DALAM hubungan antarabangsa, diplomasi boleh ditakrifkan sebagai usaha negara-negara untuk mempengaruhi tindakan negara-negara lain. Ia juga boleh ditakrifkan sebagai pengendalian hubungan antara negara-negara secara aman melalui perwakilan rasmi.
Diplomasi mempunyai empat fungsi utama – mengadakan rundingan di peringkat antarabangsa, bertindak sebagai perwakilan rasmi negara, membantu mengumpul maklumat di luar batasan sempadan negara dan berusaha untuk peningkatan kepentingan negara di luar negara.
Semua negara di dunia mengadakan hubungan luar dengan negara lain dan menghantar perwakilan atau diplomat menguruskan kepentingan negara di luar batasan sempadan.
Diplomat diutus untuk mengadakan rundingan dan membuat perjanjian bagi pihak negara mereka, selain ditugaskan mengumpul informasi dan meningkatkan hubungan persahabatan dengan negara tuan rumah. Misi diplomatik diketuai oleh seorang duta atau pesuruhjaya tinggi dalam kalangan negara-negara Komanwel.
Duta dibantu oleh para diplomat yang juga dilantik oleh kerajaan untuk memegang portfolio tertentu di sesebuah kedutaan, misalnya ekonomi, politik, militari, kebudayaan, pendidikan dan media.
Teknologi digital telah memberi dampak kepada amalan diplomasi sehingga timbul istilah ‘diplomasi digital’, ‘eDiplomasi’ dan ‘digiplomasi’. Diplomasi digital boleh didefinisi sebagai penggunaan internet dan teknologi komunikasi serta informasi untuk mencapai fungsi diplomasi. Revolusi teknologi digital telah membolehkan diplomat berhubung dengan pelbagai kaedah, misalnya emel, SMS, WhatsApp, Zoom, Facebook, Skype, Instagram dan Twitter.
Perkembangan telah diterima dalam amalan diplomasi, justeru pada tahun 2002, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah menubuhkan Pasukan Petugas mengenai eDiplomasi atau Taskforce on eDiplomacy dan kemudian dinaikkan taraf menjadi Office on eDiplomacy. Negara-negara lain juga tidak mahu ketinggalan dan menerima diplomasi digital.
Apakah kelebihan diplomasi digital sehingga semakin banyak negara tertarik dengannya? Diplomasi digital memudahkan dan mempercepatkan komunikasi. Informasi boleh dihantar serta-merta dengan menekan butang send.
Selain itu, siber diplomasi membolehkan informasi dalam bentuk gambar, statistik, carta, peta dan rakaman video serta audio dihantar serta dimuat turun dengan cepat dan mudah berbanding diplomasi tradisional. Ia memudahkan diplomat ketika mengadakan rundingan dengan ada maklumat yang lebih jelas.
Diplomasi digital juga mengurangkan risiko keselamatan bagi diplomat yang ditugaskan untuk memperoleh informasi di zon konflik yang berbahaya. Diplomat dan pemimpin boleh berunding dengan pihak berkonflik dan memperoleh maklumat daripada tentera tanpa berada di lokasi.
Diplomasi digital juga mengurangkan kos perbelanjaan untuk mengendalikan aktiviti diplomasi, malah pemimpin kerajaan serta diplomat tidak perlu menempuh perjalanan antara benua untuk mengadakan persidangan dan rundingan.
Negara tuan rumah tidak perlu bimbang tentang isu keselamatan fizikal perwakilan asing dan logistik kerana persidangan diadakan secara maya. Isu-isu dasar luar dapat disebar dengan luas dan ketahui oleh orang ramai melalui Facebook, Instagram serta Twitter.
Diplomasi digital menjadi semakin popular dan digunakan pemimpin-pemimpin di dunia seperti Joe Biden, Tayyib Erdogan, Imran Khan, Narendra Modi dan pemimpin agama seperti Pope Francis serta Dalai Lama.
Pandemik juga menyumbang kepada penggunaan diplomasi digital kerana pemimpin tidak boleh merentasi sempadan dan bertemu secara fizikal. Persidangan antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-75 di New York pada September 2020 telah diadakan secara maya, begitu juga Persidangan ASEAN ke-37 di Hanoi pada November 2020.
Namun, ia tidak bermakna diplomasi digital bebas daripada kelemahan. Informasi sulit boleh digodam dan didedahkan seperti yang telah dilakukan Wikileaks.
Selain itu, informasi palsu disebarkan melalui media sosial sehingga menyebabkan hubungan negara dengan yang lain terjejas. Diplomasi digital boleh menyebabkan negara-negara terpaksa berbelanja lebih untuk meningkatkan keselamatan siber.
Barangkali sudah tiba masa masyarakat antarabangsa seperti PBB berusaha memantau aktiviti diplomasi digital dengan meminda Undang-Undang Antarabangsa seperti Konvensyen Vienna 1961 mengenai hubungan diplomatik selaras dengan cabaran semasa.
* Dr Roy Anthony Rogers ialah Ketua Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya
Klik di sini untuk terus membaca