ALHAMDULILLAH, kita sekali lagi diizinkan oleh ALLAH SWT berada pada tahun 1443 Hijrah.
Beralihnya tahun baharu, bertambahlah juga umur kita dan semakin dekat dengan panggilan Ilahi ke negara abadi.
Bagi mereka yang sedar, beruntunglah, manakala bagi mereka yang masih tertutup hijabnya akan mengharungi tahun baharu ini seperti tahun-tahun sebelum ini.
Yang jelas, gaya pemikiran, cara mengendalikan perasaan dan tuntutan amal serta ibadat masih tidak berubah.
Natijahnya, diri semakin hanyut kerana masih bertunjangkan kepentingan diri sendiri.
Sebetulnya dalam kalangan kita sendiri, amat jarang meletakkan sasaran yang bersungguh-sungguh untuk berhijrah memperbaiki kelemahan diri.
Sebaliknya, cukup teruja untuk mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Walhal, Rasulullah SAW bersabda: "Dan orang yang berhijrah itu adalah mereka yang meninggalkan kesalahan dan dosa.” (Hadis Riwayat Ahmad).
Antara sikap buruk yang perlu diubah adalah suka memandang seseorang dengan sebelah mata kerana berasa dirinya lebih mulia berbanding orang lain.
Realitinya, bagi mereka yang dianugerahkan dua biji mata dan hanya menggunakan sebelah mata untuk memandang, sudah tentu menjadi tidak seimbang dan mudah pening.
Begitulah juga dengan pandangan sebelah mata kepada orang lain, tentunya diri kita tidak tenang kerana menjejaskan neraca keseimbangan hidup di dunia.
Yang nyata, keseimbangan hanya boleh dicapai sekiranya kita mencapai kemuliaan diri dengan memuliakan orang lain dan bukannya memperoleh kemuliaan dengan memperlekehkan orang lain.
Saya percaya ramai berkongsi kesedihan kematian artis terkenal baru-baru ini. Pemergiannya kepada Pencipta amat meluluhkan hati.
Anak yang dilahirkan belum lagi disusuinya. Apatah lagi perasaan suami dan anak-anak yang menggelar dirinya sebagai ‘bidadari syurga’.
Hakikatnya, ALLAH SWT tidak menilai seseorang itu pada peringkat permulaan, sebaliknya pada peringkat pengakhiran dijadikan penilaian oleh-Nya.
Jika sebelum ini, ramai mempersoalkan kerjayanya sehingga menyentuh peribadi dan keluarga, namun setelah meninggal dunia, ramai memuliakannya dengan berkongsi pelbagai kisah kebaikan.
Semua itu adalah hak ALLAH SWT yang amat mengetahui siapa yang mulia disisi-Nya.
Sesungguhnya ramai terpedaya menilai seseorang dengan berpandukan neraca pemikiran dan perasaan yang terbatas.
Sebaliknya neraca ALLAH SWT lebih luas dan tidak tercapai akal kita.
Kisah ALLAH SWT memuliakan seorang wanita yang dipandang hina masyarakat telah pun berlaku sebelum ini seperti mana hadis Nabi yang diriwayatkan Abu Hurairah RA bahawa Nabi SAW bersabda: "Seorang wanita yang melacur telah melihat seekor anjing pada suatu hari yang panas sambil mengelilingi sebuah perigi. Anjing tersebut juga menjelirkan lidahnya kerana kehausan. Wanita tersebut menanggalkan kasutnya lalu memberinya minum, maka telah diampunkan dosanya.” (Hadis Riwayat Muslim).
Ia bermakna sifat ikhlas yang ditunjukkan wanita berkenaan telah menyebabkan dirinya diangkat darjat oleh ALLAH SWT.
Besarnya nilai ikhlas telah dinukilkan oleh Pak Hamka menerusi bukunya ‘Peribadi Hebat’ – "Bagi tubuh adalah nyawa yang memberikan kehidupan. Jika nyawa tidak ada lagi, matilah tubuh. Bagi peribadi, ikhlaslah yang menjadi nyawanya. Peribadi yang tidak memiliki keikhlasan adalah peribadi yang mati. Meskipun dia masih bernyawa, erti hidupnya tidak ada.”
Justeru, bagi mereka yang nampak baik dan alim belum tentu pengakhirannya baik. Semuanya bergantung kepada keikhlasan kita menjadi hamba-Nya dan berbuat baik kepada manusia.
Rumusannya, apabila kita ikhlas dan bersangka baik kepada seseorang, barulah kita sedar makna ketakwaan. Semoga kita terlindung daripada sifat memuliakan diri sendiri dengan memandang serong orang lain. Ingatlah, kemuliaan diri akan hadir setelah kita memuliakan orang lain.
* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis
Klik di sini untuk terus membaca