SHAH ALAM - Seorang menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) menafikan desas-desus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletakkan jawatan pada petang Sabtu selepas mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama menteri dan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang menteri kerajaan Perikatan Nasional (PN) menafikan desas-desus Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletakkan jawatan pada petang Sabtu selepas mengadakan satu mesyuarat tergempar bersama menteri dan timbalan menteri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, khabar angin mengatakan Muhyiddin sudah menandatangani surat peletakan jawatan Perdana Menteri yang tular sejak tengah hari Sabtu juga tidak betul dan bersifat spekulatif.

Jelas beliau, Perdana Menteri tidak pernah mengarahkan Jemaah Menteri menghadiri satu mesyuarat kabinet tergempar diadakan pada petang Sabtu, sebaliknya beliau sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hanya menerima notis jemputan menghadiri mesyuarat parti pada Ahad, jam 9 pagi.

"Mana ada PM letak jawatan hari ini. Dakwaan ada mesyuarat kabinet tergempar petang ini pun tidak betul kerana saya masih berada di rumah bersama keluarga.

"Yang saya tahu, hanya notis jemputan menghadiri mesyuarat MPT Bersatu sahaja yang saya terima di mana mesyuarat itu akan diadakan pada esok pagi (Ahad)," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus Muhyiddin sudah menandatangani surat peletakan jawatan Perdana Menteri pada petang Sabtu dan dijangka akan mengumumkan keputusan itu selepas mempengerusikan mesyuarat tergempar.

Mesyuarat kabinet tergempar itu diadakan selepas Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu, mengumumkan tawaran rentas parti semalam ketika diasak untuk melepaskan jawatan kerana didakwa sudah hilang majoriti.

Jelas Mohd Redzuan lagi, sekiranya Muhyiddin benar-benar mahu meletak jawatan, beliau perlu memaklumkan perkara itu dalam mesyuarat parti terlebih dahulu, sebelum memanjangkan perbincangan mengenai isu berkenaan dalam mesyuarat kabinet.

Mohd Redzuan mengesahkan dakwaan kononnya Muhyiddin dijangka meletak jawatan petang ini adalah tidak benar.

Tambahnya, dakwaan pegawai-pegawai menteri dan timbalan menteri sudah mengemas barang di pejabat masing-masing, tidak memberi petanda bahawa kabinet sudah terbubar.

"Sekiranya Perdana Menteri hendak letak jawatan, beliau perlu membawa cadangan itu ke dalam mesyuarat parti terlebih dahulu untuk diputuskan MPT Bersatu.

"Selepas itu, beliau pula harus membincangkannya dengan menteri-menteri kabinet melalui mesyuarat kabinet.

"Soal pegawai khas menteri kemas barang di pejabat masing-masing, saya tidak tahu pula perbuatan mereka itu kini sudah dianggap isyarat kabinet terbubar," katanya.

Sementara itu, sumber Bersatu memaklumkan kepada Sinar Premium bahawa satu mesyuarat khas kabinet akan diadakan pada pagi Isnin.

Difahamkan, mesyuarat itu bakal membincangkan kedudukan terkini kerajaan PN pada saat Muhyiddin didakwa tidak lagi mempunyai sokongan majoriti daripada 220 ahli Parlimen.

Lebih menarik, sekiranya Muhyiddin akhirnya membuat keputusan meletakkan jawatan Perdana Menteri, Istana Negara dijangka akan memutuskan pembentukan sebuah kerajaan sementara seakan-akan Majlis Gerakan Negara (Mageran).

Sinar Premium turut dimaklumkan nama-nama pemimpin UMNO seperti Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahli Parlimen Gua Musang, Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah disebut-sebut untuk mengetuai kerajaan sementara berkenaan, sekiranya direalisasikan.

Klik di sini untuk terus membaca