TUTUP, buka, tutup buka. Begitulah keadaan sesi persekolahan bagi anak-anak kita di Malaysia. Ramai juga yang menyalahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dianggap membuat keputusan secara flip flop. Namun masih ada yang rasional... Klik di sini untuk terus membaca

TUTUP, buka, tutup buka. Begitulah keadaan sesi persekolahan bagi anak-anak kita di Malaysia.

Ramai juga yang menyalahkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang dianggap membuat keputusan secara flip flop.

Namun masih ada yang rasional dalam membuat penilaian.

Mereka tahu bahawa kita sedang berada dalam situasi darurat yang mana suatu keadaan tidak menentu sedang berlaku, akibat krisis kesihatan sejagat berpunca daripada Covid-19.

Setelah beberapa bulan sekolah terpaksa ditutup bagi mengelak penularan wabak ini dan pelajar terpaksa menjalankan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara atas talian di rumah masing-masing, KPM pada 17 Julai mengumumkan pembukaan sesi persekolahan secara berperingkat bermula 1 September 2021.

Sudah tentu KPM yang membuat keputusan telah meneliti dari segala aspek, termasuklah situasi semasa keadaan pandemik Covid-19.

Pada 17 Julai iaitu semasa pengumuman pembukaan sekolah diumumkan KPM, kes positif Covid-19 di Malaysia adalah sebanyak 12,528 kes, dengan 119,814 kes aktif (13.23 peratus), khususnya dalam komuniti.

Selepas hampir sebulan pengumuman itu dilakukan, iaitu kira-kira dua minggu lagi menjelang 1 September, kes positif harian mencanak naik sehingga 21,468 kes (13 Ogos 2021) dengan 241,187 kes aktif, iaitu peningkatan sebanyak 121,373 kes aktif.

Lebih memeritkan, daripada 1,446 kes yang dijangkiti dalam kluster, sebanyak 35 kes melibatkan kluster pendidikan dan 216 kes dari kalangan golongan berisiko tinggi (para pelajar sekolah boleh dianggap sebagai golongan berisiko tinggi).

Begitu juga dengan kes kematian pada 17 Julai lalu sebanyak 138 kes, berbanding pada 13 Ogos 2021, kes kematian meningkat kepada 277 kes iaitu meningkat sebanyak 139 kematian.

Angka-angka ini telah mendorong banyak pihak dan pakar untuk tampil memberi pandangan masing-masing supaya KPM menimbang kembali keputusan membuka sekolah dua minggu lagi.

Seandainya sesi persekolahan diteruskan, kluster pendidikan dijangka berlaku dan memberi implikasi terhadap usaha mengurangkan penularan Covid-19.

Antara yang menegur dan memberi penjelasan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang meminta negara menangguhkan seketika pembukaan sekolah.

Ia turut disambut oleh golongan politik, badan bukan kerajaan (NGO) dan pakar pelbagai bidang yang menunjukkan keprihatinan berganda dan kerisauan masing-masing terhadap corak penyebaran virus yang telah bermutasi.

Sebaik-sebaiknya, sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka itu ditangguhkan sehingga tahun depan iaitu selepas kes Covid-19 semakin terkawal.

Langkah terbaik ketika ini adalah meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun anak-anak sudah tidak sabar untuk ke sekolah semula.

Ini kerana pembukaan sekolah dikhuatiri boleh mencetuskan gelombang jangkitan Covid-19 yang lebih serius seperti kluster kilang atau tempat kerja.

Ibu bapa juga turut risau mengenai keselamatan anak-anak. Malah pihak sekolah mungkin dipersalahkan jika wujud kluster baharu di sekolah selepas ini.

Usaha KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) memberi vaksin kepada semua yang terlibat dalam sektor pendidikan adalah langkah terbaik untuk menyelesaikan masalah ini. Jangan buka sekolah sekiranya masih belum capai imuniti kelompok.

Ketika kes aktif berganda naik, kes positif berlipat kali ganda meningkat dan kluster tempat kerja serta pendidikan terus bertambah, adakah kita mampu yakin kawasan sekolah sentiasa selamat?

Akuilah bahawa situasi ini amat genting dan sukar untuk membuat keputusan. Namun, marilah sama-sama kita mencari suatu solusi yang dapat meminimumkan risiko untuk guru, pelajar dan ibu bapa.

Kita tidak mahu Covid-19 menjadi pembunuh literasi di kalangan anak-anak. Kita masih bercita-cita untuk mengulangi kejayaan Nur Amalina Che Bakri dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun 2004 lalu.

Pada masa ini, menyelamatkan nyawa adalah lebih penting. Apa yang lebih penting sekarang ini kita bekerjasama untuk mendukung prinsip Whole of Government dan Whole of Society sehingga Covid-19 berjaya hilang daripada kehidupan kita.

Kita mesti menang!

*Sarfarizmal Saad ialah Pemimpin Kelab Belia Inspirasi Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca