TUN Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim, bekas Ketua Hakim Negara pernah dilaporkan berkata, undang-undang lapuk Inggeris perlu digantikan dengan undang-undang lazim Malaysia yang berteraskan kepada syariah. Beliau menegaskan apa-apa yang... Klik di sini untuk terus membaca

TUN Ahmad Fairuz Syeikh Abdul Halim, bekas Ketua Hakim Negara pernah dilaporkan berkata, undang-undang lapuk Inggeris perlu digantikan dengan undang-undang lazim Malaysia yang berteraskan kepada syariah.

Beliau menegaskan apa-apa yang bercanggah dengan Islam adalah tidak berperlembagaan kerana Islam telah dinobat sebagai ‘agama bagi Persekutuan’ seperti termaktub dalam Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan.

Buat masa ini Seksyen 3 dan 5 Akta Undang-Undang Sivil 1956 menyatakan tentang pemakaian undang-undang lazim di England sekiranya berlaku kelompangan dalam undang-undang negara. Ia bermakna undang-undang lazim England mestilah dipakai jika terdapat lompong dalam undang-undang di Malaysia.

Namun, menyedihkan apabila undang-undang lazim tersebut adalah undang-undang lazim di England pada 7 April 1956 untuk Malaysia Barat, 1 Disember 1951 (Sabah) dan 12 Disember 1949 (Sarawak) dan bukan undang-undang lazim di England hari ini.

Sudahlah England sendiri tidak lagi menggunakan undang-undang lazim tersebut dan berubah, Malaysia masih dikongkong untuk memakai undang-undang zaman pramerdeka tersebut. Di manakah logiknya undang-undang itu masih mahu dikuatkuasakan?

Tidakkah ia undang-undang lapuk ketinggalan zaman? Ahmad Fairuz menyarankan agar kita menanggalkan pakaian kolonial tersebut dengan memakai undang-undang lazim Malaysia yang berpaksi undang-undang syariah. Undang-undang lazim Malaysia seharusnya lebih dekat dengan rakyat Malaysia.

Teras Islam yang dicadangkan adalah paksi yang ada dalam Perlembagaan Persekutuan. Islam salah satu jati diri yang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan. Sewajarnya selepas tarikh-tarikh yang disebut di atas, undang-undang lazim di Malaysia dibangunkan mengikut acuan tempatan.

Jika undang-undang lazim England yang begitu asing pun boleh diambil, kenapa tidak undang-undang Islam yang sudah sebati dalam kalangan rakyat tempatan. Malah, pada 25 Mei 1999, Ketua Hakim Negara ketika itu, Tun Eusoff Chin dalam satu surat menegaskan undang-undang lazim England hanya boleh dipakai di Malaysia jika tidak ada apa-apa undang-undang bertulis di Malaysia mengenai sesuatu perkara itu, prinsip-prinsip undang-undang lazim di England selepas tarikh disebutkan di atas tidak mengikat mahkamah Malaysia dan pemakaian prinsip undang-undang lazim adalah tertakluk kepada adat resam serta budaya penduduk di Malaysia.

Eusoff seterusnya menasihati para hakim agar tidak terburu-buru menerima pakai tanpa mengkaji dengan mendalam keputusan-keputusan yang dibuat mahkamah di England selepas tarikh tersebut.

Persoalan kini, kenapa pihak kerajaan walaupun setelah lebih enam dasawarsa kita mencapai kemerdekaan, peruntukan itu masih belum dimansuhkan walaupun teguran memansuhkannya telah lama diperkatakan termasuklah oleh tokoh perundangan negara seperti Profesor Tan Sri Ahmad Ibrahim.

Ramai mengkritik Ahmad Fairuz dengan menyatakan Perkara 3(4) Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan walaupun kedudukan Islam itu tinggi, tiada apa pun yang boleh menidakkan ketinggian Perlembagaan Persekutuan. Oleh itu, mereka mengatakan pandangan Ahmad Fairuz tersasar daripada prinsip Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Saya sangat bersetuju kedudukan undang-undang sekarang meletakkan Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi. Tiada siapa boleh mempertikaikan kedudukan itu. Begitu juga peruntukan jelas dalam Perkara 3(4) di atas.

Namun perkataan Islam dalam Perkara 3 mestilah diberikan maknanya yang sebenar iaitu merangkumi segala aspek kehidupan seperti diputuskan dalam keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu kes Lina Joy melawan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Sekiranya kita teliti dengan minda terbuka, keseluruhan 183 perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, kita akan mendapati tiada satu pun peruntukan yang ada dalam perlembagaan itu bertentangan dengan undang-undang teras syariah.

Saya sependapat dengan Ahmad Fairuz yang mengatakan sebarang undang-undang yang bercanggah dengan syariah adalah tidak berperlembagaan.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca