DALAM kekalutan politik tanah air yang menyaksikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini dikatakan hampir pasti tiada sokongan majoriti.
Kini muncul pula polemik terbaharu yang dijangka memberi 'talian hayat' kepada kerajaan Muhyiddin menjelang penentuan usul undi percaya pada persidangan Parlimen yang dijadual diadakan bermula 7 September hadapan.
Di sebalik asakan bertali-arus UMNO, yang telah menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta blok parti pembangkang lain, bagi mendesak Muhyiddin segera meletakkan jawatan Perdana Menteri.
Dengan tidak semena-mena, timbul pula spekulasi panas mengaitkan sebilangan ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP yang dikatakan sudah menandatangani perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan kerajaan PN bagi memastikan kerajaan itu kekal sekurang-kurangnya dipertahankan sehingga krisis Covid-19 reda.
Bagi yang tidak mengetahui definisi sebenar perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA), perjanjian itu merujuk kompromi supaya pembangkang tidak menolak usul belanjawan, tidak mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri atau menyebelahi beliau pada saat usul undi percaya dikemukakan.
Sebagai balasan, Perdana Menteri perlu memberi peluang kepada pembangkang mencadangkan sesuatu dasar selain peruntukan tahunan ahli Parlimen yang sebelum ini hanya ditumpukan kepada ahli Parlimen menyokong kerajaan, turut diberikan kepada mereka.
Perjanjian CSA itu turut menjadi salah satu tawaran kepada pemimpin pembangkang yang dibuat Muhyiddin petang Jumaat.
Hakikatnya, spekulasi itu telah didedahkan Sinar Premium pada bulan lalu apabila Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan besar bahawa Muhyiddin bakal menerima sokongan DAP pada saat memerlukan.
Kenyataan Tajuddin itu turut diakui Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang berpandangan perjanjian CSA di antara ahli-ahli Parlimen DAP dengan kerajaan PN berkemungkinan sudah dimeterai, sekali pun tidak secara en bloc.
Ditambah dengan kenyataan Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mempersoalkan sama ada ahli-ahli Parlimen pembangkang mahu mengembalikan kerajaan 'kleptokrasi' dipimpin UMNO, sekiranya Muhyiddin ditumbangkan ketika ini.
Bahkan, seorang lagi ahli Parlimen DAP, Dr Ong Kian Meng turut mencadangkan dalam persidangan Parlimen khas pada 27 Julai lalu bahawa satu perjanjian moratorium politik perlu diadakan di antara pihak kerajaan dan pembangkang bagi membolehkan kedua-dua pihak menumpukan usaha menangani krisis Covid-19 terlebih dahulu.
Berdasarkan ciapan Twitter kedua-dua pemimpin DAP itu malam tadi juga, kedua-dua antara yang berani menongkah arus dengan meminta blok pembangkang meneliti dan berbincang tawaran Muhyiddin.
"PM @MuhyiddinYassin telah mencadangkan cara untuk bergerak ke hadapan dengan beberapa reformasi institusi yang akan memberikan impak terhadap politik Malaysia jika ia diluluskan (di Parlimen).
"Saya berfikir semua parti politik perlu duduk dan berbincang jika sama ada cadangan yang diberikan boleh diterima atau tidak," katanya di Twitter malam tadi.
Walaupun PH malam tadi telah mengeluarkan kenyataan untuk menolak pelawaan Muhyiddin untuk bekerjasama, namun sejauh mana kebenaran ahli-ahli Parlimen pembangkang terutama DAP mampu berperanan sebagai 'kingmaker' menggantikan UMNO dalam menentukan hayat politik Muhyiddin terus berpanjangan?
Kelebihan DAP
Berdasarkan situasi politik semasa, kemungkinan DAP bakal memeterai perjanjian CSA dengan kerajaan PN adalah satu potensi besar untuk dipertimbangkan oleh parti yang sekian lama berdiri kukuh di belakang Pakatan Harapan (PH) itu.
Dengan UMNO yang berbekalkan 15 ahli Parlimen menolak kepimpinan Muhyiddin masih bermain tarik tali untuk mengangkat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri baharu, solusi perjanjian CSA ini berpotensi menjadi alternatif kepada DAP bagi bertindak balas terhadap sikap UMNO.
"CSA ini berpotensi menjadi alternatif buat DAP untuk bertindak balas terhadap UMNO.
"Tindak balas DAP itu mungkin berlaku disebabkan pendirian UMNO yang masih mahu pemimpin parti itu diangkat menjadi Perdana Menteri interim serta sekiranya rundingan membentuk jajaran baharu PH-UMNO bagi mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri menemui jalan buntu," kata Ketua Penyelidik O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi kepada Sinar Premium.
Mengulas lanjut, Anis Anwar juga merujuk gerakan UMNO menukar Menteri Besar Perak pada bulan Disember tahun lalu dengan 'Langkah Perak' itu juga menunjukkan DAP masih memiliki kelebihan menjadi 'kingmaker' dalam perebutan politik antara UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di negeri itu.
Jelas beliau, kesan kerjasama DAP-UMNO bagi menjatuhkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu melalui usul undi percaya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, membolehkan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) blok pembangkang mendapat peruntukan tahunan sama rata dengan ADUN blok kerajaan.
"Dari konteks kepentingan DAP dan PH di peringkat kerajaan persekutuan, mereka memiliki kuasa rundingan yang tinggi sama ada menuntut Anwar dijadikan sebagai Perdana Menteri jika UMNO ingin menjatuhkan kerajaan.
"Atau pun mereka mahu menuntut peruntukan sama rata dengan ahli Parlimen blok kerajaan Perdana Menteri mahu mengekalkan kedudukannya pada bulan September ini, sekali gus memastikan usul pengundian Belanjawan 2022 diluluskan," katanya lagi.
Bagaimanapun, situasi menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan menjadi semakin mencabar kepada DAP sekiranya UMNO dan Bersatu mampu kembali mencapai kesepakatan berhubung kerusi Perdana Menteri dan status keabsahan kerajaan sesama mereka.
"Situasi ini akan menyebabkan peranan DAP sebagai 'pressure force' tidak lagi diperlukan.
"Selain itu, dalam situasi pembangkang hari ini, DAP dalam posisi yang sukar untuk membina kesefahaman antara parti-parti pembangkang khususnya dalam menyelesaikan isu kerusi Perdana Menteri," jelas Anis Anwar.
Dalam satu bentuk hipotesis politik yang lain, sekiranya Anwar rela memberi kerusi Perdana Menteri kepada UMNO dalam jajaran politik baharu, kerjasama ini berpotensi besar untuk berjaya tetapi PH akan menghakis kepercayaan daripada penyokongnya yang tegar menolak pemimpin terpalit isu 'kleptokrat'.
"Sementara UMNO telah menyatakan pendirian tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri pengganti, jalan buntu antara pembangkang untuk mencalonkan siapa calon baharu yang mempunyai sokongan majoriti akan memberi ruang kepada kerajaan untuk bernafas lega seketika," kata Anis Anwar lagi.
Pemimpin kleptokrat
Sementara itu, kebimbangan wujud sebilangan ahli Parlimen DAP berpendapat opsyen menyokong Muhyiddin adalah lebih baik berbanding bekerjasama dengan pemimpin 'kleptokrat' bagi membentuk kerajaan baharu, turut diakui Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu.
Enggan mengesahkan sama ada segelintir pemimpin berkenaan ada menandatangani perjanjian CSA dengan Muhyiddin atas prinsip menolak pemimpin kleptokrasi, Ronnie juga tidak menolak kemungkinan perkara itu akan berlaku.
Bagaimanapun, Ronnie menegaskan bukan semua pemimpin UMNO terkait dengan dakwaan kleptokrasi dan pada saat kerajaan Muhyiddin gagal menangani krisis Covid-19, semua pemimpin DAP perlu berjiwa besar untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja termasuk UMNO bagi membentuk kerajaan baharu.
"Memandangkan ada kenyataan beberapa ahli Parlimen DAP seolah-olah lebih rela menyokong Muhyiddin berbanding bekerjasama dengan UMNO, saya tidak berani kata ada kemungkinan mereka buat perjanjian CSA dengan kerajaan.
"Tetapi, pada masa sama saya juga tidak berani kata dakwaan itu benar-benar tiada. Kadangkala perkara ini ada kaitan pendirian politik segelintir mereka yang merasakan lebih baik Muhyiddin mentadbir kerajaan berbanding Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) atau Zahid (Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi) mengetuai kerajaan baharu.
"Memang benar amalan kleptokrasi merosakkan negara...Tetapi kalau banding dengan amalan rasuah dikaitkan kerajaan PN sewaktu proklamasi darurat dan pandemik, keadaan itu adalah lebih teruk berbanding zaman kerajaan kleptokrasi BN," katanya.
ADUN Sungai Pelek itu turut mengesahkan cadangan memeterai perjanjian CSA pernah dikemukakan pihak pembangkang kepada Muhyiddin bagi memastikan usul pengundian Belanjawan 2021 pada tahun lalu diluluskan dalam Dewan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan cadangan itu diketepikan kerajaan PN dan sekiranya DAP sanggup menerima semula perjanjian CSA berkenaan ketika ini, rakyat akan lihat parti itu sudah menggadaikan prinsip perjuangan dan tidak lagi mementingkan PH.
"Walaupun setakat ini tiada ahli Parlimen DAP disahkan menyokong PN, saya menyeru mereka untuk tidak membuat pertimbangan politik bersifat peribadi, sebaliknya menfokuskan semula kepada agenda PH untuk mengangkat Anwar sebagai Perdana Menteri baharu.
"Mana-mana ahli Parlimen DAP juga tidak perlu bercakap retorik dengan asyik hendak mengaitkan pemimpin UMNO sebagai kleptokrat kerana tidak semua pemimpin parti itu perasuah.
"Saya juga ingin menasihati UMNO supaya bersikap 'gentleman' untuk menyokong PH membentuk kerajaan baharu, sekali gus menyelamatkan negara daripada krisis politik yang berpanjangan," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pemuda Bersatu, Senator Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal dalam satu kenyataan ringkas menyokong cadangan kerajaan PN memeterai perjanjian CSA dengan pihak pembangkang pada saat krisis pandemik Covid-19 semakin memuncak.
Jelas Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu, perjanjian CSR itu penting bagi membolehkan kedua-dua blok kerajaan dan pembangkang mengenepikan polemik politik buat seketika, sebaliknya berganding bahu bersama kerajaan PN dalam menyelesaikan krisis Covid-19 yang turut meliputi isu kesihatan dan ekonomi.
"Ya, saya bersetuju (cadangan CSA antara kerajaan dengan pembangkang) dan sebaik sahaja krisis (Covid-19) selesai, kita akan terus mengadakan pilihan raya.
"Saya berpandangan apa sahaja cara yang boleh diusahakan kerajaan untuk membantu menyelesaikan Pelan Pemulihan Negara (PPN) khususnya Program Immunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) adalah wajar kerana agenda itu adalah kepentingan bersama.
"Setelah PPN berjaya diselesaikan, barulah agenda pilihan raya umum (PRU) wajar dibuat," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca