SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletakkan jawatan pada Isnin ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet lebih kurang jam 9 pagi. Perkara itu didedahkan oleh seorang menteri Kabinet kerajaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletakkan jawatan pada Isnin ini selepas mempengerusikan satu mesyuarat khas Kabinet lebih kurang jam 9 pagi.

Perkara itu didedahkan oleh seorang menteri Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) setelah Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu sudah menyatakan hasrat berkenaan dalam satu pertemuan bersama pucuk kepimpinan tertinggi parti itu di kediamannya di Bukit Damansara pada petang Sabtu.

Jelas menteri yang enggan namanya didedahkan, hasrat peletakan jawatan Muhyiddin dikemukakan Pengerusi PN itu setelah tawaran kerjasama rentas parti bagi membolehkan kerajaan PN kekal sekurang-kurangnya sehingga Julai tahun hadapan, tidak mendapat sambutan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

"Ya, Tan Sri Muhyiddin dijangka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Istana Negara setelah mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada pagi Isnin.

"Keputusan itu dibuat setelah Muhyiddin merasakan beliau sudah tidak memiliki majoriti sokongan ahli-ahli Parlimen setelah tawaran terakhir beliau untuk mewujudkan kerjasama rentas parti, tidak mendapat sokongan ahli-ahli Parlimen pembangkang.

"Jadi untuk soalan 'what's next?', kena tanya 15 ahli Parlimen UMNO yang cetuskan kekacauan politik sehingga musnahnya kerajaan PN, apa patut kena buat?" katanya kepada Sinar Premium dengan nada kecewa malam Sabtu.

Beliau berkata demikian bagi mengulas spekulasi bertiup kencang mengatakan Muhyiddin dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara pada Isnin ini bagi menyerahkan surat peletakan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri.

Sekiranya sahih, keputusan peletakan jawatan Muhyiddin itu secara rasminya akan menyebabkan kerajaan PN jatuh dengan kedudukan Jemaah Menteri akan terbubar secara automatik.

Terdahulu, Muhyiddin dalam satu pengumuman khas pada Jumaat menawarkan kerjasama rentas parti antara kerajaan PN dengan parti di luar kerajaan sekiranya usul undi percaya terhadapnya diluluskan di Dewan Rakyat pada 7 September depan.

Kerajaan minoriti adalah sebuah kerajaan di mana kabinet menteri diketuai Perdana Menteri yang tidak mempunyai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Beliau berkata, cadangan itu dibuat bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi ketika pandemik Covid-19 dengan sokongan bi-partisan di Parlimen.

Bagaimanapun, tawaran Perdana Menteri itu ditolak majoriti ahli Parlimen pembangkang daripada Pakatan Harapan (PH), Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) serta Ahli Parlimen UMNO yang sebelum ini menarik sokongan kepada beliau.

Sehingga kini, jumlah ahli Parlimen UMNO yang difahamkan sudah menarik sokongan terhadap Muhyiddin adalah seramai 15 orang diketuai Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Sekiranya keputusan peletakan jawatan Muhyiddin menjadi realiti pada Isnin, tempoh hayat kerajaan PN mentadbir negara hanya mencecah 17 bulan, lebih singkat berbanding tempoh pentadbiran kerajaan PH selama 22 bulan sebelum ini.

Sementara itu, seorang ahli Parlimen UMNO yang dihubungi Sinar Premium meluahkan kekesalan terhadap sikap sebilangan ahli Parlimen parti itu yang sanggup mengutamakan kepentingan merebut kuasa dengan menjatuhkan kerajaan PN.

Jelas pemimpin veteran berkenaan, golongan ini langsung tidak memikirkan isu kesusahan rakyat pada saat krisis Covid-19 semakin memuncak.

"Saya pun tidak faham apa sebenarnya dimahukan ahli-ahli Parlimen UMNO ini. Untuk soalan 'what's next' daripada UMNO pun saya tiada jawapan.

"Saya bimbang rakyat akan menolak UMNO sepenuhnya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kelak," katanya.

Ditanya kemungkinan pemimpin UMNO akan dilantik kembali mengemudi kerajaan selepas kejatuhan Muhyiddin kelak, pemimpin UMNO berkenaan menjelaskan tidak tahu menahu akan perkara itu.

"Perkara itu kena tanya mereka yang tarik sokongan daripada kerajaan PN lah. Kalau Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) tidak mungkinlah sebab ada kes mahkamah.

"Kalau Yang di-Pertuan Agong merasakan pemimpin UMNO ada majoriti sokongan, Bersatu dan Pas pastinya tidak akan menyokong UMNO kembali kerana mereka dikhianati.

"Itu semua kerja gila dan tidak memikirkan rakyat pada saat krisis pandemik semakin membimbangkan," katanya.

Pada Sabtu, Berita Harian melaporkan jurucakap Istana Negara memberitahu belum dapat mengesahkan berkenaan sebarang majlis mengadap oleh Perdana Menteri bersama Yang di-Pertuan Agong.

Dalam pada itu, mesyuarat Bersatu pada Ahad dijangka boleh mempengaruhi pendirian yang sudah dibuat Perdana Menteri dan keputusan pada Isnin.

Klik di sini untuk terus membaca