SUKAN Olimpik 2021 telah pun tamat dan berjaya mengalihkan perhatian kita daripada kebetahan suasana kelam. Kita bersorak riang apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa badminton beregu lelaki dan Datuk Mohd Azizulhasni... Klik di sini untuk terus membaca

SUKAN Olimpik 2021 telah pun tamat dan berjaya mengalihkan perhatian kita daripada kebetahan suasana kelam.

Kita bersorak riang apabila Aaron Chia dan Soh Wooi Yik memenangi pingat gangsa badminton beregu lelaki dan Datuk Mohd Azizulhasni berjaya memenangi pingat perak dalam acara keirin.

Namun, masih berlangsung perdebatan sama ada kita mampu mendapatkan keputusan yang lebih baik terutamanya jika dibandingkan dengan negara-negara yang lebih kecil dan miskin (Jamaica mempunyai populasi satu persepuluh daripada Malaysia dan separuh KDNK Malaysia tetapi memenangi empat pingat emas).

Sebaliknya, kita mendakwa kita mempunyai saham dalam membantu Filipina memenangi pingat emas pertama mereka kerana atlet angkat berat Hidilyn Diaz berlatih di Melaka; dan saham dalam kemenangan atlet pentatlon Britain, Joseph Choong yang meraih emas disebabkan keluarganya berasal dari Seremban.

Saat-saat dramatik lain termasuk ketika pemain badminton Indonesia, Greysia Polii menukar raketnya ketika permainan rali sebelum berjaya memenangi emas; ketika pemain tenis Serbia, Novak Djokovic menghempas raketnya kerana gagal memenangi pingat; ketika gimnas Amerika Syarikat, Simone Biles menarik diri daripada acara gimnastik yang menimbulkan perbahasan tentang kesihatan mental; serta saat yang paling menyentuh hati adalah ketika atlet lompat tinggi Qatar, Mutaz Essa Barshim bertanya, "Bolehkah beri kami dua pingat emas?” agar kedua-dua beliau dan atlet Itali, Gianmarco Tamberi dikira sebagai pemenang acara lompat tinggi.

Walaupun kita masih belum berkesempatan merasai emosi melihat Jalur Gemilang dikibarkan lebih tinggi daripada bendera lain ketika menyanyikan lagu Negaraku bersama atlet Olimpik negara, media sosial tetap menekankan bahawa ketika ini para atlet negara merupakan simbol perpaduan yang lebih baik daripada ahli politik.

Berbanding berjuang sehabis upaya demi negara, sentimen utama ketika ini adalah ahli-ahli Parlimen hanya sanggup melompat demi kepentingan peribadi: menyokong sesiapa sahaja calon Perdana Menteri yang mampu memberikan mereka kedudukan dan wang.

Apabila ahli dan institusi politik negara dihina sedemikian rupa, amat penting untuk melaksanakan pembaharuan tepat pada masanya sebelum pilihan raya yang akan datang agar kita dapat memulihkan kembali demokrasi negara.

Perlembagaan Persekutuan hanya merujuk kepada "ahli dewan” berbanding "parti” di dalam Dewan Rakyat, serta menjamin kebebasan berpersatuan. Walaupun banyak pihak berhujah akan keperluan satu undang-undang anti lompat parti, satu kompromi yang mampu dilakukan adalah membenarkan pengundi memecat atau memilih semula ahli Parlimen yang menukar parti di antara dua pilihan raya.

Satu lagi perubahan yang boleh dilakukan adalah melakukan pemilihan calon sebagai satu proses akar umbi, berbanding pimpinan parti yang menentukan calon pilihan raya. Amalan semasa membuatkan para Ahli Parlimen terdedah kepada sogokan daripada pemimpin parti lain.

Pendanaan politik juga memerlukan pembaharuan agar pengundi mengetahui jumlah wang yang disumbangkan kepada calon dan parti.

Hal ini merupakan sebab Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) bersama Bait Al-Amanah akan menganjurkan satu webinar bertajuk ‘Transparency in Democracy’.

Malah, kini merupakan masa yang tepat untuk menggesa akan perubahan ini.

Ramai ahli politik, tidak kira sama ada yang jujur ataupun tidak, mengetahui bahawa mereka dibenci.

Mungkin ada antara mereka yang tebal muka sehingga tidak ambil kisah serta masih percaya mereka akan memenangi pilihan raya.

Tetapi sebahagian lagi ahli Parlimen merasakan bahawa pembaharuan institusi adalah satu cara untuk mereka menunjukkan komitmen mereka terhadap kejujuran dan keadilan.

Dalam masa yang sama, sebagai sebuah negara yang mengamalkan Raja Berperlembagaan, kita amat bertuah kerana mempunyai seorang ketua negara yang bukan sahaja berfungsi sebagai simbol perpaduan bahkan turut bertindak sebagai sebuah institusi yang berfungsi; iaitu seorang ketua negara yang dapat membantu memecahkan kebuntuan dan jika perlu, menawarkan kestabilan ketika peralihan sewaktu wabak yang sedang melanda.

Sesungguhnya, sepanjang wabak Covid-19 melanda, petugas kesihatan barisan hadapan negara terus merawat pesakit dan memberikan suntikan vaksin kepada masyarakat awam.

Saya telah menyaksikan tiga usaha pemvaksinan dilaksanakan dalam tempoh beberapa minggu ini dan amat berbesar hati melihat permintaan yang tinggi terhadap vaksin, pemberian suntikan yang cekap dan paling penting, suasana yang ceria.

Di kala semakin banyak bukti di seluruh dunia menunjukkan keberkesanan vaksin, kita mungkin sedang meniti laluan ke arah pelonggaran sekatan dan menyusuli langkah negara lain, iaitu kehidupan biasa seperti sebelum Covid-19 melanda.

Malangnya, rasa optimis ini tidak akan memberi erti kepada sesiapa yang sudah kehilangan orang tersayang.

Akan timbul persoalan tentang dasar dan politik, melangkaui kesedihan yang dirasai rakan dan saudara-mara. Adakah terdapat dasar yang mampu menyelamatkan lebih banyak nyawa serta membuka kembali ekonomi lebih awal? Wujudkah ahli politik yang boleh memberikan kepimpinan yang lebih baik?

Kita seolah-olah mempunyai segala jawapan tetapi amat sukar untuk membuktikannya, sebagaimana renungan pilu yang terdapat di dalam lagu-lagu nyanyian Allahyarham Siti Sarah yang baru sahaja meninggal dunia disebabkan Covid-19.

Justeru, data dan amalan terbaik antarabangsa perlu kekal menjadi teras untuk Malaysia mendapatkan pingat emas sama ada dalam memerangi Covid-19 mahu pun menambah baik tadbir urus.

* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Persatuan Squash Negeri Sembilan

Klik di sini untuk terus membaca