SEMUA mata dan telinga akan tertumpu kepada apa yang disebut-sebut sejak beberapa hari yang lalu sebagai hari penentu Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Media difahamkan ia bakal berlangsung pada... Klik di sini untuk terus membaca

SEMUA mata dan telinga akan tertumpu kepada apa yang disebut-sebut sejak beberapa hari yang lalu sebagai hari penentu Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Media difahamkan ia bakal berlangsung pada jam 12 tengah hari ini. Perlu dinyatakan di sini, tiada pengesahan rasmi yang dikeluarkan mengenai pertemuan tersebut.

Macam-macam spekulasi berlegar di ruang media sosial dan aplikasi sosial sehinggakan kita tidak pasti yang mana satu betul dan yang mana satu palsu.

Mereka yang disebut-sebut bakal menjadi calon pengganti pun dikatakan sedang kalut mencari SD. Tak salah merekalah kerana ia satu cara untuk memperkukuhkan hujah jika dipanggil menghadap oleh Yang di-Pertuan Agong.

Apa yang pasti ialah pertemuan di antara Seri Paduka Baginda dan Perdana Menteri (PM) memang akan berlangsung dan perkara kedua yang kini dianggap betul ialah semua orang bercakap tentang peletakan jawatan Muhyiddin.

Namun tidak ada seorang pun yang dapat menunjuk dan meneka dengan pasti dan jelas siapakah yang akan menggantikannya jika beliau menyerahkan surat peletakan jawatan hari ini.

Semua orang ada pelbagai jawapan dan alasan tentang mengapa Muhyiddin perlu pergi meninggalkan Seri Perdana tetapi tiada siapa ada jawapan calon mana yang bakal mengantikannya.

Dalam kata-kata lain, semua boleh dikatakan ada konsensus tentang Muhyiddin perlu letak jawatan tetapi tidak ada konsensus tentang siapa selepasnya.

Tiada siapa yang dapat memberi satu nama dengan pasti tentang bakal PM yang baharu kerana tiada siapa yang tahu pihak mana ada kelebihan majoriti dalam Dewan Rakyat.

Kita hanya boleh membuat andaian bahawa dari sudut logiknya hanya ada empat nama sahaja yang boleh dipertimbang dan disenarai pendek oleh Seri Paduka Baginda.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn, bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Situasinya sangat rapuh dan penuh dengan ketidakpastian kerana masing-masing perlu membuktikan ada sokongan yang cukup lagi menyakinkan.

Maka ini memberi kelebihan kepada Seri Paduka Baginda untuk membuat keputusan siapakah pada pandangan baginda yang mungkin ada majoriti untuk memimpin kerajaan dan negara.

Tetapi barang diingat, itu hanya boleh berlaku jika Muhyiddin terlebih dahulu mengemukakan surat peletakan jawatan kepada Seri Paduka Baginda pada hari ini sebagaimana yang disebut-sebut.

Muhyiddin pun sedar akan hakikat ini termasuklah kerapuhan pihaknya untuk mengekalkan kerajaan.

Sebab itulah pada Jumaat, beliau membuat tawaran yang luar biasa iaitu kerjasama merentas parti termasuklah kesungguhan untuk meminda beberapa perkara dalam institusi penting seperti undang-undang anti-lompat parti, penglibatan yang lebih luas pihak pembangkang dalam Jawatankuasa Khas Parlimen, jawatan PM dihadkan kepada dua penggal sahaja dan jaminan pilihan raya selewat-lewatnya Julai tahun depan.

Malangnya ia tidak disambut oleh mereka yang di luar lingkaran Perikatan Nasional (PN), sebaliknya mereka melihat tawaran tujuh perkara itu sebagai satu langkah terdesak dan menunjukkan yang Muhyiddin berada dalam keadaan yang sangat lemah bagi mendapatkan sokongan daripada wakil-wakil rakyat.

Mereka melihat ini sebagai peluang keemasan untuk terus mengasak Muhyiddin sehingga membawa kepada apa yang hangat diperkatakan oleh semua pihak sekarang iaitu peletakan jawatannya.

Di tengah-tengah kekalutan itu, pada Ahad dalam lebih kurang jam 10.30 pagi, pejabat Muhyiddin mengeluarkan satu kenyataan akhbar yang panjang lebar tujuh muka surat kesemuanya dengan PM sendiri bercakap tentang keputusan untuk membuka semula sekurang-kurangnya 11 sektor ekonomi dengan harapan ia bukan sahaja dapat memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat dari sudut emosi dan kesihatan mental malah untuk membantu memulihkan semula secara berperingkat kumpulan yang terlibat dalam sektor perniagaan.

Kenyataan panjang lebar beliau itu memberi gambaran keadaan adalah bekerja seperti biasa di sebalik segala spekulasi mengenai peletakan jawatannya. Itulah yang menakjubkan tentang Muhyiddin. Dan mungkin juga itu adalah arahan terakhir beliau sebagai PM.

Dalam pada itu, pada satu tangan yang lain, sesi pertemuan dan perbincangan yang melibatkan muka-muka utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus berlangsung sepanjang Sabtu dan Ahad.

Wartawan kami yang mengintip di kawasan pertemuan itu berlangsung melihat Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali muncul pada lebih kurang jam 8.45 pagi Ahad.

Ia kemudian diikuti oleh Timbalan Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar dan selepas itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Tidak lama selepas itu, muncul pula Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mansor Othman.

Sebelum itu pada Sabtu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mempengerusikan pertemuan di kediaman PM.

Beliau yang tak berapa hari lalu dilantik sebagai penasihat PM bertaraf menteri mungkin akan mencatat sejarah sebagai penasihat yang paling singkat berkhidmat.

Namun beliau kelihatan sempat menikmati mi kari di pejabatnya beberapa hari lalu. Mungkin juga itu hari yang paling ceria untuk beliau.

Akhir sekali, sama ada hari ini adalah harinya, sama-samalah kita tunggu dan lihat kenderaan rasmi PM menyusur masuk pintu utama Istana Negara nanti.

Segala-galanya di tangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan juga YAB Perdana Menteri Malaysia ke-8. Kita sekadar menanti pengumuman rasmi.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian

Klik di sini untuk terus membaca