[DIKEMAS KINI] PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kemungkinan beliau hanyalah kerajaan minoriti sekarang berikutan penarikan sokongan 14 ahli Parlimen UMNO sejak awal Ogos lalu. Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin melahirkan... Klik di sini untuk terus membaca

[DIKEMAS KINI] PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui kemungkinan beliau hanyalah kerajaan minoriti sekarang berikutan penarikan sokongan 14 ahli Parlimen UMNO sejak awal Ogos lalu.

Dalam ucapan tersebut, Muhyiddin melahirkan kekecewaan kerana dalam keadaan majoriti ahli kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa ahli Parlimen telah menarik sokongan dan menimbulkan keraguan tentang keabsahan beliau sebagai Perdana Menteri.

Muhyiddin turut memberi gambaran kerajaan beliau telah tiada majoriti apabila berkata:

"Dalam keadaan ini saya mempunyai dua pilihan menurut Perlembagaan Persekutuan. Saya boleh memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya atau meletak jawatan.”

Walaupun tidak mengaku hilang majoriti secara langsung, ia menunjukkan kemungkinan kerajaan pimpinan Muhyiddin sekarang adalah kerajaan minoriti sehingga dijatuhkan dalam sidang Parlimen akan datang.

Namun, kedudukan kerajaan ini tidak boleh dipertikaikan kerana tiada pihak lain mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan. Justeru, keabsahan kerajaan ini kekal sehingga sidang Parlimen akan datang.

Dalam keadaan kerajaan sedia ada adalah minoriti dan tiada pihak tampil menuntut menunjukkan majoriti untuk menubuhkan kerajaan, Muhyiddin tampil menawarkan Confidence Supply Agreement (CSA).

CSA merujuk kepada perjanjian untuk menyokong undi percaya (confidence) dan belanjawan (supply). Konsep CSA menjadi amalan Westminster iaitu sistem pemerintahan Parlimen demokratik yang dimodelkan mengikut sistem Inggeris. Ia bertujuan menjaga kestabilan politik ketika tiada parti memperoleh majoriti dalam dewan.

Konsensusnya ialah ahli Parlimen pembangkang tidak menolak belanjawan kerajaan atau mengusulkan undi tidak percaya kepada kerajaan. Sebagai balasan, Perdana Menteri perlu memberi peluang dan akses ahli Parlimen di luar kerajaan mencadangkan sesuatu dasar dalam belanjawan dan polisi kerajaan.

Antara tawaran yang diberikan adalah semua ahli Parlimen menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik dan bagi pembangkang, peruntukan tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.

Selain itu, kerajaan akan memohon kelulusan Parlimen bagi penambahan siling dana Covid-19 sebanyak RM45 bilion daripada RM65 bilion seperti diluluskan oleh Parlimen tahun lalu kepada RM110 bilion. Muhyiddin juga menawarkan pindaan perlembagaan jika CSA mencapai majoriti 2/3 yang antara lain mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.

Amat mengejutkan, sebahagian ahli Parlimen pembangkang membuat dakwaan tawaran itu sebagai satu rasuah bagi mengekalkan kerajaan. Bagi sebahagian orang, tawaran ketika Muhyiddin sudah hilang majoriti adalah berbentuk rasuah. Ia menunjukkan se-bahagian mereka tidak memahami amalan demokrasi yang kita amalkan dan mereka tidak berminat menstabilkan politik.

Sememangnya CSA ditawar oleh pihak yang mempunyai banyak kerusi tetapi tidak mempunyai majoriti. Antara negara yang pernah mengamalkan CSA ialah Australia (2010), Sweden (1998) India (1998), New Zealand (2017), Britain (2017 - 2018). CSA hanya ditawarkan sebagai pilihan sementara dalam keadaan politik tidak stabil dan tiada pihak mempunyai majoriti. Muhyiddin sendiri menawarkan CSA sehingga selewat-lewatnya Julai 2022 untuk diadakan pilihan raya umum.

Seperti kata Perdana Menteri: "Keadaan tiada seorang pun ahli Dewan Rakyat lain yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri yang baharu tidak boleh dilantik menurut perlembagaan. Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

"Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?” Mungkin kerana kelangsungan politik partisan lebih penting, maka sebarang usaha menstabilkan negara biarpun ketika pandemik tidak dilihat sebagai satu kebaikan oleh sesetengah ahli politik.

*Ab Jalil Backer ialah Presiden Angkatan Karyawan Nasional (Akar)

Klik di sini untuk terus membaca