kerjasama rentas parti antara kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan parti di luar kerajaan sudah dianggap terlambat untuk dipertimbangkan Pakatan Harapan (PH).

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago daripada DAP sebaliknya berpandangan status kerajaan PN kini diibaratkan seperti pesakit Unit Rawatan Rapi (ICU) yang sudah terlambat untuk diselamatkan oleh doktor di hospital.

Beliau juga menganggap tawaran Muhyiddin untuk membolehkan kerajaan berfungsi dengan sokongan bi-partisan di Parlimen, juga tidak ikhlas dan sekadar menggunakan isu krisis pandemik Covid-19 bagi mempertahankan kuasa politik yang tinggal.

"Sebenarnya ucapan Muhyiddin jelas menunjukkan beliau sudah hilang sokongan majoriti dan bertindak menghulurkan tangan kepada pihak pembangkang bagi mendapatkan talian hayat dengan memperalatkan isu krisis Covid-19.

"Beliau juga tidak ikhlas dengan tawaran dibuat setelah mengatakan tiada ahli Parlimen lain yang mempunyai sokongan majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri baharu. Itu bukan bidang kuasa Muhyiddin tetapi kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk menentukannya.

"Saya anggap Muhyiddin, kerajaan PN ini ibarat pesakit ICU yang sudah terlambat untuk diselamatkan," katanya kepada Sinar Premium pada Jumaat.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.

Sementara itu, Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sim Tze Tzin yakin semua ahli Parlimen blok pembangkang akan menolak tawaran Muhyiddin secara terhormat kerana berpandangan kerajaan PN sudah gagal sepenuhnya.

Jelas beliau, kegagalan kerajaan PN melakukan reformasi Parlimen dan institusi negara yang lain dalam tempoh 18 bulan memerintah juga menyebabkan PKR dan PH bersepakat untuk tidak lagi membenarkan peluang tambahan diberikan kepada Muhyiddin.

"Sepanjang 18 bulan pentadbiran kerajaan PN, kami harap PN buat reformasi pentadbiran seperti pelaksanaan segera Undi18 dan transformasi pentadbiran dari isu rasuah. Namun apa yang kita dapat ialah kerajaan gagal, tiada langsung usaha mereformasi Parlimen serta jawatan kerajaan dijadikan umpan politik.

"Meskipun Muhyiddin mengemukakan tawaran persefahaman rentas parti, PH tiada keyakinan bahawa PN secara ikhlas hendak membawa perubahan dengan tawaran itu dianggap usaha 'desperado' politik beliau," katanya.

Ahli Parlimen Bayan Baru itu turut bertegas supaya sebuah kerajaan baharu dapat ditubuhkan segera dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri baharu.

"Saya rasa Ketua Pembangkang akan berbincang isu tawaran Muhyiddin dan solusi pembentukan kerajaan baharu dengan ketua-ketua parti dalam blok pembangkang dalam masa terdekat.

Namun, saya yakin majoriti ahli Parlimen pembangkang sebulat suara menolak Muhyiddin dan percaya satu bentuk kerajaan baharu perlu diwujudkan bagi menyelamatkan negara," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca