PELBAGAI kemusnahan telah kita saksikan setelah hampir dua tahun dilanda Covid-19.
Ia bukan sahaja mengancam sistem kesihatan sejagat, malah turut memusnahkan keseluruhan aspek kehidupan sama ada ekonomi, politik, sosial mahupun keselamatan.
Antara yang turut terjejas adalah aspek pendidikan. Ia setelah timbul kebimbangan akan wujudnya ‘generasi yang hilang’ (the lost generation) disebabkan penutupan sekolah bagi mengekang penularan wabak.
Generasi yang hilang adalah satu istilah yang digunakan bagi menerangkan kelompok generasi ‘bingung’ atau ‘tanpa arah’ yang mencapai kedewasaan dalam masa sukar.
Novelis terkenal Amerika Syarikat (AS), Ernest Hemingway antara yang mempopularkan istilah tersebut bagi menggambarkan generasi pasca perang.
Umumnya, kelompok berkenaan dicirikan dengan kemerosotan, semberono, tidak konformis (non-conformist) dan hedonistik.
Walaupun agak keterlaluan untuk menggunakan istilah itu kepada generasi era Covid-19 disebabkan perbezaan keadaan, kesannya tetap serupa.
Perkembangan pendidikan anak-anak kita yang terencat dan tergendala jelas memungkinkan fenomena generasi yang hilang menjadi kenyataan.
Tidak susah untuk memahaminya. Kebimbangan itu timbul disebabkan tahap kesiagaan sistem pendidikan kita yang lemah dalam segala aspek, sama ada daripada kemampuan tata kelola pembelajaran ataupun infrastruktur yang menyokongnya.
Itu belum lagi mengambil kira jurang digital antara bandar dan luar bandar serta kekangan yang menghalang. Jelas kita memang tiada perancangan bagi memastikan sistem pendidikan kalis masalah dan berdaya tahan (resilience).
Benar tidak adil menuding jari kepada mana-mana pihak. Apa yang sedang berlaku belum pernah dialami dan di luar jangkauan tetapi selepas dua tahun berlalu, kita masih belum lihat ada usaha proaktif diambil bagi menangani permasalahan yang ada.
Baik dari aspek tata kelola pengajaran dan sokongan infrastruktur, jelas masih tiada perubahan.
Kita masih terus menutup sekolah dan mengharapkan kaedah pembelajaran secara dalam talian sebagai input tunggal bagi proses pembelajaran.
Ia menyempitkan ruang pembelajaran dan pengajaran, sekali gus membuka ruang kepada keciciran pelajaran yang berbahaya.
Untuk rekod, mengikut data UNESCO, Malaysia adalah antara negara yang telah menutup sesi per-sekolahan paling lama di dunia (selama 49 minggu atau melebihi setahun).
Sepanjang penutupan itu, sesi pembelajaran dijalankan mengikut kaedah dalam talian.
Secara umum, kaedah dalam talian hanya memberikan solusi bagi perkembangan kognitif (mengingat dan memahami) sahaja.
Di sisi lain, kaedah itu menghilangkan sisi afektif (emosi) dan kemahiran (skill).
Ia jelas bertentangan dengan keperluan dan pola pembelajaran berbeza bagi setiap individu yang lazimnya menuntut kepada pendekatan pelbagai.
Sebab itu, proses pembelajaran tidak datang daripada satu cara sahaja.
Ia selaras dengan kaedah pedagogi pendidikan yang sentiasa berkembang dan dinamik sifatnya.
Jika berterusan mengharap kaedah dalam talian sekiranya wabak berterusan, anak-anak kita akan terus ketinggalan dan lemah dari segi intelek serta kemahiran yang diperlukan.
Bagi mengelak jurang itu bertambah besar, kita mesti cepat untuk mengubah cara dan mempelbagaikan kaedah pembelajaran sedia ada kerana kaedah pembelajaran dalam talian sangat terhad dan hanya berkesan kepada mereka yang mempunyai kelebihan.
Ia juga hanya berkesan kepada anak-anak yang bijak tetapi tidak bagi yang lemah dan sederhana.
Sebab itu, membuka kembali sesi persekolahan adalah jalan penyelesaiannya.
Walaupun dilihat sangat berisiko dan tidak cukup membetulkan kerosakan yang sudah berlaku, ia mungkin lebih penting berbanding membuka kompleks beli-belah atau membenarkan dine in di restoran.
Lagipun kemampuan ibu bapa untuk menggantikan peranan guru dalam proses pembelajaran di rumah tidak sama dan sangat terbatas.
Kalau masih tidak mahu membuka sekolah, maka kerajaan harus segera mencari penyelesaian dan langkah khusus bagi menyelesaikan masalah tersebut.
Walau apa pun kesukaran yang dibawa oleh Covid-19, usaha dan ikhtiar perlu segera dilakukan demi masa depan anak-anak kita. Ia bukan sahaja berkenaan dengan nasib mereka tetapi juga tentang masa depan negara.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca