SHAH ALAM – Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai dua pilihan dalam perlembagaan sama ada memohon pembubaran Parlimen atau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Bagaimanapun pakar perlembagaan dari Universiti Teknologi Malaysia, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ia bergantung perkembangan yang berlaku pada minggu depan berhubung cadangan dikemukakan oleh Muhyiddin kepada pimpinan parti politik.
"Kalau pertemuan itu tidak ada sambutan, maka jelaslah bahawa tidak ada cukup sokongan mempertahankan kuasa sewaktu undian di Parlimen nanti.
"Situasi itu dapat ditafsirkan sebagai hilang kepercayaan dan mengikut Perlembagaan Perkara 43 Fasal 4 maka ada dua pilihan sahaja sama ada memohon kepada pembubaran Parlimen atau meletakkan jawatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah Muhyiddin mempunyai pilihan yang lain selain meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Muhammad Fathi berkata, kedua-dua pilihan terbabit terbuka kepada Muhyiddin dan ia terserah kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menentukannya.
"Jika terdapat permintaan untuk membubarkan Parlimen, budi bicara terletak kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada permintaan tersebut hendak dipenuhi atau tidak.
"Kalau permintaan itu ditolak, maka dengan sendirinya Yang di-Pertuan Agong berhak untuk melantik tokoh yang lain untuk menggantikan Perdana Menteri yang sedia ada,” ujarnya.
Jelasnya, ahli-ahli Parlimen yang menarik sokongan terhadap Muhyiddin juga perlu lebih bertanggungjawab dengan menyatakan kepada siapa sokongan mereka diberikan.
"Sekiranya sokongan mereka diberikan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim, saya rasa itu jelas Anwar cukup sokongan majoriti.
"Begitu juga parti-parti lain di luar Pakatan Harapan seperti parti Pejuang yang dipimpin oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sepatutnya menyatakan dengan lebih jelas siapa calon Perdana Menteri yang ingin mereka sokong menggantikan Muhyiddin.
"Saya rasa itu langkah yang lebih bertanggungjawab dalam konteks negara yang agak sukar mengadakan pilihan raya dalam situasi wabak sekarang,” katanya.
Sementara itu, pakar perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood pula berpendapat, Muhyiddin sudah tidak mempunyai pilihan lain kecuali meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.
Beliau berkata, solusi untuk menyelesaikan kemelut berkenaan adalah mengikut kehendak dan budi bicara Yang di-Pertuan Agong.
Jelas beliau, Seri Paduka Baginda akan melantik seseorang yang difikirkan sesuai untuk menjadi Perdana Menteri selepas Muhyiddin meletakkan jawatan dan tidak semestinya mempunyai majoriti.
"Yang penting, jika Yang di-Pertuan Agong menganggap bahawa orang itu mungkin akan mendapat majoriti, maka Seri Paduka Baginda boleh melantik orang tersebut.
"Selepas dilantik, Perdana Menteri yang baharu itu perlu membawa ke Parlimen untuk undi percaya bahawa adakah ahli Parlimen menyokongnya atau tidak.
"Kalau tidak mendapat sokongan majoriti seperti Perdana Menteri sekarang, beliau juga kena meletak jawatan,” jelas beliau.
Mengulas lanjut, Nik Ahmad Kamal berkata, Yang di-Pertuan Agong perlu diberi ruang untuk menjalankan kuasanya di bawah perlembagaan.
Beliau dalam masa sama turut berpendapat bahawa Ahli Parlimen Pagoh itu tidak perlu menunggu usul percaya terhadapnya semasa sidang Dewan Rakyat pada September ini.
"Apa yang perlu dibuat sekarang mengikut cara yang sesuai dengan perlembagaan ialah menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menyerahkannya untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Nik Ahmad Kamal berkata, Yang di-Pertuan Agong akan menitahkan supaya Muhyiddin meletak jawatan, atau Muhyiddin sendiri secara sukarela melepaskan jawatan.
"Selepas itu terpulang kepada Yang di-Pertuan Agong sama ada untuk membubarkan Parlimen atau tidak, atau melantik seorang Perdana Menteri baharu.
"Kalau tidak ada yang sesuai, mungkin akan melantik Perdana Menteri interim sampai suatu keadaan di mana kita boleh mengadakan satu pilihan raya atau terdapat seseorang yang mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat,” ujarnya.
Sementara itu, Nik Ahmad Kamal menyifatkan tawaran yang dikemukakan Muhyiddin dalam perutusan khasnya pada Jumaat tidak bersesuaian dan bertentangan dengan perlembagaan.
"Jelas dalam Perlembagaan Perkara 43 Fasal 4, seseorang Perdana Menteri yang hilang majoriti kena meletakkan jawatan. Itu sahaja pengakhirannya,” kata beliau.
Klik di sini untuk terus membaca