PANDEMIK Covid-19 merupakan satu krisis kesihatan awam yang turut memberi kesan kepada sosio-ekonomi, pendidikan, pengurusan dan pembangunan sumber manusia.
Apa yang pasti, pandemik yang telah mencorak sebahagian norma baharu kehidupan masih tidak dapat dipastikan titik noktahnya.
Saban hari statistik jumlah kes harian Covid-19 memberi bayangan tentang cabaran yang perlu dihadapi oleh setiap individu.
Pendek kata, cabaran ini menuntut kita untuk mengubah kebiasaan lama kepada yang baharu secara lebih kreatif dan inovatif melangkaui kotak pemikiran.
Dalam konteks pengurusan sumber manusia, pengurusan prestasi merupakan antara komponen penting kerana impaknya terhadap pencapaian sesebuah organisasi.
Namun begitu, ia sering dipandang enteng bahkan dianggap sebagai acara tahunan yang bertujuan untuk menentukan kenaikan gaji atau pemberian anugerah cemerlang.
Hakikatnya, pengurusan prestasi merupakan satu proses yang sistematik dan berterusan melibatkan perancangan, komunikasi dua hala, pemantauan dan penambahbaikan bagi memastikan pekerja kekal produktif dan cemerlang.
Menyoroti suasana bekerja dalam era pandemik, perubahan cara kerja konvensional kepada sistem Bekerja Dari Rumah (BDR) semestinya memberi kesan ke atas proses pengurusan prestasi pekerja.
Bagi sesetengah jawatan yang kelaziman tugasannya bersifat fizikal atau memerlukan interaksi bersemuka, penentuan sasaran kerja atau KPI sudah tentu akan menimbulkan cabaran dan kerumitan.
Terutamanya, dalam menentukan bentuk tugasan baharu yang boleh dilaksanakan dari rumah.
Oleh yang demikian, penyusunan semula tugasan kerja perlu dilaksanakan dan diselarikan dengan keperluan semasa agar KPI yang disasarkan lebih realistik dan menyumbang kepada pencapaian organisasi.
Sekiranya tiada tugasan spesifik yang boleh diwujudkan, maka keperluan jawatan tersebut bolehlah disemak semula untuk menentukan keperluan perjawatan pada masa akan datang.
Tidak dinafikan, pekerja yang telah diberi KPI turut menghadapi kesukaran untuk melaksanakan tugasan BDR kerana komitmen terhadap keluarga atau kekangan peralatan teknologi dan bahan fizikal.
Dalam hal ini, komunikasi dua hala antara penyelia dan pekerja perlu diwujudkan bagi menjamin produktiviti dan memastikan kelestarian sumber manusia.
Selain sokongan emosi bagi menjamin kesejahteraan psikologi, keperluan fizikal seperti peralatan teknologi, dokumentasi dan lain-lain perlu disediakan agar pelaksanaan tugasan secara mandiri dapat dilaksanakan dengan lebih efisien dan berkesan.
Perkara ini juga penting bagi mengatasi bebanan dan halangan yang boleh merencatkan keupayaan prestasi pekerja.
Dalam pada itu, aspek latihan dan pembangunan sumber manusia juga amat kritikal.
Tanpa pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku (KSA) yang bersesuaian mana mungkin pekerja dapat berprestasi cemerlang.
Setiap pekerja perlu dilengkapkan dengan kemahiran yang bersesuaian contohnya kemahiran untuk mengendalikan teknologi terkini.
Selain itu, kemahiran kognitif pekerja harus diperkasakan agar mereka sentiasa kreatif, inovatif dan mampu berfikir secara kritikal ketika melaksanakan tugasan dalam era yang mencabar ini.
Sementara itu, bimbingan berterusan dan maklum balas terhadap pencapaian prestasi perlu diberikan agar pekerja cakna tentang ruang penambahbaikan yang perlu dipertingkatkan.
Seterusnya, penilaian prestasi perlulah dilaksanakan secara objektif dan telus agar markah yang diberikan adil dan setimpal dengan pencapaian yang telah ditunjukkan oleh pekerja.
Menerusi pengurusan prestasi berkesan, organisasi berupaya mengoptimumkan sumber-sumber sedia ada serta menyemarakkan konsep sinergi antara pekerja dan majikan.
Hal ini sekaligus akan memberi kesan positif terhadap produktiviti dan pencapaian organisasi. Hakikatnya, proses pengurusan prestasi ini bersifat timbal-balik di mana organisasi bertanggungjawab menyediakan sokongan fizikal, mental dan bimbingan berterusan.
*Nor Hafizah Ibrahim ialah Timbalan Pendaftar, Universiti Teknologi Mara dan Che Wan Kamarul Hishysam Che Wan Ahmad ialah Timbalan Pendaftar Kanan, Universiti Teknologi Mara
Klik di sini untuk terus membaca