[WAWANCARA EKSKLUSIF] Ribut politik negara makin panas sejak dua minggu lalu dan salah satu parti yang menjadi tumpuan sudah tentunya UMNO.
Selain menjadi parti yang kini hampir menoktahkan hayat kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Putrajaya, UMNO juga berdepan dengan isu dalaman parti yang berpecah kepada dua kem dan polemik dengan RoS.
Walaupun masih mengunci mulut mengenai strategi UMNO selepas ini dan siapakah calon Perdana Menteri parti itu, Setiausaha Agong UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mengakui MKT akan membuat pendedahan itu sebaik Muhyiddin mengangkat bendera putih.
Kepada Pengarang Berita Sinar Premium, Zamri Rambli dan wartawan, Nurul Riduan Nor Ashaha serta Liza Mokhtar, Ahli Parlimen Pontian itu berkongsi pandangan dan luahan hatinya mengenai krisis politik hari ini.
SINAR AHAD: Sejak dua minggu lalu, seluruh negara dikejutkan dengan beberapa sidang media UMNO, pertamanya oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan keduanya oleh Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. Ramai ahli UMNO yang pening dan ramai juga rakyat yang kecewa melihat perpecahan UMNO, apa komen Datuk Seri?
AHMAD MASLAN: Yang penting adalah punca perkara itu berlaku. Punca itu berlaku kerana pimpinan di bawah presiden, ingin melaksanakan keputusan parti iaitu keputusan Perhimpunan Agung UMNO.
Dalam keputusan itu antara lain bahawa presiden dan ahli MKT berhak menentukan bila masa menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN). Jadi MKT buat keputusan pada 7 Julai iatu menarik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kemudian MKT juga buat keputusan pada 3 Ogos, bukan hanya menarik sokongan terhadap Muhyiddin tetapi menarik sokongan terhadap PN.
Puncanya ialah kegagalan kerajaan di bawah Muhyiddin. Ada tujuh yang telah kita senaraikan. Jadi pada 11 Mac sebelum ini, kita memberikan mandat dan 7 Julai, kerana tujuh kegagalan itu, kita menarik sokongan.
Kemudian berlakulah pada 26, 27, 28 Julai, apabila sidang Dewan Rakyat, satu lagi perkara yang berlaku.
Yang berlaku dalam sidang Dewan Rakyat itu adalah pertelagahan terhadap keputusan kerajaan yang hanya ingin meletakkan Ordinan Darurat di atas meja tanpa dibentang, dibahas dan diputuskan.
Jadi di mana kedudukan UMNO yang dalam Perkara 3.3 Perlembagaannya menyebut bahawa kita mempertahankan kedaulatan Raja-Raja Melayu.
Maka pada 3 Ogos itu UMNO membuat ketetapan bukan sekadar menarik sokongan terhadap Muhyiddin malah menarik seluruh sokongan terhadap kerajaan PN.
Pandangan rakyat yang mengkaji dan menganalisa tentulah memahami tentang perkara ini. Malangnya dalam kalangan ahli Parlimen UMNO berpandangan berbeza iaitu ada dua pandangan. Seramai 23 orang berpandangan mereka ingin bersama terus dengan Muhyiddin manakala 15 orang berpandangan menarik sokongan. Jadi itulah yang berlaku.
Nak kata perpecahan dalam UMNO, parti ini ada 191 bahagian manakala yang tidak mengikut tentang keputusan ini adalah 23 ahli Parlimen. Kita kalau boleh 38 ahli Parlimen UMNO semuanya bersetuju dengan parti.
Ini adalah pertama kali dalam sejarah begitu ramai ahli Parlimen UMNO yang tidak mengikut keputusan presiden. Adakah ini satu kegagalan Ahmad Zahid?
Jika Ahmad Zahid Presiden UMNO dan Perdana Menteri, ‘dari jauh orang akan angkat tangan, bila dekat cium tangan’ tetapi oleh kerana beliau bukan perdana menteri, maka itulah yang berlaku.
Selain itu kerana keengganan beliau untuk membubarkan UMNO dan membawa ahli-ahli masuk ke parti Bersatu sebagaimana yang dicadang oleh Tun Dr Mahathir Mohamad. Perkara itu sudah diketahui umum dan akui sendiri oleh Tun Mahathir dalam laporan-laporan akhbar.
Jadi Ahmad Zahid tidak ikut arahan tersebut. Selepas beberapa hari, Ahmad Zahid berdepan dengan kes mahkamah. Ini harga yang mahal yang dibayar dalam perjuangan Ahmad Zahid.
Beliau tidak disukai oleh Tun Mahathir sejak zaman Pemuda apabila beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, satu-satunya Presiden UMNO yang pernah meringkuk dalam penjara.
Walaupun Ahmad Zahid ada kes di mahkamah, bukan Perdana Menteri tetapi Presiden UMNO ini adalah satu institusi yang wajar dihormati.
Dalam menuju PRU15 perpecahan dalam UMNO bukanlah satu petanda yang baik. Adakah kedua-dua belah pihak selepas ini dapat berdamai atau 23 ahli Parlimen ini akan dihukum?
Saya diminta oleh pimpinan untuk menghantar surat kepada mereka. Saya sudah hantar. Kandungan itu sulit dan boleh diagak bahawa ia merupakan ingatan kepada semua ahli Parlimen supaya taat kepada peraturan parti, menghormati keputusan parti.
Itu adalah kenyataan-kenyataan dalam Perlembagaan UMNO. Sebagai ingatan pada mereka.
Sama ada lembaga disiplin akan bertindak atau tidak, belum sampai ke tahap itu. Apa yang kita buat adalah meneruskan rundingan. Kita ingin berjumpa terus dengan ahli-ahli Parlimen ini, dalam kumpulan kecil.
Kalau mereka ingin bertemu, bila-bila masa Presiden ingin bertemu. Sedang diaturkan. Begitu juga presiden dan timbalan presiden.
Jadi kita tidak menutup pintu rundingan dan rundingan itu kena memihak kepada keputusan parti.
Dalam UMNO ini kita ada banyak. Kita ada 66,000 ketua pemuda cawangan, ketua puteri cawangan, ketua wanita cawangan, ketua cawangan. Mereka hanya 23 orang. Walaubagaimanapun mereka orang yang penting.
Adakah dalam tempoh seminggu ini di pihak Datuk Seri atau Presiden ada buat rundingan untuk mendamaikan situasi?
Rundingan akan terus dilakukan. Itu sahaja yang boleh saya sebut. Bagaimana rundingan itu tidak perlulah diperincikan. Maksudnya adalah bertemu.
Sudah ada pertemuan. Saya mengetahuinya. Saya tidak mahu sebut siapa. Tetapi salah seorang daripada 23 ahli Parlimen itu.
Dia datang dan kita akan panggil lagi dalam beberapa hari-hari ini.
RoS pada Selasa memaklumkan Presiden dan MKT UMNO ketika ini hanya berfungsi sebagai caretaker. Apa komen Datuk Seri?
Surat yang menyatakan bahawa fungsi sebagai caretaker itu kami tidak pernah terima.
Bererti tiada kenyataan rasmi bahawa kami adalah caretaker. Kenyataan itu juga yang dilapor Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS), Jasri Kasim. Dia kata bahawa saya, UMNO bertemu dengan RoS dan mereka masih lagi lagi meneliti dokumen-dokumen yang kita bagi.
Jadi dalam lain perkataan, apa juga yang disebut sebagai caretaker itu belum muktamad. Sebab saya sendiri bersama tiga yang lain, bertemu lapan individu di pejabat RoS pada Isnin, 9 Ogos lalu.
Waktu itu belum diberi jawapan oleh RoS dengan segala maklumat yang kita beri. Apakah antara maklumatnya? Maklumatnya adalah bahawa keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan ini dibuat pada 19 Februari lagi di Institut Latihan Memperkasa Ummah (ILMU), Janda Baik Kemudian minit mesyuarat itu disahkan pada 27 Mac di PWTC. Itu mesyuarat kali ketiga. Kita beri maklumat itu kepada RoS.
Satu lagi ialah maklumat pada bulan Jun, kita membuat keputusan secara resolusi pekeliling.
Resolusi pekeliling ini boleh diterima pakai sebab dalam Perlembagaan UMNO, tidak disebut bagaimana kaedah membuat keputusan.
Resolusi pekeliling itu kita hantar dan 51 daripada 55 ahli MKT bersetuju untuk menangguhkan pemilihan. Sebab utamanya adalah berdasarkan nasihat Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN).
KKM dan MKN menasihatkan kita, buatlah pemilihan secara online. Kami tidak boleh buat pemilihan seperti itu kerana ia melibatkan 66,000 mesyuarat Pemuda, Wanita, Puteri dan Cawangan.
Liputan internet di kawasan pedalaman amat sukar. Nak membuat pemilihan online itu juga kita tiada sistem.
Jadi sebelum 30 Jun ada dua peristiwa. Pada 24 Jun, surat saya kepada RoS iaitu sebelum habis tempoh. Dalam surat itu menyebut Majlis Kerja Tertinggi membuat keputusan supaya pemilihan ditangguhkan. Dalam lain-lain perkataan, kita telah menyampaikan keputusan pada RoS sebelum 30 Jun dan pada 29 Jun, sehari sebelum, saya membuat kenyataan media bahawa pemilihan ditangguhkan.
Jadi dalam surat 24 Jun itu, adalah penting. Apabila saya sebut keputusan MKT. Keputusan MKT itu bila? Keputusan MKT itu pada 18 Jun menggunakan resolusi pekeliling dan satu lagi tentulah keputusan pada bulan Februari itu. Jadi maklumat-maklumat ini kita sampaikan kepada RoS pada hari Isnin, 9 Ogos lalu. Dengan RoS ini saya berpandangan bahawa mereka akan memberikan keputusan yang positif. Saya tidak mahu bergaduh dengan RoS.
Dalam politik saya belajar jangan bertelagah dengan penjawat awam. Jangan bertelagah dengan rakyat. Jangan bertelagah dengan raja. Kalau nak bertelagah biar dengan ahli politik sahaja.
Andai kata RoS tetap dengan pendiriannya. Adakah UMNO akan membuat pemilihan parti, kalau ya bila? Atau adakah UMNO mahu mencabar RoS di mahkamah?
Ada lagi satu pengadil iaitu mahkamah. Kalau RoS tidak boleh memberikan pengadilan, kita minta semakan kehakiman untuk meneliti segala dokumen yang telah diberikan dan memutuskan sama ada kita di pihak yang benar atau sebaliknya.
Sebenarnya kami tidak mahu sampai ke tahap itu. Kami hanya inginkan segala dokumen yang kami hantar itu, yang disahkan oleh peguam, pesuruhjaya sumpah dan diterima baik oleh RoS.
Adakah Datuk Seri bimbang polemik ini berlarutan dan membawa kesan yang lebih buruk seperti pengharaman UMNO pada 1988?
Saya tidak nampak ia akan sampai ke tahap itu. Apabila kita sudah beri maklumat itu, saya menaruh harapan yang tinggi bahawa RoS akan bertindak secara profesional dan RoS tidak ada tangan-tangan ghaib untuk membuat keputusan sebaliknya.Saya amat yakin RoS akan membuat keputusan yang memuaskan UMNO dan menjadi pengadil yang seadil-adilnya.
Banyak pihak yang mempersoalkan apakah langkah seterusnya UMNO. walaupun kita tahu beberapa kali Datuk Seri mengatakan ini rahsia sebab taktikal tetapi Ismail Sabri pun minggu lalu berkata dia sendiri tidak jelas. Jadi what's next untuk UMNO?
Dalam keputusan MKT pada 3 Ogos lalu, presiden memaklumkan bahawa presiden, timbalan dan naib presiden pimpinan utama akan duduk untuk membincangkan strategi selanjutnya.
Namun, kita sudah menyebut pada 7 Julai apa yang sepatutnya berlaku iaitu apabila adanya Perdana Menteri baharu, maka akan ada kerajaan sementara. Kerajaan sementara itu hendaklah menyelesaikan imunisasi dan dalam masa bertempoh, apabila sudah mencapai imuniti kelompok, maka hendaklah mengembalikan mandat kepada rakyat.
Di dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4), jika Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat (bukan dalam parlimen) maka hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Ketika ini Perdana Menteri sudah tidak mendapat majoriti ahli Dewan Rakyat di mana 120 orang menyatakan tidak sokong beliau dan hanya 100 orang sahaja yang menyokong. Dalam 100 orang itu, kemungkinan akan berkurangan angkanya dalam tempoh masa tertentu. Jadi ini membuktikan secara jelas tiada lagi keabsahan terhadap jawatan yang disandang beliau.
Maka, persoalannya di sini mengapa beliau masih belum mahu untuk meletakkan jawatan kerana kami sudah menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong. Ini bermakna 14 orang dan ditambah Datuk Seri Noraini Ahmad setelah meletak jawatan dan mempersetujui perkara tersebut.
Adakah Datuk Seri rasa Muhyiddin akan menaikkan bendera putih untuk meletakkan jawatan atau kena tunggu juga 6 September ini?
Pada 6 September ini Yang di-Pertuan Agong akan berangkat dan bertitah. Maka ada cadangan supaya sidang Parlimen khas sehari sahaja dibuat terlebih awal untuk menyelesaikan keabsahan Perdana Menteri ini.
Jadi apabila Yang di-Pertuan Agong bertitah pada 6 September, maka titahnya untuk Perdana Menteri dan pentadbiran baharu.
Ada yang menyebut UMNO ketika ini cuba untuk mengulangi Langkah Perak, ada juga kata jajaran baharu. Adakah Langkah Perak ini akan berulang atau kalau mungkin ada jajaran baharu, Zahid dikatakan sudah bersumpah untuk tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim. Jadi bagaimana sebenarnya selepas ini?
Sumpah itu benar di mana beliau bersumpah di hadapan beberapa ahli Parlimen dalam bangunan Menara Dato Onn. Saya juga ada sebagai saksi bahawa beliau tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri atau DAP untuk mentadbir negara ini. Tetapi itu sumpah di hadapan kami. Yang penting kenyataan beliau pada 7 Julai.
Para terakhir kenyataan media semasa 7 Julai itu yang didengari oleh kesemua pihak yang boleh dirujuk secara bertulis ataupun lisan adalah beliau tidak menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri dan tidak mahu kerajaan PH-DAP mentadbir negara ini berlaku.
Ada juga laporan berita bahawa Ahmad Zahid mencadangkan nama beliau sendiri sebagai bakal perdana menteri. Sebenarnya siapa perdana menteri pilihan UMNO? Adakah UMNO mencadangkan presiden?
Kami boleh memanggil MKT untuk membuat keputusan itu jadi setakat ini persoalan itu belum berbangkit. Kita serah pada kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong apabila tiba waktunya.
Tentunya UMNO akan memberi cadangan nama jika Muhyiddin mengangkat bendera putih dan cadangan itu bukan hanya diputuskan seorang tetapi kami di biro politik atau mesyuarat MKT.
Kalau tidak ada Persidangan Agung UMNO, semestinya kita ada kaedah mesyuarat MKT untuk membuat keputusan. Mungkin nama yang dicadang lebih dari satu. Setakat ini, MKT tidak pernah membincangkan hal tersebut.
Jika MKT sudah membuat penilaian dan keputusan tentang siapa calon perdana menteri, mereka perlu bersidang sama ada secara maya atau bersemuka.
Pada pendapat Datuk Seri, siapa calon PM dalam pemikiran Datuk Seri yang sesuai?
Secara peribadi, saya ada pilihan saya sendiri. Jadi perkara itu akan berlaku jika ada perbincangan seterusnya. Namun dalam mesyuarat 3 Ogos lalu, Presiden memaklumkan untuk memberikan mandat kepada beliau, naib presiden dan kepimpinan parti utama untuk untuk meneliti apakah langkah yang selanjutnya untuk dibuat. Itu adalah keputusan MKT semasa 3 Ogos lalu.
Kita boleh mengadakan mesyuarat ini dalam tempoh sejam jadi tidak ada persoalan perlu mengambil masa yang lama.
Ada yang bertanya juga apa Muafakat Nasional (MN) selepas ini? Adakah MN masih ada atau sudah terkubur?
Kita masih meneruskan MN di mana belum ada keputusan untuk membatalkan MN sehingga kini. Apa yang pasti, keputusan kami kini tidak bersama PN.
Kita akui, mungkin dari segi keaktifan ketika ini dengan halangan-halangan SOP, maka ia tidak seaktif dulu. Namun tidak ada keputusan untuk menamatkan MN bererti ia masih diteruskan seperti mana keputusan PAU di mana bab MN ini kita berusaha untuk memperkasakan muafakat nasional.
Di sudut Pas juga mereka ada dua keputusan penting. Satu bersama PN, kedua, memperkasakan MN. Kami tidak ada dari segi bersama PN tetapi dalam hubungan UMNO-Pas, MN ini masih lagi tidak terputus. Tidak ada isu bahawa MN akan terkubur.
Selain kita berpadu dalam UMNO, bersama dengan MN juga adalah merupakan satu perkara penting dalam perjuangan UMNO. Ia lebih daripada hanya politik malah memupuk perpaduan secara keseluruhan.
Namun, bab UMNO dengan Bersatu ini, dia umpama Pas dengan Amanah. Jadi itulah isunya.
Klik di sini untuk terus membaca