KUALA LUMPUR - Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bukan caretaker parti, malah segala keputusan yang dibuat adalah sah. Ahmad berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

KUALA LUMPUR - Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) bukan caretaker parti, malah segala keputusan yang dibuat adalah sah.

Ahmad berkata, UMNO pada 24 Jun lalu telah mengutuskan surat kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) bagi memaklumkan pemilihan dan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) terpaksa ditangguhkan.

"Sebelum 30 Jun, ada dua peristiwa. Pada 24 Jun, surat saya kepada RoS iaitu sebelum habis tempoh. Dalam surat itu menyebut MKT membuat keputusan supaya pemilihan ditangguhkan.

"Dalam lain-lain perkataan, kita telah menyampaikan keputusan pada RoS sebelum 30 Jun dan pada 29 Jun, sehari sebelum tamatnya tempoh. Saya membuat kenyataan media bahawa pemilihan ditangguhkan.

"Jadi dalam surat 24 Jun itu, adalah amat penting. Apabila saya sebut keputusan MKT. Keputusan MKT itu bila? Keputusan MKT itu pada 18 Jun menggunakan resolusi pekeliling dan satu lagi tentulah keputusan pada 19 Februari (Mesyuarat di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik),” katanya secara eksklusif kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau mengulas Ketua Pengarah RoS, Jasri Kasim yang dilaporkan berkata, MKT UMNO hanya berfungsi sebagai caretaker, sekali gus tidak boleh membuat keputusan berkaitan parti.

MKT sedia ada katanya, hanya boleh melaksanakan tugas urusan hal ehwal pentadbiran UMNO dan boleh meneruskan keputusan yang dibuat ketika PAU dan MKT sebelum 30 Jun lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Ahmad Zahid dan MKT membuat keputusan menarik sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri pada 3 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Pontian itu berkata, kenyataan yang dibuat oleh Jasri masih belum muktamad kerana dalam pertemuan terbaru antara UMNO dengan RoS pada Isnin dan Rabu, pihaknya telah memberikan maklumat tambahan yang dikehendaki oleh badan berkenaan.

Ahmad Maslan - FOTO SINAR HARIAN/ MOHD HALIM ABDUL WAHID

"Saya sendiri bersama tiga yang lain, bertemu lapan individu di pejabat RoS pada Isnin, 9 Ogos.

"Kami memberi maklumat bahawa keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan ini dibuat pada 19 Februari ketika mesyuarat kedua di ILMU, Janda Baik. Kemudian minit mesyuarat itu sudah sahkan pada 27 Mac di PWTC. Itu mesyuarat kali ketiga.

"Satu lagi ialah maklumat pada bulan Jun, kita membuat keputusan secara resolusi pekeliling. Resolusi pekeliling ini boleh di terima pakai sebab dalam Perlembagaan UMNO, tidak disebut bagaimana kaedah membuat keputusan,” katanya.

Beliau berkata, resolusi pekeliling itu dibuat dengan 51 daripada 55 ahli MKT bersetuju untuk menangguhkan pemilihan.

Sebab utamanya tegas Ahmad, berdasarkan nasihat Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan (KKM) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"KKM dan MKN menasihatkan kita, buatlah pemilihan secara online tetapi kami tidak boleh buat pemilihan seperti itu kerana ia melibatkan 66,000 mesyuarat pemuda, wanita, puteri dan cawangan.

"Liputan di kawasan pedalaman juga amat sukar. Nak membuat pemilihan online itu juga kita tiada sistem. Nak membina sistem itu bukan mudah. Kadang-kadang akan dipertikaikan keputusan,” katanya.

Beliau juga percaya polemik yang berlaku ini tidak akan mengulangi episode UMNO diharamkan pada tahun 1988.

"Saya tidak nampak ia akan sampai ke situ. Apabila kita sudah beri maklumat, saya menaruh harapan yang tinggi bahawa RoS akan bertindak secara profesional dan tidak ada tangan-tangan ghaib di belakangnya untuk membuat keputusan sebaliknya.

"Saya amat yakin RoS akan membuat keputusan yang memuaskan UMNO dan menjadi pengadil yang seadil-adilnya,” katanya.

Sekiranya nasib dan keadilan tidak menyebelahi UMNO Ahmad berkata, pihaknya akan memohon semakan kehakiman untuk meneliti segala dokumen yang telah diberikan dan memutuskan sama ada parti itu di pihak yang benar atau sebaliknya.

"Sebenarnya kami tidak mahu sampai ke tahap itu. Kami hanya inginkan segala dokumen yang kami hantar itu, yang disahkan oleh peguam, pesuruhjaya sumpah, diterima baik oleh RoS,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca