SHAH ALAM - Seluruh negara hari ini akan tertumpu ke arah Istana Negara − menanti dengan penuh debar apakah kesudahannya hasil pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seluruh negara hari ini akan tertumpu ke arah Istana Negara − menanti dengan penuh debar apakah kesudahannya hasil pertemuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tumpuan diberikan secara khusus kepada siapakah bakal pengganti beliau.

Sekiranya Muhyiddin menyerahkan surat peletakan jawatan, maka Yang di-Pertuan Agong mempunyai dua pilihan sahaja dari segi perlembagaan iaitu menamakan perdana menteri baharu yang pada pandangan Seri Paduka mungkin mendapat kepercayaan dan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Muhyiddin

Yang kedua, jika itu bukan pilihan Seri Paduka, satu lagi pilihan juga daripada peruntukan yang diberikan dalam Perlembagaan Persekutuan ialah membubarkan Parlimen, jika disyorkan oleh Muhyiddin.

Pilihan kedua itu boleh berlaku tetapi mengambil kira situasi semasa negara yang sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19, kemungkinan besar mencari perdana menteri yang baru adalah pilihan terbaik serta rasional.

Yang menjadi pertanyaan ramai sekarang ialah siapa?

Jika daripada kalangan UMNO, nama-nama yang menjadi sebutan ramai ialah sama ada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atau Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah.

Ismail Sabri ialah Naib Presiden UMNO dan penyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri sekali gus menjadikan beliau sebagai calon utama untuk dipertimbangkan.

Ismail Sabri

Jika beliau menjadi pilihan, ada kemungkinan beliau juga akan memperoleh kembali sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO yang kini mengasingkan diri kerana menolak kepimpinan Muhyiddin.

Jika 15 ahli Parlimen UMNO yang kini enggan bersama Muhyiddin menerima pelantikan Ismail Sabri, PN akan mendapat kembali majoriti yang diperlukan untuk terus memerintah.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga merupakan bekas Naib Presiden UMNO dan kini menteri kanan turut berwibawa untuk dipertimbangkan.

Hishammuddin

Beliau sepertimana Ismail Sabri ialah seorang yang berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan dan telah berada dalam kabinet sejak era Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Barisan Nasional (BN) dan UMNO lagi.

Tengku Razaleigh pula ialah seorang tokoh veteran, bekas Naib Presiden UMNO dan bekas Menteri Kewangan.

Tengku Razaleigh

Beliau telah menjadi ahli Parlimen sejak Ogos 1974 dan telah dua kali bertanding kerusi presiden UMNO.

Beliau mungkin akan dilihat sebagai calon yang boleh diterima oleh semua pihak termasuk daripada kalangan parti pembangkang dan Pakatan Harapan (PH) sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang.

Dari satu pihak lagi, hanya tinggal Presiden PKR yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon pilihan alternatif.

Anwar

Beliau tidak syak lagi akan memperoleh sokongan padu daripada komponen PH termasuklah DAP, Amanah dan parti-parti lain seperti Warisan dan Muda.

Tidaklah diketahui parti Pejuang yang diterajui oleh Dr Mahathir akan memihak kepada siapa.

Apa pun, pihak yang dicalonkan itu perlu mendapat sokongan yang kuat supaya kerajaan yang bakal dibentuk dapat terus memberi kestabilan dalam politik negara sehingga menjelang Pilihan Raya Umum ke-15.

Bagaimanapun, untuk memastikan bahawa individu berkenaan seorang yang mendapat sokongan yang kuat maka beliau masih perlu mendapat sokongan kepercayaan di Parlimen.

Difahamkan usaha tersebut telah mula dilakukan dalam pelbagai siri pertemuan yang diadakan di ibu negara bagi mendapatkan sokongan sejak Sabtu dan diteruskan dalam beberapa siri pertemuan lagi pada pagi Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca