SHAH ALAM - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan beliau tidak diminta oleh mana-mana pihak bagi menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.
Ahli Parlimen Pontian itu bagaimanapun berkata, melantik perdana menteri adalah hak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
"Saya tidak diminta tandatangan apa-apa, lantik perdana menteri (adalah) hak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada Sinar Harian.
Spekulasi mengenai satu gerakan untuk menaikkan Ismail Sabri mula diperkatakan sejak pagi tadi selepas tawaran rentas parti yang dilakukan Muhyiddin pada Jumaat ditolak parti-parti pembangkang.
Langkah mencari satu calon Perdana Menteri yang boleh mendapat majoriti mudah digerakkan selepas kiraan angka mendapat setakat ini tiada pemimpin yang mampu mencapai majoriti mudah 111 sokongan.
Setakat Sabtu, Muhyiddin cuma mempunyai 100 sokongan, Datuk Seri Anwar Ibrahim 92 sokongan, Datuk Seri Zahid Hamidi 15 sokongan dan Tun Dr Mahathir Mohamad 13 sokongan.
Ismail Sabri mungkin dilihat sebagai calon terbaik untuk mendamai dan menyatukan parti UMNO serta Bersatu kembali seperti mana yang pernah dilakukan dalam Langkah Perak pada Januari lalu.
Klik di sini untuk terus membaca