SHAH ALAM - Tiada halangan untuk membentuk kerajaan minoriti sekiranya ahli Parlimen pembangkang bersedia mewujudkan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan atau ‘Confidence and Supply Agreement (CSA)’ dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tiada halangan untuk membentuk kerajaan minoriti sekiranya ahli Parlimen pembangkang bersedia mewujudkan Perjanjian Keyakinan dan Bekalan atau ‘Confidence and Supply Agreement (CSA)’ dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Penganalisis politik daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pembentukan itu adalah dengan memberikan sokongan menerusi undi percaya di Parlimen pada September.

"Tetapi nampaknya semua parti pembangkang termasuk 15 ahli Parlimen UMNO yang pro kepada Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tawaran CSA Muhyiddin.

"Ini membawa kesukaran kepada Muhyiddin untuk mempertahankan kedudukannya sekarang,” katanya kepada Sinar Ahad.

Beliau berkata demikian mengulas sama ada pembentukan kerajaan minoriti merupakan tindakan yang wajar atau sebaliknya.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tawaran pembentukan kerajaan minoriti boleh dibuat sekiranya tiada sesiapa dalam kalangan ahli Parlimen yang boleh mendapat mandat majoriti di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Beliau berkata, ia boleh dibuat oleh mana-mana ahli Parlimen bersama bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan bersyarat melalui persetujuan CSA.

Mengulas lanjut, Mazlan turut menyifatkan kenyataan Azalina itu selaras dengan perlembagaan dan konvensyen politik di negara ini.

"Kenyataan beliau itu berkait dengan kemelut berlaku sekarang di mana Perdana Menteri yang hilang majoriti menurut peruntukan 43 (4) mesti meletak jawatan atau memohon membubarkan Parlimen.

"Semalam (Jumaat), Muhyiddin yang (kerajaannya) minoriti cuba membuat tawaran CSA dengan insentif menarik kepada Ketua Pembangkang dan ahli Parlimen pembangkang dengan balasan sokongan kepadanya sewaktu undi percaya,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca