KEMARAAN pemberontak Taliban yang menawan satu demi satu bandar dan wilayah luar bandar di Afghanistan sehingga berjaya menewaskan tentera pemerintah mencetuskan persoalan adakah pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan asing... Klik di sini untuk terus membaca

KEMARAAN pemberontak Taliban yang menawan satu demi satu bandar dan wilayah luar bandar di Afghanistan sehingga berjaya menewaskan tentera pemerintah mencetuskan persoalan adakah pengunduran pasukan tentera Amerika Syarikat (AS) dan asing dari negara itu tanpa sebarang syarat merupakan strategi yang betul?

Susulan kemaraan pemberontak itu, Presiden AS, Joe Biden dikecam baru-baru ini oleh bekas Presiden negara itu, Donald Trump daripada parti Republikan dengan menyalahkannya kerana tidak meletakkan sebarang syarat ketika mengundurkan tentera AS dari Afghanistan.

Trump mendakwa pengunduran pasukan tentera AS dari negara tersebut seperti ditetapkan oleh Biden pada 31 Ogos ini akan menjadi sesuatu yang berbeza berbanding keadaan sekarang dan dijangka menjadi lebih berjaya jika beliau masih memegang jawatan Presiden.

Bagaimanapun, nasi sudah menjadi bubur apabila kemaraan dan penawanan beberapa bandar dan kawasan luar bandar di Afghanistan kepada pemberontak Taliban bagi mewujudkan pentadbiran Islam seperti yang pernah dilakukannya pada tahun 1996 hingga 2001 sebelum ia disingkirkan oleh tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) diketuai oleh AS.

AS menyingkirkan pemberontak itu pada tahun 2001 atas alasan untuk memusnahkan rangkaian Al-Qaeda yang menjadikan Afghanistan sebagai pangkalan selamatnya ketika AS diperintah oleh Presiden ke-43, George W. Bush.

Penyingkiran itu juga dilakukan selepas peristiwa serangan pengganas yang didakwa dilakukan oleh rangkaian Al-Qaeda pada 11 September 2001 yang mengakibatkan lebih 3,000 orang terbunuh di World Trade Center (WTC), New York dan ibu pejabat Pentagon dekat Washington.

Bagaimanapun dalam kes di Afghanistan, AS memeterai satu perjanjian dengan Taliban di Doha, Qatar pada tahun 2020 yang menyaksikan pengunduran tentera AS dan NATO yang ditetapkan ketika itu iaitu menjelang Mei 2021 dari Afghanistan.

Sebagai pertukaran kepada pengunduran itu, AS akan memperoleh jaminan keselamatan, iaitu janji Taliban untuk mengadakan rundingan damai dengan pihak pemerintah di Kabul di mana pergerakan tersebut tidak akan menyerang AS dan kepentingannya selain tidak menyokong kumpulan seperti Al-Qaeda dan menyerang AS.

Tentera Afghanistan gagal untuk menghalang kemaraan pemberontak Taliban di negara itu.

Taliban yang bermaksud pelajar dalam bahasa Pashto memulakan kemaraan untuk menawan keseluruhan negara itu pada 6 Ogos lalu apabila ia berjaya menguasai bandar Zaranj di wilayah Nimruz, selatan Aghanistan selepas meningkatkan serangan ke atas tentera pasukan pemerintah

Selepas itu, mereka berjaya menawan berbelas-belas ibu negeri di wilayah negara tersebut dan pada Jumaat lalu, ia hanya berada 50 kilometer (km) dari Kabul selepas menawan ibu negeri wilayah Logar.

Persoalannya, apakah yang menyebabkan askar-askar negara itu tewas kepada Taliban selepas diberikan latihan bagi menghadapi pertempuran oleh tentera AS?

Difahamkan, kos peperangan di negara itu dianggarkan melebihi AS$1 trilion (RM4.24 trilion) dolar dalam tempoh lebih 20 tahun dan Biden pernah menyatakan AS melatih dan memberikan peralatan moden ke atas lebih 300,000 askar Afghanistan.

Namun, bagaimanakah tentera di negara itu boleh kalah kepada kumpulan pemberontak yang kekurangan peralatan ketenteraan?

Faktor seperti gejala rasuah, kekurangan keazaman untuk berperang dan kelompongan kuasa yang berlaku selepas askar-askar AS meninggalkan negara itu serta jeneral berumur memainkan peranan dalam kekalahan tersebut.

Sejak bertahun lalu, pemerintah AS melaporkan tentang rasuah yang berlaku dalam pasukan keselamatan Afghanistan manakala senjata yang diperoleh tentera negara itu dijual di pasaran gelap selain terdapat penipuan tentang bilangan anggota tentera.

Unit komando yang dilatih AS adalah benteng harapan untuk menghalang kemaraan Taliban tetapi pada akhirnya ia gagal untuk menentang pemberontak tersebut.

Lebih memburukkan keadaan ialah pasukan keselamatan Afghanistan itu juga tidak mempunyai kepimpinan yang efektif bagi menghadapi pertempuran dengan Taliban.

Keadaan itu menyebabkan tentera tentera AS berasa terkejut dengan kemaraan kumpulan pemberontak negara itu.

Bukan itu sahaja, Britain turut melakukan perkara sama seperti AS apabila mengeluarkan kira-kira 600 anggota tentera dari Kabul.

Kesudahannya, pemberontak Taliban pastinya akan menguasai Afghanistan selepas pengunduran tentera AS dipercayai memandang rendah terhadap kekuatan kumpulan pemberontak tersebut.

Klik di sini untuk terus membaca