COVID-19 bermula sebagai severe acute respiratory syndrome coronavirus 2 (SARS-CoV-2), sejenis radang paru-paru yang bermula di Wuhan, China pada penghujung tahun 2019. Dalam tempoh 30 hari, ia telah tersebar ke seluruh dunia dan diiktiraf... Klik di sini untuk terus membaca

COVID-19 bermula sebagai severe acute respiratory syndrome coronavirus 2 (SARS-CoV-2), sejenis radang paru-paru yang bermula di Wuhan, China pada penghujung tahun 2019.

Dalam tempoh 30 hari, ia telah tersebar ke seluruh dunia dan diiktiraf sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 11 Mac 2020.

Buat masa sekarang, tiada rawatan khusus untuk jangkitan Covid-19 kecuali vaksin yang dapat menguatkan antibodi.

Sehingga artikel ini ditulis, kira-kira 25 juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat Malaysia, dengan 9.05 juta sudah lengkap dua dos vaksin. Ini meliputi 28.2 peratus populasi. Di United Kingdom (UK), 47 juta rakyat mereka sudah mendapat dos pertama.

Ia merangkumi 90 peratus daripada populasi dewasa manakala 39.5 juta atau 75 peratus sudah lengkap dua dos vaksin.

Antara kejayaan awal vaksinasi di UK adalah jumlah kes positif Covid-19 menurun, termasuk jumlah kemasukan ke wad dan kematian terutama golongan berusia lebih 60 tahun.

Apa yang dapat kita pelajari daripada pengalaman UK ini? Program vaksin secara besar-besaran boleh memberi impak yang lebih cepat dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sahaja tidak memadai.

Semua vaksin yang diluluskan untuk penggunaan di Malaysia adalah selamat dan berkesan.

Vaksin yang paling bagus ialah vaksin pertama yang ditawarkan kepada anda.

Tidak kiralah sama ada Pfizer, Sinovac mahupun AstraZeneca.

Bagaimanapun, masih ada yang menentang vaksin dengan pelbagai teori konspirasi serta cerita karut bagi menakutkan orang ramai.

Sebahagiannya merupakan individu profesional serta berpengaruh dalam komuniti dan mereka sering menyampaikan fakta tidak tepat.

Ada juga yang malah mempromosi pemakanan tertentu, kononnya boleh mencegah atau mengubati Covid-19, berdasarkan testimoni beberapa individu.

Testimoni bukanlah hujah ilmiah walaupun ia dibuat oleh individu popular mahupun pemegang ijazah PhD.

Jika ada yang sembuh daripada Covid-19 dan setiap hari mereka makan nasi dengan budu, ini tidak bermakna budu itu yang menyembuhkan mereka.

Begitulah juga dengan Ivermectin (ubat parasit), Hydroxychloroquine (ubat malaria) dan Colchicine (ubat gout); masih belum ada data atau hasil kajian yang konklusif tentang keselamatan juga keberkesanan ubat-ubat ini dalam merawat Covid-19.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca