RENTETAN secara terbuka mengakui tidak lagi mempunyai sokongan majoriti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia pada hari esok.
Putaran waktu terasa laju dan perjuangan Muhyiddin di Putrajaya semakin menghampiri titik penamat setelah inisiatif akhir 'menggoda' seteru politik dengan tujuh tawaran bagi mendapatkan sokongan sekali gus terus berkuasa ditolak kem pembangkang.
Apa yang pasti, debar isu peletakkan jawatan Muhyiddin itu membawa perhatian ramai kepada persoalan siapa selayaknya menjadi pengganti Abah?
Beberapa nama besar dalam landskap politik negara antaranya Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri menjadi sebutan. Namun nama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai daya tarikan tersendiri apabila beliau antara yang paling solid dan kukuh menerusi sokongan parti gabungan Pakatan Harapan.
Selepas dikecewakan oleh rakan dan lawannya sejak 20 tahun lalu dengan janji untuk menjadi Perdana Menteri, adakah kali ini akhirnya Anwar akan ke Putrajaya?
Adakah gelora politik kerajaan Perikatan Negara (PN) yang dianggap menanti rebah ini bakal membuka ruang buat Anwar menamatkan sumpahan 'PM Tepi' yang sering dimomokkan oleh seterunya?
Menurut saintis politik, Profesor Wong Chin Huat, peluang untuk Anwar menamatkan sumpahan 'PM Tepi' itu bergantung kepada perebutan kuasa dalam PN dan UMNO itu sendiri.
"Sekiranya pucuk pimpinan dan geng 15 UMNO masih dipinggirkan oleh kluster menteri UMNO maka ada kemungkinan mereka berpihak kepada Anwar yang memiliki 92 kerusi ketika ini.
"Langkah yang lain ialah menarik sokongan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan ahli-ahli Parlimen UMNO dan PN di Sabah dan Sarawak.
"Namun sokongan itu juga tertakluk kepada syarat konsesi dalam perkongsian kuasa yang perlu dikemukan oleh PH," ujar Chin Huat kepada Sinar Premium pada Ahad.
Jelasnya, mana-mana ahli Parlimen termasuk Anwar yang berjaya membentuk satu majoriti sama ada kerajaan majoriti atau kerajaan minoriti dengan perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) boleh menjadi perdana menteri.
"Apa yang penting ialah sama ada Anwar atau orang lain yang berjaya membentuk kerajaan akan menawarkan pakej pendamaian kepada pembangkang untuk menambahbaikkan pentadbiran dan membina sumula kestabilan politik.
"Itu yang paling penting untuk rakyat. Sesiapa yang ingin menjadi perdana menteri untuk 50 peratus rakyat Malaysia sahaja kebarangkalian besar akan tumbang pada Pilihan Raya Umum (PRU15).
"Yang penting ialah prestasi mereka di jawatan masing-masing sama ada sebagai kerajaan atau pembangkang yang akan menentukan sokongan rakyat untuk berkuasa lebih lama selepas PRU," katanya.
Sementara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong pula berpendapat, peluang untuk Anwar mengisi kekosongan sebagai perdana menteri ada tetapi belum pasti.
Ini kerana ahli Parlimen Port Dickson itu masih tidak mampu meraih sokongan 111 yang diperlukan oleh Perlembagaan Persekutuan.
"Sehubungan ini, pasti akan wujud percaturan baharu melalui beberapa jajaran yang mungkin berjaya mengangkat Anwar ke jawatan itu atau sebaliknya iaitu gagal, " katanya lagi.
Tambah beliau, negara akan terus menyaksikan ketidaktentuan selepas adanya kekosongan jawatan ketua kerajaan memandangkan tidak seorang pun yang berhasrat mengisi kekosongan itu ada sokongan padu yang mencukupi, iaitu 111 undi.
"Sebenarnya kalau ahli politik kita tidak rakus untuk kepentingan diri dan parti mereka, mereka sepatutnya menerima tawaran politik damai yang dibuat oleh Muhyiddin.
"Ia baik sekali untuk rakyat dan negara yang memang sangat mengingini politik damai, lebih-lebih lagi pada waktu ini yang amat genting dengan krisis kesihatan dan ekonomi.
Dengan menolak tawaran itu, ahli politik kita didapati gagal mendukung peranan perwakilan yang diamanahkan kepada mereka oleh rakyat, iaitu mereka sebagai Wakil Rakyat hendaklah selalu mengutamakan kehendak rakyat, yang dalam kes ini sangat menginginkan keadaan politik yang damai.
"Sebaliknya mereka membuat keputusan sendiri ataupun parti, yang tidak selari pun dengan kehendak rakyat, iaitu terus mahu bersengketa apabila menolak tawaran itu yang memang baik untuk rakyat dan negara," katanya lagi.
Daripada sudut pandangan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil, beliau menegaskan isu siapa bakal dilantik bagi menggalas tugas perdana menteri sekiranya Muhyiddin meletak jawatan adalah perkara kedua.
"Kita tidak boleh mendahului proses, setakat ini tiada pengumuman rasmi hanya laporan media atau sumber-sumber.
"Jadi kita perlu mendahulukan proses mengikut Perkara 43(4) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan sekiranya perdana menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat maka harus meletak jawatan atau menasihati Yang di Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen," ujar Fahmi.
Tegas beliau, yang menjadi isu pokok adalah Muhyiddin telah hilang keabsahan dan sokongan maka beliau perlu membuat pilihan antara dua opsyen tersebut.
"Perkara-perkara lain seperti siapa layak menjadi perdana menteri harus datang kemudian. Adalah amat penting untuk kita tidak membelakangi Perlembagaan," kata Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu ketika ditanya adakah kemelut politik Muhyiddin ini bakal menamatkan 'sumpahan PM Tepi' insan bernama Anwar Ibrahim.
Klik di sini untuk terus membaca