AWANG tak faham kenapa susah sangat nak lulus pendaftaran parti politik baharu.
Terbaru, permohonan pendaftaran Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) ditolak Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk kali kedua.
Sebelum ini permohonan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) juga telah ditolak sehinggakan Pejuang bawa kes itu ke mahkamah.
Pada pendapat Awang, tindakan RoS yang dipertahankan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin tidak menguntungkan kerajaan.
Pandangan orang ramai ialah kerajaan takut dengan penubuhan mana-mana parti politik yang akan menjadi saingan atau lawan parti yang memerintah.
Orang akan bertanya juga, takkanlah kerajaan takut dengan parti anak muda?
Jikalau betul ada isu ‘inti pati dalam perlembagaan parti yang tidak teratur serta tidak spesifik᾿kenapa tidak dirundingkan dengan parti itu? Bukankah cara dialog atau engagement cara yang sesuai pada masa ini?
Awang rasa menolak pendaftaran dengan memberikan alasan ada isu teknikal bukan cara yang baik bagi RoS. Lagipun Awang percaya parti yang diasaskan oleh Syed Saqqiq Syed Abdul Rahman itu akan bawa kes itu ke mahkamah.
Lebih baik dicari penyelesaian pada peringkat awal daripada mahkamah jatuh hukum. Macam dalam kes permohonan Pejuang, mahkamah tidak menyebelahi kerajaan.
Teringatlah Awang cerita lama tentang musuh bayangan. Ada yang menganggap apa sahaja yang bergerak sebagai musuh.
Patutnya dalam dunia hari ini, kerajaan tukar taktik dari memulakan langkah dengan mengatakan "Tidak” kepada "Ya.” Kalau itu berlaku, maka kerajaan akan dilihat lebih membantu dan prihatin.
Klik di sini untuk terus membaca