SUDAH hampir 18 bulan rakyat Malaysia diselubungi pandemik Covid-19. Ia bukan sahaja menjejaskan norma kehidupan kita, malah aktiviti kerja pun tersekat sehingga kehilangan pendapatan. Apabila keadaan itu terus berlarutan, sudah tentu... Klik di sini untuk terus membaca

SUDAH hampir 18 bulan rakyat Malaysia diselubungi pandemik Covid-19. Ia bukan sahaja menjejaskan norma kehidupan kita, malah aktiviti kerja pun tersekat sehingga kehilangan pendapatan.

Apabila keadaan itu terus berlarutan, sudah tentu golongan paling terkesan adalah golongan bawahan dan pertengahan.

Dalam ruangan Lidah Pengarang Sin Chew Daily, ia menghuraikan golongan pertengahan iaitu M40 kini telah termasuk dalam B40 susulan terpalit dengan pandemik yang masih belum menampakkan sebarang tanda-tanda untuk pulih.

"Berdasarkan Laporan Anggaran Pendapatan Isi Rumah dan Insiden Kemiskinan Malaysia 2020, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 berpendapatan antara RM4,850 dan RM10,959 telah beralih kepada kumpulan B40 akibat kesan pandemik.

"Bukan sahaja M40 dan B40 yang kehilangan pendapatan, kumpulan isi rumah T20 pun tidak dapat dielakkan daripada menerima kesan yang buruk.

"Laporan itu mendedahkan 12.8 peratus kumpulan isi rumah T20 telah beralih kepada kumpulan M40. Namun, walaupun berlaku kekurangan pendapatan, T20 dikatakan masih mempunyai wang sara hidup yang mencukupi untuk meneruskan kehidupan.

"Berbanding kumpulan isi rumah M40 dan B40, sekiranya pandemik Covid-19 berlanjutan sehingga tahun hadapan, sukar untuk membayangkan apakah nasib yang bakal menimpa mereka kelak?” tulis akhbar itu.

Menurut Sin Chew Daily, memang tidak dinafikan, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan kini berada di landasan tepat bagi memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus rakyat jelata mendapat vaksinasi seperti yang dirancang.

"Tetapi perlu diingatkan, walaupun kerajaan berusaha bersungguh-sungguh melancarkan program vaksinasi, malangnya jumlah kes penularan masih meningkat dengan banyak.

"Begitu juga pengumuman Pelan Pemulihan Negara oleh kerajaan yang memberi bantuan kepada segenap lapisan masyarakat terjejas akibat pandemik.

"Bantuan daripada Pelan Pemulihan Negara bagaimanapun masih belum cukup untuk menolong golongan M40 dan B40 menghadapi situasi yang amat getir ketika ini,” kata Sin Chew Daily.

Menurut akhbar itu, kerajaan telah melancarkan banyak program dan pakej bantuan kepada rakyat tetapi akibat ditimpa musibah paling panjang dan buruk dalam sejarah negara, sesungguhnya rakyat masih memerlukan sumbangan dan bantuan yang lebih banyak daripada kerajaan.

Sin Chew Daily berpendapat, selain menyalurkan program bantuan sedia ada, kerajaan juga perlu merancang beberapa bantuan baharu dan tidak lagi hanya meminta rakyat mengeluarkan wang simpanan mereka daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Antara bantuan yang diterima M40 sebelum ini ialah Program Subsidi Upah (PSU), moratorium dan pengurangan ansuran pinjaman, penurunan kadar cukai pendapatan 1.0 peratus dan Sistem Insurans Pekerjaan Prihatin (SIP).

Sebelum ini, RM78 bilion dana KWSP telah dikeluarkan pencarum menerusi i-Lestari dan i-Sinar. Jumlah pengeluaran yang amat banyak itu menunjukkan rakyat amat memerlukan wang bagi meneruskan kelangsungan hidup. Seramai 2.6 juta ahli KWSP dikatakan mempunyai simpanan kurang dari RM1,000 dalam akaun satu.

Selain itu, KWSP juga telah meluluskan pengeluaran berjumlah RM19.1 bilion melibatkan 4.57 juta pemohon i-Citra dan daripada jumlah itu, sebanyak RM2.3 bilion telah diagihkan dalam tempoh tiga hari sejak 2 Ogos lalu.

"Biarpun kerajaan menjelaskan bantuan bukan hanya tertumpu kepada golongan B40 tetapi juga kepada golongan M40, namun apa yang perlu difahami adalah wang dalam KWSP digunakan untuk masa tua kita.

"Tanggungjawab kerajaan ketika ini bukan sahaja membantu meringankan beban rakyat tetapi pada masa sama perlu berusaha memulihkan kegiatan ekonomi kembali seperti sediakala,” jelas akhbar itu lagi.

*Ong Boon Teck ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca