BUAH durian katanya telah murah harganya mutakhir ini. Berlonggok-longgok di tepi jalan orang menjualnya.
Ada peniaga berkeluh kesah memberitahu tidak laku seperti dulu-dulu. Suam-suam kuku sahaja.
Masa awal musim, agak mahal harganya. Katanya, tidak ramai orang datang membeli.
Mungkin disebabkan harga atau keadaan ekonomi rakyat yang tidak berapa baik, ditambah lagi pandemik, maka rakyat takut hendak keluar, jualan pun merudum.
Ketika harga tidak berapa mesra pelanggan, isteri saya ada memesannya. Apabila bertanya berapa harga sekilogram, saya hampir pengsan. Maka, saya batalkan sahaja niat untuk membelinya.
Namun, sejak akhir-akhir ini apabila terlampau banyak lambakan durian menyebabkan peniaga durian terpaksa menjual murah.
Maka, saya dapat memenuhi keinginan isteri tercinta tanpa hampir pengsan lagi apabila mendengar harganya sudah mesra pelanggan.
Dan sekarang, zaman membeli barang dalam talian, nampaknya buah durian pun boleh dibeli dalam talian.
Baru-baru ini pun, kecoh juga apabila ada orang menawarkan durian melalui mesej berharga RM30 sahaja.
Kata isteri saya, murah juga cuma tanyanya lagi: "Agak-agak RM30 tu dapat berapa biji?” Tidaklah saya dapat menjawabnya.
Durian RM30 itu hanya ditawarkan kepada orang-orang tertentu sahaja. Orang biasa-biasa tidak mendapat tawaran begitu, hanya mendapat mimpi sahaja.
Dan orang-orang tertentu itu yang mendapat tawaran, dikhabarkan dalam kalangan orang-orang politik.
Mungkin durian itu lebih istimewa berbanding durian musang king, duri hitam dan udang merah agaknya
Diberitahu lagi, durian itu kalau sesiapa membelinya ada cabutan bertuah berupa wang bernilai RM30 juta.
Tidak dapat dipastikan sama ada RM30 juta itu hadiah atau cabutan bertuah. Mungkin kalau membeli durian tersebut, bila dikopek, mungkin ada baucar di dalamnya untuk membuat tuntutan RM30 juta agaknya.
Dan dengar cerita lagi, selepas mendapat RM30 juta, ditawarkan pula jawatan-jawatan hebat. Beruntung sesiapa yang dapat membeli durian berkenaan.
Bagi orang biasa nampaknya tiada harapan mendapat tawaran durian RM30 yang datang dengan tawaran RM30 juta itu. Dan dengar cerita, tawaran duit itu berbentuk tunai.
Orang yang memperoleh keuntungan begini boleh dikatakan bak kata pepatah, mendapat badar tetimbakan.
Cuma hendaklah berhati-hati, bak kata pepatah, hari tak selamanya panas dan air ada pasang surutnya.
Untuk rakyat jelata, tidaklah mendapat tawaran begini melainkan membeli durian-durian di tepi jalan sahaja.
Tiada cabutan bertuah, hadiah misteri atau jawatan yang gah untuk ditawarkan jika membeli durian di tepi jalan.
Cuma apabila membeli durian di tepi jalan pun perlu berhati-hati. Ada untung dan rugi.
Kalau dua biji dibeli, hanya dapat seulas sahaja yang elok, bak kata pepatah, nanti dipandangnya gajah seperti kuman pula.
Sebenarnya saya ada berfikir, kalaulah saya mendapat tawaran RM30 juta, apa hendak dibuat dengan duit tersebut.
Sekadar berangan begini tidaklah membawa mudarat. Ada orang berkata, kalau mendapat sesuatu dengan mudah, hilangnya pun mudah.
Dengan RM30 juta tidak habis dimakan tujuh keturunan. Beberapa juta dimasukkan sahaja ke akaun Amanah Saham Pelaburan sudah mendapat pulangan lumayan.
Sebahagian lagi laburkan sahaja ke akaun Tabung Haji, kemudian masukkan pula ke akaun simpanan tetap. Memperoleh pulangan lima peratus sahaja sudah mewah hidup.
Sudah boleh bergaya sebelum mati. Tidak perlu bersusah payah bekerja lagi.
Namun, bak kata pepatah, mudah juga pada yang ada, sukar juga pada yang tidak. Begitulah perumpamaannya.
Maka, mungkin juga kalau ada sesiapa mendapat peluang begitu, amat susah hendak menolaknya. Boleh menitis air liur cuba menahan perasaan.
Cuma dengar cerita, orang yang mendapat tawaran itu menolaknya pula. Mungkin mereka tidak menitis air liur disebabkan sudah kaya atau berpegang pada prinsip agaknya.
Ataupun mungkin ada tawaran lain yang lebih baik untuk dititiskan air liurnya.
Ah, kalau hendak bercakap tentang prinsip, sukar saya mempercayainya. Bukan senang mempertahankannya terutama jika melibatkan kuasa dan wang ringgit.
Agaknya dari mana datangnya sumber duit RM30 juta itu jika ada yang benar-benar menuntutnya nanti?
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca