SALAH satu ketidakpuasan hati Tun Dr Mahathir Mohamad apabila dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1981 adalah kesukaran memesatkan pembangunan prasarana ekonomi. Beliau mendapati amat sukar untuk mengubah cara jabatan kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SALAH satu ketidakpuasan hati Tun Dr Mahathir Mohamad apabila dilantik menjadi Perdana Menteri pada 1981 adalah kesukaran memesatkan pembangunan prasarana ekonomi.

Beliau mendapati amat sukar untuk mengubah cara jabatan kerajaan membangunkan dan menguruskan perkhidmatan di bawah bidang kuasa mereka.

Penyediaan prasarana pengangkutan dan komunikasi amat perlahan menyebabkan pengenalan teknologi baharu dan perluasan liputan telekomunikasi sangat lembap. Permohonan mendapatkan talian mengambil masa bertahun lamanya.

Dr Mahathir sedar bahawa telekomunikasi adalah antara prasarana asas yang diperlukan untuk memesatkan pertumbuhan ekonomi dan membawa kemudahan moden ke kawasan luar bandar tetapi amat sukar dilaksanakan kerana Jabatan Telekom bukan sahaja tidak mempunyai keupayaan, bahkan enggan berubah.

Ia memaksa beliau memperkenalkan sistem kontrak menyerupai penswastaan yang kemudiannya menjadi amalan biasa kerajaan.

Beliau memecahkan monopoli Jabatan Telekom dalam penyediaan rangkaian telekomunikasi dengan melantik empat kontraktor besar bumiputera untuk menyediakan talian di bandar dan luar bandar.

Sistem itu mencapai kejayaan besar dalam jangka masa singkat sehingga dijadikan kaedah standard penyediaan perkhidmatan telekomunikasi difrancaiskan kepada Jabatan Telekom yang dikorporatkan menjadi Telekom Malaysia Berhad (TM) dan beberapa buah syarikat swasta.

Hari ini, selain TM, kita mempunyai beberapa syarikat pembekal telekomunikasi yang bersaing untuk mendapatkan pelanggan dengan menawarkan perkhidmatan terbaik seperti Celcom, Maxis dan Digi. Dengan menswastakan penyediaan prasarana dan pemasaran kemudahan telekomunikasi, pengguna dapat menikmati hasil kemajuan telekomunikasi tanpa perlu kerajaan mengeluarkan modal besar.

Anehnya, di bawah pemerintahan kerajaan Perikatan Nasional (PN), sistem itu telah diubah secara diam-diam dengan kerajaan kembali memegang monopoli telekomunikasi melalui pelaksanaan spektrum generasi kelima atau singkatannya 5G.

Bagi tujuan mengembalikan monopolinya ke atas penyediaan spektrum telekomunikasi digital dan wireles, kerajaan PN telah menubuhkan sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bernama Digital Nasional Berhad (DNB) untuk membangunkan prasarana 5G.

Ia bercanggah dengan amalan di seluruh dunia di mana kerajaan mengundang syarikat-syarikat swasta dari dalam dan luar negara untuk membuat bidaan ke atas spektrum 5G.

Dengan serta-merta kerajaan mendapat hasil melalui yuran pembidaan dan tidak menanggung apa-apa kos kerana semuanya akan disediakan oleh syarikat yang menang bidaan itu. Selalunya beberapa syarikat akan dilantik supaya tidak berlaku monopoli.

Dianggarkan kerajaan akan memperoleh hasil serta-merta sebanyak RM5 bilion dengan menjual spektrum 5G kepada swasta seperti yang dilakukan dengan spektrum sebelum ini.

Misalnya, pada 2016 kerajaan telah membuat lelongan spektrum 4G dan berjaya memperoleh pendapatan segera RM7 bilion untuk spektrum 900Mhz dan 1800Mhz.

Apakah muslihat di sebalik kerajaan PN tidak meneruskan sistem pembidaan ini untuk 5G, sedangkan ia mengetahui sistem monopoli oleh kerajaan mengalami kegagalan di Mexico dan Belarus?

Sedangkan negara lain melakukannya seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini dan memperoleh hasil segera yang besar. Sebaliknya kerajaan PN dianggarkan perlu berhutang RM11 bilion bagi membiayai projek itu yang kontrak pembekalannya telah diberikan kepada LM Ericsson dari Sweden.

Dasar luar biasa kerajaan PN dikhuatiri beri kesan negatif kepada syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi sedia ada kerana mereka terpaksa menyewa spektrum 5G daripada DNB dan ejen swastanya, Altel Communications Sdn Bhd.

Sebarang kesan negatif ke atas syarikat pembekal perkhidmatan telekomunikasi akan turut memberi kesan buruk kepada pemegang saham mereka termasuk tabung-tabung pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).

Kita harap apabila Parlimen dibuka semula, hal itu akan dibangkitkan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat penelitian ke atas proses pemberian spektrum serta pelantikan kontraktor untuk projek 5G ini. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca