SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof secara berseloroh meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan terlebih dahulu sebelum berhasrat berunding dengan ahli-ahli Parlimen... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof secara berseloroh meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan terlebih dahulu sebelum berhasrat berunding dengan ahli-ahli Parlimen pembangkang bagi mewujudkan kerjasama rentas parti.

Ahli Parlimen Parit Buntar itu turut menganggap ucapan perutusan khas Muhyiddin pada petang Jumaat bukan sekadar mahu 'membeli' beberapa ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu seolah-olah mahu 'memborong' semuanya.

Jelas beliau, Muhyiddin perlu menyelesaikan isu kedudukan beliau sebagai Perdana Menteri berdasarkan Perkara 43 (4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan mana-mana Perdana Menteri yang didapati hilang majoriti, maka individu itu perlu meletak jawatan serta boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Secara sinis, beliau turut menggunakan analogi tawaran 'durian' yang mencetuskan kontroversi dalam kalangan ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sejak beberapa hari ini bagi mengajak Muhyiddin berbincang mengenai tawaran dikemukakan, hanya setelah beliau meletak jawatan.

Mujahid

"Ucapan Mahiaddin (Muhyiddin) tadi bukan hendak beli seorang dua MP (Ahli Parlimen pembangkang)...dia borong semua.

"Baguih la tapi hang tak selesai perkara pokok...ada majoriti ka nak buat semua itu? Perkara 43 (4) (Perlembagaan Persekutuan) settle dahulu baru kita bincang bab durian kot mana pun...," katanya melalui ciapan Twitter pada petang Jumaat.

Pada petang Jumaat, Muhyiddin menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Menurutnya, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Pada masa yang sama, ia bagi mengelakkan kumpulan kleptokrat memerintah jika kemelut politik berterusan dan tidak diselesaikan segera.

Beliau berkata demikian menerusi perutusan khas yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen tempatan.

Perutusan itu dibuat ekoran timbul dakwaan berhubung status keabsahan beliau sebagai perdana menteri sudah tiada kerana kehilangan majoriti.

Klik di sini untuk terus membaca