PERISTIWA letupan jerangkap samar 43 tahun lalu di hutan Gubir, Kedah masih segar dalam ingatan veteran tentera, Sarjan (B) Azizan Salleh. Namun bak kata pepatah, pantang maut sebelum ajal. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah penglibatan... Klik di sini untuk terus membaca

PERISTIWA letupan jerangkap samar 43 tahun lalu di hutan Gubir, Kedah masih segar dalam ingatan veteran tentera, Sarjan (B) Azizan Salleh.

Namun bak kata pepatah, pantang maut sebelum ajal. Peristiwa yang dimaksudkan itu ialah penglibatan Azizan bersama rakan sepasukan ketika melaksanakan Ops Gubir di kawasan hutan tersebut.

Gubir merupakan salah satu kawasan yang menjadi markas serta lokasi persembunyian komunis daripada pasukan keselamatan negara di utara Semenanjung Malaysia pada tahun 1970-an.

Azizan yang kini berusia 62 tahun berkata, operasi di kawasan berkenaan dianggap paling mencabar sepanjang tempoh 22 tahun beliau berkhidmat bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita bertempur dengan Rejimen Ke-12 Parti Komunis Malaya.

"Pasukan itu adalah antara rejimen komunis paling licik dalam taktikal peperangan dengan memasang banyak jerangkap samar di dalam hutan,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Azizan (kiri) terlibat dalam Operasi Gubir Kedah.

Azizan berkata, Ops Gubir dianggap sukar kerana anggota tentera perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan apabila mereka diarahkan masuk ke dalam hutan tebal berkenaan.

"Pada masa itu, kita sudah terfikir sama ada kita dapat pulang dengan selamat selepas operasi, gugur di medan perang atau kaki kiri dan kanan akan ‘terbang’ akibat terkena jerangkap samar yang dipasang komunis di dalam hutan,” katanya.

Beliau turut mengimbau kembali peristiwa rakannya, Lans Koperal Abd Jalil putus kaki terkena letupan jerangkap samar.

"Saya ternampak Jalil tercampak apabila terpijak jerangkap samar. Beliau menjerit kesakitan meminta rakan-rakan segera menyelamatkannya,” cerita beliau.

Kaki Abd Jalil hancur akibat kejadian itu. Operasi menyelamatkannya pula perlu dilakukan secara berhati-hati kerana kawasan itu banyak jerangkap samar.

"Helikopter tidak boleh datang ke lokasi kami kerana keadaan sudah gelap.

"Kita membantu memberikan rawatan dengan segera sehingga bantuan tiba,” ujarnya.

Terlibat dalam operasi di Padang Sanai, Kedah.

Menurut Azizan, beliau sebak apabila rakannya merintih kesakitan dan meminta tolong tengokkan anaknya jika dia meninggal dunia.

"Saya memujuknya supaya kuatkan semangat. Saya bersama rakan-rakan lain bergilir-gilir menjaga Jalil sehingga bantuan helikopter tiba pada jam 10 pagi keesokan hari.

"Kami perlu menebang pokok bagi memudahkan proses operasi winching iaitu mengangkat naik Jalil ke helikopter, dan dalam masa yang sama kita juga perlu memastikan keadaan persekitaran selamat kerana risau pengganas komunis menembak helikopter tersebut,” jelasnya.

Bongkar helah komunis

Beliau berkata, pasukannya masih meneruskan operasi selepas helikopter tersebut meninggalkan lokasi tersebut.

"Pasukan meneruskan operasi selepas helikopter tersebut menghantar Jalil ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.

Pasukan Azizan akan tidur di dalam kubu kecil setiap malam.

"Askar komunis selalunya akan menembak secara rambang. Kita tidak boleh menyerang balas kerana bimbang kedudukan pasukan akan terdedah, malah kita tidak tahu berapa ramai askar komunis tersebut,” imbau Azizan.

Pasukannya perlu membuat pemantauan iaitu menjejaki semula askar komunis tersebut pada keesokan hari.

"Ketika itu, saya nyaris terkena jerangkap samar jenis letupan dan semburan ke muka,” katanya.

Mujurlah ilmu medan tempur yang dipelajari Azizan berjaya membongkar helah komunis yang memasang jerangkap samar tersebut.

"Saya menjumpai enam jerangkap samar jenis batang paip berisi racun dan paku di dalam plastik. Ia diletakkan di sebalik celah batu berhampiran dahan patah pokok seraya.

"Jika jerangkap samar itu meletup, pasti mata akan buta atau muka kita akan pecah,” katanya.

Azizan bersyukur kerana umurnya masih panjang dan tidak terkorban semasa bertempur menentang pengganas komunis.

Ketika terlibat dalam Operasi khas Malaysia-Thailand.

"Saya bersama rakan sepasukan juga pernah bertembung dengan komunis dan berlaku pertempuran, namun mereka (komunis) berjaya melarikan diri,” ujar beliau.

Azizan yang berasal dari Kampung Tanjung Pari, Mukim Siong, Baling, Kedah menyertai angkatan tentera demi mempertahankan negara daripada ancaman komunis.

"Ketika itu, ramai askar komunis di kampung halaman saya. Mereka mengedar risalah menghasut masyarakat khususnya golongan muda supaya menentang kerajaan,” terang beliau.

Azizan menyertai ATM pada usia 18 tahun kerana minat dengan pasukan keselamatan selain mahu menghapuskan ancaman komunis.

"Saya menyertai ATM pada 21 Ogos 1977 dan menjalani latihan ketenteraan di Port Dickson.

"Setelah tamat latihan, saya ditempatkan dalam Batalion Keempat Rejimen Askar Melayu Diraja (4 RAMD) berpangkalan di Ipoh, Perak,” katanya.

Beliau berkata, pasukan 4 RAMD turut digelar sebagai Gurkha Malaya kerana kehebatan anggota pasukan itu yang setanding dengan tentera Gurkha yang berkhidmat di Tanah Melayu pada tahun 1948 hingga 1960.

"Anggota pasukan 4 RAMD mempamerkan mutu disiplin yang tinggi, bersifat garang, tahan lasak dan bersikap agresif,” katanya.

Pada masa itu, katanya, askar yang baru direkrut gajinya kecil iaitu kira-kira RM150 sebulan.

"Walaupun jumlah gaji kecil tetapi kita mempunyai semangat patriotik, sayang dan sanggup berkorban demi negara,” kenang beliau.

Menurutnya, anggota tentera juga perlu bersiap sedia 24 jam untuk terlibat dalam operasi pada bila-bila masa.

"Saya pernah bersama 15 lagi rakan pasukan tentera menonton wayang di pawagam di Ipoh, tiba-tiba di layar terpapar sign number (53 dikehendaki balik). Ia bermaksud kami telah diarahkan pulang semula ke kem untuk menyertai operasi,” jelas Azizan.

Menyamar sebagai penoreh getah

Azizan juga pernah ditugaskan sebagai perisik tentera selama enam bulan.

"Saya pulang ke kampung, jiran ingat saya telah berhenti kerja kerana buat kerja-kerja menebang balak dan menoreh getah.

"Mereka tidak tahu saya memikul tanggungjawab melakukan intipan terhadap askar komunis,” katanya.

Cerita beliau, maklumat yang diperoleh itu mesti disampaikan kepada pegawai atasan untuk tindakan lanjut.

"Saya perlu ingat dan cam muka, pakaian, senjata serta jumlah pengganas komunis yang keluar dari hutan.

"Selepas itu, saya perlu menyediakan laporan secara terperinci untuk diserahkan kepada pegawai,” ungkap beliau.

Kata Azizan, ATM banyak mendapat maklumat berkaitan komunis apabila ramai anggota pasukan pengganas itu yang berada di dalam hutan menyerah diri.

"Mereka menyerah diri secara sukarela, kemudian kita akan kaunseling mereka untuk kumpul maklumat berkaitan komunis,” katanya.

Menurutnya, seseorang yang mahu menyertai ATM harus mempunyai fizikal yang mantap serta akal yang bijak.

"Selain itu, kita juga diajar dalam keadaan tertekan supaya mampu mengawal emosi apabila berhadapan dengan musuh dalam apa juga keadaan,” katanya.

Azizan bersara pada 20 Ogos 1999 dengan pangkat terakhirnya ialah sarjan.

Selepas bersara, beliau aktif dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Walaupun telah bersara, darah pahlawan yang mengalir dalam tubuhnya tidak pernah hilang. Malah, katanya beliau masih lagi bersemangat untuk berjuang mempertahankan tanah air.

Azizan bersama bekas Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Zakeria Ismail pernah mencadangkan supaya diwujudkan sebuah perkampungan lestari untuk veteran ATM yang berdaya maju di setiap negeri.

"Ia adalah satu projek yang menguntungkan keselamatan negara di samping menjana ekonomi veteran ATM terpilih.

"Kami mempunyai kertas cadangan dan bersedia mengemukakan kepada menteri berkenaan termasuk perdana menteri,” tegasnya.

Azizan juga berharap generasi kini seharusnya tidak mudah alpa dengan keamanan yang dikecapi serta harus berterima kasih kepada pejuang terdahulu.

"Sesungguhnya keamanan hari ini adalah hasil keringat titik peluh perwira terdahulu yang bermati-matian mempertahankan tanah air bagi terciptanya keadaan hari ini,” katanya.

Beliau bagaimanapun berkata, veteran tentera juga harus bangkit dan terus berjuang mempertahankan keamanan tanah air.

Azizan ketika menjadi jurulatih rekrut khas 4 RAMD Sungai Ara Pulau Pinang.

"Jangan jadi veteran tentera yang suka bersila di bawah pokok betik masak, mengharapkan buah betik masak jatuh atas riba.

"Kita perlu sama berjuang mempertahankan keamanan hingga akhir hayat,” ungkap Azizan penuh makna.

Profile Azizan Salleh

Tarikh Lahir: 5 Mei 1959

Umur: 62 tahun

Tempat Lahir: Kampung Tanjung Pari Mukim Siong, Baling, Kedah

Adik-beradik: Anak bongsu daripada enam beradik

Status: Berkahwin dan dikurniakan enam anak (lima lelaki, seorang perempuan)

Masuk tentera: 21 Ogos 1977 di Pusat Latihan Rekrut Port Dickson, Negeri Sembilan

Kelulusan: Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sijil sekolah agama

Hobi: membaca, riadah dalam hutan dan sukan bola sepak

Unit tentera

4 RAMD Kem Ipoh Perak pada tahun 1978 hingga 1990 berakhir Kem Sungai Ara Pulau Pinang

7 RAMD Kem Kepala Batas, Alor Setar, Kedah (tugasan sarjan risik)

FIO kedah

Bilik Gerakan Perisikan dan Operasi Markas Panglima Armada Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia, Lumut, Perak

Tugas selepas bersara

Pembantu pegawai keselamatan kilang Motorola dan kilang Intel di Pulau Pinang

Aktif dalam aktiviti NGO; antaranya Kebajikan Rangkaian Bekas Angkatan Tentera Malaysia sebagai Pengerusi Pulau Pinang dan Ahli Jawatankuasa Pusat.

Presiden Gerakan Reformasi Veteran Angkatan Tentera Malaysia (GRVATM) dan Pengerusi Sekretariat Badan Bertindak Veteran (SVBM)

Klik di sini untuk terus membaca