UNITED Kingdom (UK) didakwa berdepan dengan isu masalah tempahan kereta-kereta kebal mininya yang bernilai berbilion-bilion pound daripada syarikat pengeluaran senjata iaitu General Dynamics. Masalah itu timbul apabila satu laporan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

UNITED Kingdom (UK) didakwa berdepan dengan isu masalah tempahan kereta-kereta kebal mininya yang bernilai berbilion-bilion pound daripada syarikat pengeluaran senjata iaitu General Dynamics.

Masalah itu timbul apabila satu laporan kerajaan yang bocor membangkitkan keraguan semasa ada program kereta kebal Ajax bernilai £5.5 bilion (RM32.21 bilion) akan diserahkan kepada kerajaan UK pada waktu ditetapkan.

Kereta-kereta kebal itu didakwa hanya berguna untuk menentang musuh-musuh yang tidak kompeten sehingga tidak boleh menembaknya dengan meriam.

Masalah yang berbangkit tentang kereta kebal itu adalah termasuk bunyi yang bising dan getaran.

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan UK (MoD) menandatangani kontrak untuk 589 kereta kebal Ajax pada tahun 2014.

Ratusan kereta kebal Ajax itu dijangka dibekalkan kepada tentera UK dengan tempahan penuh dihantar kepada MoD pada tahun 2024.

Namun, sumber-sumber mendakwa penghantaran kereta kebal tersebut mungkin ditangguhkan berikutan isu kerumitan berkaitan dengan sistem senjata yang dibina pada setiap kenderaan tersebut.

Bagaimanapun, MoD menegaskan bahawa projek kereta kebal itu akan siap pada waktu ditetapkan dan ia akan menyediakan kereta-kereta kebal yang terbaik.

Para pengkritik mendakwa kereta kebal ringan itu tidak mampu berdepan dengan bedilan meriam yang kuat dan menyatakan senjata pada kereta kebal tersebut tidak mencukupi untuk digunakan dalam pertempuran.

Ini adalah kerana sistem persenjataan pada kereta kebal itu pernah terhenti semasa satu ujian dilakukan.

Seorang bekas pegawai pertahanan pernah memberitahu akhbar The Times bahawa kereta kebal itu baik jika digunakan untuk menentang musuh-musuh yang tidak kompeten.

Tentera United Kingdom akan menggunakan kereta-kereta kebal Ajax pada tahun 2024. - Foto AFP

Namun, katanya, jika menentang musuh yang sama kuat, kereta kebal tersebut tidak berguna kerana ia dianggap sebagai satu 'perangkap maut'.

Kereta kebal Ajax itu boleh bergerak pada kelajuan 64.37 kilometer sejam dan dianggap sebagai kenderaan berperisai yang dilengkapi dengan sistem digital sepenuhnya dalam sejarah tentera UK.

Kenderaan tentera baharu itu didakwa akan meningkatkan tahap perisikan, peninjauan, perlindungan, sasaran pencapaian dan ia boleh menggunakan meriam 40 milimeter yang dibangunkan bersama Perancis.

Sungguhpun begitu, para pengkritik mendakwa meriam berkenaan telah menghadapi masalah semasa ujian rutin dilakukan di luar negara dan dikatakan tidak sesuai untuk tujuan pertahanan jika berlaku pertempuran dengan negara seperti Rusia.

Meriam dan peluru kereta kebal itu dibina oleh firma keselamatan Britain iaitu BAE System dan syarikat pengeluar senjata Perancis, Nexter.

Kereta-kereta kebal itu pula dibangunkan dan dibekalkan kepada MoD oleh syarikat General Dynamics dari Amerika Syarikat (AS).

Jurucakap untuk firma Lockheed Martin dilaporkan mengakui terdapat isu tentang persenjataan pada kereta kebal tersebut tetapi menyatakan bahawa petunjuk awal menunjukkan ia berlaku disebabkan oleh kegagalan komponen dan bukannya akibat kecacatan reka bentuk, lapor The Times.

Firma BAE Systems menyatakan bahawa meriam itu telah lulus ujian paling ketat dan menyatakan tidak ada isu tentang prestasi atau bila ia akan diserahkan.

Walau bagaimanapun, MoD menyatakan bahawa kereta kebal itu adalah yang terbaik dalam kelasnya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca